Pemimpin Cukuplah Beretorik

[ baca versi jawi di sini ]

Kita mengharapkan perlaksanaan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dapat menghindarkan sindrom katak politik daripada berterusan.

Hal ini penting memandangkan pasca-PRU14, keadaan politik negara sering bergolak akibat peralihan sokongan politik serta aktiviti melompat parti dalam kalangan wakil-wakil rakyat; baik ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri.

Saya melihat masalah ini kini semakin parah; maka jika tidak dibendung dengan segera, negara bakal berhadapan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Semasa berkempen mereka didukung oleh orang parti yang berhempas pulas berkempen untuk memenangkan mereka; namun setelah mereka beralih selera, mereka lantang menghentam parti yang telah memenangkan mereka.

Habis madu, sepah dibuang. Janji bulan dan bintang kepada pengundi hilang entah ke mana.

Semasa berkempen, mereka berjanji untuk membela nasib rakyat; tetapi akhirnya nasib pemimpin pula yang terpaksa dijaga oleh rakyat.

Parti yang ada berpecah-belah, ditubuh pula parti baharu; begitu juga keadaannya dengan gabungan parti sehinggakan rakyat kecewa dan terasa dipermainkan.

Inilah masalah kita pada hari ini apabila ramai para pemimpin terlalu asyik berpolitik serta tidak lagi bersifat negarawan dan sanggup berkorban demi negara.

Yang didambakan rakyat adalah pemimpin berprinsip dan bukannya “katak berprinsip”.

Ramai calon memenangi pilihan raya kerana pengundi menyokong perjuangan parti yang mereka wakili dan bukan kerana diri mereka sendiri.

Maka wakil rakyat yang dipilih sepatutnya mengangkat perjuangan parti dan bukannya menggunakan parti sebagai alat untuk mengangkat diri sendiri.

Kita bukan mahukan pemimpin yang hanya boleh bercakap atau berdebat semata-mata, tetapi ciri utama yang dicari ialah kematangan dan kebolehan untuk mentadbir negara dengan baik dan amanah.

Pemimpin yang baik bukan hanya sekadar boleh merasa denyut nadi rakyat tetapi mesti mampu berfikir panjang dalam merancang masa depan negara.

Dalam suasana dunia yang bergolak serta keadaan ekonomi yang mencabar, rakyat mengharapkan pemimpin yang benar-benar berkebolehan untuk mengurus negara dengan baik agar ekonomi negara tidak runtuh.

Bersikap jujurlah kepada rakyat; cukup-cukuplah beretorik, tuduh-menuduh serta menabur janji manis dan habuan untuk mendapatkan sokongan.

Sebagai pengundi, lebih-lebih lagi kepada generasi Undi18, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji politik; berfikirlah secara matang sebelum membuat keputusan.

Kenali prinsip perjuangan parti-parti yang bertanding serta siapa pemimpin-pemimpin mereka.

Berpijaklah di bumi yang nyata; jangan sampai kita tertipu oleh ilusi yang tidak lebih daripada sekadar satu fatamorgana yang indah.

Bagaimana Politik Negara Berubah Daripada Pentadbiran Kepada Pertandingan

[ baca versi jawi di sini ]

Dunia berubah dengan begitu pantas. Kadangkala, perkara yang pada awalnya dianggap aneh, boleh menjadi ikutan dalam sekelip mata. Sehinggakan perkara-perkara negatif pun, setelah ‘dibiasakan’ dalam masyarakat, boleh diterima sebagai perkara ‘biasa’.

Ini termasuklah hal-hal yang dianggap salah dari sudut etika dan moral. Begitu juga dengan amalan politik tempatan.

Dahulunya dalam konteks politik tempatan, pemimpin yang melompat parti dikatakan pemimpin yang tidak berprinsip. Apalagi jika lompatan itu dibuat setelah mereka memenangi pilihan raya di atas tiket parti yang mereka tinggalkan.

Namun, pasca-PRU14, amalan ini sudah seakan-akan menjadi perkara biasa.

Para pemimpin yang dahulunya lantang menentang amalan lompat parti, kini memuji amalan ini kerana lompatan itu menguntungkan parti mereka.

Maka lahirlah hujah-hujah baharu bagi mempertahankan senario ini, seperti “katak berprinsip.”

Beberapa hari setelah Barisan Nasional kalah dalam PRU14, kita melihat ‘acara lompat parti’ secara besar-besaran oleh ahli-ahli parlimen yang baru sahaja menang atas tiket BN ke Pakatan Harapan.

Sejak itu, politik Malaysia menjadi begitu panas dan bersifat terlalu kompetitif sehingga berlaku berbagai-bagai keadaan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

Bagi yang mahu mencari peluang menempatkan diri di tempat yang lebih tinggi dan selamat, mereka menyeberang mengikut arus yang mengalir.

Yang menerima pula begitu gembira menerima orang yang menyeberang kerana dapat menambah bilangan kerusi parlimen bagi menguatkan kedudukan parti.

Malah lompatan juga berlaku dalam kalangan pakatan parti yang sama.

