Sultan Selangor Dukacita Terpaksa Hadkan Fungsi Masjid

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.

Baginda bertitah, keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Titah Sultan Sharafuddin, baginda memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat yang menggesa agar masjid-masjid di Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.

“Beta sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Selangor.

“Selain itu, beta juga bersedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk negeri,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa masjid di Selangor tidak pernah ditutup sebaliknya hanya dihadkan kehadiran jemaah.

Titah baginda, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Baginda menjelaskan apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

“Sehingga 9 Julai lalu, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada tarikh tersebut), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan beta adalah data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian pada akhir Jun lalu,” titahnya.

Baginda turut menzahirkan kekesalan meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketatkan di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya tersebut terus mengganas.

“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri ini.

“Beta sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan,” titahnya.

Berikutan itu, Sultan Sharafuddin bertitah walaupun berat hati sehingga hari ini namun baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri ini.

“Bagaimanapun, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa,” titahnya. –{Kosmo! Digital]

Sultan Selangor Larang Guna Kalimah Allah Dalam Apa-Apa Percetakan Kristian

Baca versi Jawi di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melarang pengunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian

Baginda bertitah, ia bagi memelihara kalimah suci umat Islam itu yang mana kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri Selangor.

“Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan yang maha esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan “Allah, Baitullah, Kaabah dan solat” menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

“Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.

Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan mengenai hak menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan ia juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

“Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan beragama Islam di negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988,” katanya.

Titah baginda sebagai ketua agama Islam Selangor, baginda tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama. -{Malaysiakini]

Sultan Selangor Dukacita Isu Air di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat negeri akibat pencemaran sungai.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, surat itu dihantar kepada Amirudin.

Selangor Royal Office memberitahu, antara intipati surat Sultan Sharafuddin itu mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil termasuk merobohkan rumah, kilang terutama beroperasi secara haram yang berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai di Selangor.

“Baginda tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

“Baginda telah lama menitahkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan Kerajaan Selangor untuk memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan, Sultan Sharafuddin mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air. Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum.

“Baginda khuatir sekiranya masalah air ini berterusan, rakyat jelata akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor Royal Office memaklumkan, baginda turut perkenan menerima menghadap Amirudin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Gangguan bekalan air di Selangor berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sungai.

Kawasan yang terjejas ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. -{Sinar Harian]

Sultan Selangor Murka Atas Tindakan Menconteng Mural Pemimpin Negara

[Utusan Malaysia}- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan sangat dukacita dengan kejadian vandalisme dilakukan pada mural pemimpin-pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Sultan Selangor juga kesal dan kecewa kerana kejadian vandalisme berhubung hasil karya seni itu berlaku di Selangor berikutan baginda menghargai karya seni pelukis tempatan seumpamanya.

Titah baginda, perbuatan contengan kata-kata kesat atas lukisan mural Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan beberapa pemimpin lain ini sebagai perbuatan yang sangat biadab.

“Kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian.

“Beta berharap pelaku dapat ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” titah baginda.

Terdahulu, mural gergasi yang mempamerkan beberapa wajah pemimpin termasuk Al-Sultan Abdullah diconteng dengan semburan cat berwarna merah dengan menulis perkataan tidak senonoh.

Perbuatan itu menyebabkan kesemua potret wajah pemimpin berkenaan dicat kembali dengan warna putih oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Perbuatan dilakukan individu terbabit disedari pagi semalam selepas salah seorang pekerja sebuah kedai makan melihat dinding mural itu telah pun diconteng.

Pekerja yang tidak mahu dikenali itu berkata, dia dalam perjalanan ke kedai dan terkejut apabila melihat empat wajah pemimpin negara telah diconteng menggunakan semburan cat berwarna merah dengan perkataan tidak senonoh.

“Saya terus berlari masuk ke kedai untuk melihat Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV). Namun, rakaman tidak boleh dilihat kerana mengalami masalah teknikal. Malah, saya terus memaklumkan perkara ini kepada salah seorang pelukis mural tersebut,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengecam perbuatan menconteng mural pemimpin negara dengan perkataan tidak senonoh di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Amirudin menerusi ciapan Twitternya juga menggesa supaya pihak polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan. 

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme yang berlaku di Seksyen U12, Shah Alam. Saya telah menggesa pihak MBSA dan PDRM @PDRMsia untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Salah seorang pelukis mural, Muhammad Suhaimi Ali pula berkata, dia menerima panggilan telefon pada pukul 8 pagi mengatakan lukisan itu diconteng sebelum memaklumkan perkara ini kepada dua lagi rakannya.

Menurutnya, setibanya di lokasi, dia mendapati empat wajah pemimpin telah diconteng dengan menggunakan semburan cat berwarna merah, namun telah ditutup dengan kanvas.

“Perasaan ketika itu amat sedih kerana kami hanya melukis wajah pemimpin sebagai tanda penghargaan dan tiada niat apa-apa pun. Kami kesal dan terkilan dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini. Mungkin mereka dengki atau juga berkait dengan khianat politik.

“Bagaimanapun, kami tidak akan patah semangat untuk terus berkarya dan melukis mural wajah-wajah pemimpin kerana ia cara kami menghargai jasa mereka berjuang untuk negara. Namun, buat masa ini, biarlah perkara ini selesai terlebih dahulu,” katanya.

Sultan Selangor Bimbang Gelombang Baru Covid-19 Jika Ramai Tidak Patuh SOP

Sultan Selangor bimbang kealpaan orang ramai terhadap ancaman Covid-19 apabila ramai tidak lagi mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan mengundang gelombang pandemik baru.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, ramai orang tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan seperti berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.

“Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Selangor menyeru rakyat terus mengamalkan disiplin tinggi dalam berdepan Covid-19, termasuk tidak keluar ke tempat awam jika tidak sihat.

“Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Sultan Selangor berkata, selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, rakyat perlu mematuhi SOP walaupun banyak kelonggaran diberikan sepanjang PKPP. -{Free Malaysia Today]

Titah Sultan Selangor Mengenai Dakwaan Kerajaan Pintu Belakang

[MalaysiaGazette}- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak agar berhenti menuduh Kerajaan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan pintu belakang.

Titah baginda, dakwaan itu tidak berasas kerana peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan itu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaras dengan Perlembagaan negara.

“Tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan Persekutuan ini sebagai sebuah kerajaan pintu belakang ataupun satu rampasan kuasa adalah tidak bertepatan sama sekali.

“Ianya hendaklah segera dihentikan kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara Baginda sebagaimana diperuntukkan di dalam undang-undang,” titah baginda di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu baginda berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14.

Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada 29 Februari lalu, YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Pembentukan Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional pula dibentuk pada 9 Mac lalu selepas senarai jemaah menteri yang dipersembahkan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa pembentukan Kerajaan Persekutuan dilakukan selepas perundingan terbuka dan teliti, selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

“Perubahan kuasa yang telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda YDPA dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titahnya.

Baginda juga mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor agar sentiasa memelihara kestabilan politik dan pentadbiran Selangor.

“Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara semenjak selepas PRU14 lalu sehinggalah ke hari ini.

“Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka,” titahnya.

Baginda turut memberi amaran kepada wakil rakyat di Selangor agar tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selepas Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa di peringkat pusat.

“Beta tidak mahu ada di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan Negeri Selangor ini.

“Beta mahu Ahli-ahli Yang Berhormat berusaha memastikan kestabilan politik di negeri Beta sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat Beta di Selangor,” titah baginda lagi.

Pesanan Tuanku Sultan Selangor Kepada Orang Melayu [Bhg. 3]

Pesanan Tuanku Sultan Selangor Kepada Orang Melayu [Bhg. 2]

Pesanan Tuanku Sultan Selangor Kepada Orang Melayu [Bhg. 1]

NGO Islam Desak JAIS Tidak Pulangkan Bible Yang Dirampas

SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) — Kira-kira 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak tunduk kepada arahan kerajaan Selangor yang meminta jabatan itu memulangkan semula 300 naskhah Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.

Pengerusi Pembela-pembela Islam Malaysia (Pembela) Hafiz Nordin yang mewakili gabungan kira-kira 100 NGO itu berkata ini berikutan naskhah Bible tersebut mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh kaum bukan Islam di negeri ini.

“Tidak perlu dipulangkan kitab Bible yang dirampas itu kerana kitab itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor dan fatwa negeri ini yang melarang kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan agama mereka,” katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Khamis lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.

Abdul Gani berkata naskhah Bible yang dirampas itu adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.

Selain Pembela, gabungan NGO itu turut diwakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Related articles:
Small Fire Broke Out In MAIS Headquarters