Dalam keadaan yang meruncing, tambahan satu kerusi pun begitu besar skala impaknya dalam menentukan suara parti. Semangat setia kepada parti dalam kalangan sesetengah pemimpin politik sudah menjadi semakin tipis. Parti baharu serta pakatan politik baharu timbul silih berganti, biasanya dipimpin oleh individu yang dahulunya memimpin parti yang sudah ada.

Pemainnya sama, cuma parti yang berbeza. Seolah-olah penjenamaan baharu untuk menarik lebih ramai penyokong. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun pasca-PRU14, kita telah diperintah oleh tiga kerajaan yang dipimpin oleh tiga Perdana Menteri.

Memang sukar bagi pakatan politik yang rapuh hubungannya untuk kekal stabil dalam jangka masa yang lama.

Walaupun dinafikan, namun kita boleh membaca dengan jelas bahawa tujuan pakatan di antara sesetengah parti adalah tidak lebih daripada sekadar untuk mengalahkan pihak musuh yang sama.

Akhirnya akibat tiada persefahaman serta perebutan kuasa, pemimpin-pemimpin mereka bercakaran sesama sendiri.

Majoriti yang tipis juga menjadikan kedudukan kerajaan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya dengan peralihan sejumlah kecil sahaja Ahli Parlimen sudah cukup memporak-perandakan keadaan.

Dalam suasana di mana ramai ahli politik mengamalkan politik persaingan tidak sihat, kita perlu lebih bijak dalam memilih wakil rakyat kita. Parti-parti politik juga mesti mencalonkan individu yang benar-benar mahu memimpin dan tidak melompat-lompat setelah menang untuk kepentingan diri.

Pemimpin yang perlu kita pilih hendaklah berdasarkan sifat yang jelas dilihat tanpa perlu diiklankan kehebatan orangnya melalui pelbagai propaganda.

Jangan sampai kita mudah termakan janji-janji politik yang belum tentu akan ditunaikan jika mereka menang.

Kita mengharapkan pemimpin yang boleh memimpin negara dan bukannya mereka yang hanya tahu bercakap dan membawa idea yang bukan-bukan serta tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik, ditambah pula dengan masalah Covid-19 yang belum pulih, kita tidak mampu lagi memperjudikan nasib bangsa dengan langkah yang kurang tepat.

Fikir dahulu sebelum memangkah, supaya tidak tersilap langkah. Jadilah pengundi yang bijak, supaya kita tidak dipijak.

Ingatlah – krisis politik yang tiada kesudahannya hanya akan menghancurkan negara.

2018-2021: Malaysia Baharu Ke Arah Politik Bergelora?

[ baca versi jawi di sini ]

Ada yang menggelar tahun 2018 sebagai era Malaysia Baharu. Memerhati keadaan politik semasa, mungkin juga konotasi ‘baharu’ itu merujuk kepada landskap baharu politik Malaysia yang asyik bergelora dan tidak lagi stabil seperti dahulu.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan jatuhnya sebuah kerajaan yang telah mendominasi peti undi selama lebih 60 tahun di negara ini.

Namun parti gabungan Pakatan Harapan hanya mampu bergabung selama dua tahun sebelum berpecah sehingga mengakibatkan krisis politik yang telah menggegarkan negara kita selama hampir dua tahun, dan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Sebelum ini, belum pernah berlaku dalam sejarah negara di mana sebuah kerajaan Persekutuan dibentuk bukan melalui PRU atau dijatuhkan sebelum penggal berakhir.

Namun, sejak era Malaysia Baharu, kita menyaksikan berlakunya pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun, dan dua kali kerajaan yang dipimpin oleh dua pemimpin PPBM runtuh.

Kita juga disajikan dengan pelbagai aksi dan langkah politik baharu yang memperlihatkan etika serta amalan yang ada dalam arena politik selama ini telah berubah sama sekali.

Kini sudah menjadi perkara biasa apabila pemimpin yang diundi oleh penyokong sesebuah parti ketika PRU14 memilih meninggalkan parti mereka atas berbagai-bagai alasan; paling popular adalah demi perjuangan dan kepentingan rakyat.

Malah, mungkin demi rakyat jugalah, ada pemimpin yang sudah beberapa kali bertukar arah sehinggakan rakyat keliru bersama parti manakah mereka kini berada.

Adakah ini politik baharu yang dicanangkan sebagai dinamik dan progresif? Adakah ini pembaharuan dan kemajuan yang telah mereka janjikan kepada rakyat semasa memancing undi dahulu?

Hakikatnya, krisis politik tanah air yang tidak berkesudahan telah memberi impak yang negatif kepada negara termasuk kepada sektor ekonomi. Keadaan bertambah buruk kerana pada masa yang sama, kita juga turut berhadapan dengan wabak Covid-19.

Bertukar kerajaan bermakna bertukar dasar. Kerajaan baharu akan tampil dengan dasar-dasar yang baharu. Apabila rakyat menegur, semua pihak bertindak saling menuding jari bagi menyalahkan pihak lain di atas setiap dasar yang gagal. Malahan, ada kalanya rakyat pula yang disalahkan.

Pada PRU14 juga, kita melihat ramai pemimpin yang baharu masuk ke gelanggang politik memenangi kerusi yang mereka tandingi; ada yang dilantik ke jawatan penting termasuk sebagai menteri.

Orang baharu akan membawa idea-idea baharu yang segar, namun bukan semua idea yang ada itu sesuai dan boleh diterjemahkan menjadi realiti serta baik untuk rakyat dan negara.

Kita harus sedar bahawa faktor pengalaman ialah perkara integral dalam usaha merangka dan mengimplementasikan setiap dasar negara.

Mentadbir rakyat dan negara bukanlah semudah menabur janji-janji manis. Tanpa pengalaman dan persediaan yang cukup, ramai yang tidak mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka kepada warga bangsa dan negara.

Pemimpin yang baik mestilah memahami dan menjunjung kerangka negara, bijak, amanah, ikhlas, tidak mementingkan diri sendiri serta mampu merasa denyut nadi dan suara hati rakyat.

Menjelang Undi18, orang muda mesti celik politik dan bersikap matang dalam menilai di antara janji palsu, fitnah dan kebenaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Jangan sampai kita tertipu oleh janji-janji retorik yang ditabur sebagai gula-gula politik. Ia manis didengar, namun hakikat yang pahit bakal menanti kita selepas itu.

Tunaikan tanggungjawab kita sebagai warga tanah air tercinta. Pastikan anda ialah pengundi berdaftar dan apabila tiba harinya, keluarlah mengundi. Jangan kita cuma sibuk melaungkan pelbagai slogan tetapi gagal menunaikan tanggungjawab sendiri sebagai pengundi dan rakyat.

[2:30AM] PRU14: Keputusan Daripada SPR – 2:30AM

DUN Perak
BN – 27
PAS – 3
PKR – 29

[2:15AM] PRU14: Keputusan Daripada SPR – 2:15AM

DUN Melaka
BN – 10
PAS – 0
PKR – 15

[2AM] PRU14: Keputusan Daripada SPR – 2AM

DUN Johor
BN – 16
PAS – 1
PKR – 29

DUN Selangor
BN – 3
PAS – 0
PKR – 29

[BAHARU] PRU14: Keputusan Daripada SPR – 1:30AM

DUN Negeri Sembilan
BN – 16
PAS – 0
PKR – 20

PRU14: Keputusan Daripada SPR – 1AM

DUN Perlis
BN – 10
PAS – 2
PKR – 3

DUN Pahang
BN – 22
PAS – 8
PKR – 5

DUN Kelantan
BN – 7
PAS – 28
PKR – 0
PSM – 0

DUN Penang
BN – 2
PAS – 1
PKR – 25

DUN Terengganu
BN – 8
PAS – 18
PKR – 0

Jangan Sampai Tragedi Palestin Berulang Di Tanah Air Kita

“Mustahil DAP dapat menguasai Malaysia kerana mereka terlalu sikit berbanding dengan parti komponen Pakatan Harapan yang lain!”

Inilah satu persepsi yang dilaungkan dan akhirnya dipercayai oleh ramai orang Melayu dan umat Islam lain di negara kita.

Samalah dengan apa yang difikirkan oleh orang Melayu di zaman kegemilangan Kerajaan-kerajaan Melayu Islam dahulu; adalah mustahil kuasa Kerajaan-kerajaan Melayu Islam di Alam Melayu Nusantara boleh terhakis dan akhirnya jatuh satu demi satu kepada orang lain.

Tetapi perkara yang dahulunya dirasakan mustahil itulah yang telah berlaku pada hari ini!

Begitu jugalah dengan apa yang difikirkan oleh umat Islam di bumi Arab pada zaman dahulu; mustahil bagi orang Yahudi yang bertebaran di bumi Eropah dan di benua lain datang merampas tanah Palestin dan Arab untuk membina satu negara Yahudi di bumi Arab.

Tetapi itulah apa yang telah berlaku di bumi Islam itu!

Pada tahun 1948, orang Yahudi telah berjaya membentuk sebuah negara bernama Israel di bumi Arab Palestin dan pada tahun 1968, orang Yahudi telah menakluki Baitul Maqdis.

Orang Yahudi yang amat sedikit bilangannya dan tanpa negara sendiri akhirnya dapat menghalau dan merampas tanah orang Palestin sedangkan pada ketika itu, negara Palestin dibantu oleh pakatan daripada 9 buah negara Arab Islam yang kaya raya.

Orang Melayu janganlah alpa dan terlalu selesa ketika kuasa dan Kerajaan masih berada di tangan orang Melayu Islam dan merasakan walau parti mana pun yang membentuk Kerajaan, kuasa tetap di tangan orang Melayu Islam.

Jangan lupa bahawa DAP adalah parti yang paling berkuasa di dalam pakatan mereka!

DAP, walaupun dikatakan tidak berupaya untuk menguasai satu negara, tetapi lihatlah sejarah Palestin di mana 300,000 tentera Israel telah berjaya mengalahkan 1,000,000 tentera Arab.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Jangan sudah terantuk baru terngadah, na’uzubillah…

Wallahua’lam…

~Ahmad Ali Karim, 15 tahun | 08/05/18

 

%d bloggers like this: