BN Tidak Menyokong Mana-mana Gabungan, Kekal Sebagai Pembangkang – Ismail Sabri

Naib Presiden Barisan Nasional, Dato’ Seri Ismail Sabri mengumumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan sebagai kerajaan, sama ada Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.

Di dalam sebuah twit yang diterbit pada jam 2 petang tadi, Perdana Menteri itu berkata BN juga bersetuju untuk kekal sebagai pembangkang setakat ini.

Persoalan mengenai siapa bakal menerajui kerajaan timbul setelah keputusan buntu Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada parti dapat membentuk majoriti di dalam Dewan Rakyat, membawa kepada perlunya pembentukan suatu kerajaan gabungan antara ahli-ahli parlimen daripada parti-parti berbeza.

Semalam, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, membawa kepada spekulasi bahawa Barisan Nasional bakal membentuk kerajaan bersama-sama PH, terutamanya apabila hal tersebut dilakukan di negeri Perak.

Anwar Ikrar Letak Jawatan PH Jika Tiada Majoriti – MP

Presiden PKR Anwar Ibrahim berjanji untuk melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika gagal membuktikan dia memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat kata empat ahli parlimen.

Bercakap kepada Malaysiakini, mereka yang enggan didedahkan identiti masing-masing terdiri daripada wakil PKR dan DAP.

“Betul, betul. (Anwar) maklumkan kepada kami pada Khamis,” kata seorang ahli parlimen PKR.

Menurutnya, ikrar itu dilafazkan Anwar semasa pertemuan ahli parlimen pembangkang dengannya selepas Belanjawan 2021 diterima pada bacaan kedua di peringkat dasar Dewan Rakyat.

Ahli parlimen Port Dickson itu mengejutkan orang ramai selepas dimaklumkan memberi arahan agar wakil pembangkang tidak cuba menguji Belanjawan 2021 melalui undian secara blok.

Berbeza daripada undian suara – yang ditentukan speaker melalui kumpulan mana yang lebih lantang – undian secara blok dikira melalui sokongan yang diberikan setiap ahli parlimen yang hadir.

Ia juga akan mendedahkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sama ada masih memiliki sokongan majoriti di parlimen atau sebaliknya.

Kebanyakan ahli parlimen pembangkang patuh kepada arahan Anwar namun mereka kemudian mempersoalkan pendirian tersebut dalam pertemuan yang diadakan selepas itu.

Diundi mengikut kementerian

Menurut wakil PKR itu, memang Anwar ada menyatakan rancangannya itu beberapa kali sebelum ini.

Tambahnya jika meletakkan jawatan dalam PH Anwar mahu memberikan tumpuan kepada usaha memperkuat parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kali ni dia nak tumpu pada election (PRU). Tak kiralah (berapa lama lagi) setahun ke, dua tahun ke. Dia tumpulah, tumpu untuk kukuhkan parti.

“Memang dia dah cakap berkali kali dah, kalau tak dapat, dia akan tumpu election,” katanya.

Untuk rekod semalam satu surat didakwa kononnya dikeluarkan pejabat Anwar menjadi tular. Ia berisi kenyataan didakwa janji pemimpin itu untuk meletak jawatan jika gagal membuktikan sokongan yang diterimanya.

Bagaimanapun surat itu kemudian disahkan palsu dan pejabat Anwar tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Di sebalik pengesahan itu beberapa ahli parlimen memberitahu Anwar memang ada berkata demikian.

Kata mereka, Anwar meminta tempoh seminggu untuk membuktikan sokongan yang ada padanya sekali gus memungkinkan kerajaan Perikatan Nasional dijatuhkan.

Jika gagal, mereka mendakwa, Anwar berjanji akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PH.

Belanjawan 2021 akan melalui bacaan kali ketika minggu depan. Di peringkat jawatankuasa ia sekali lagi akan diuji melalui undian mengikut kementerian. -{Malaysiakini]

MP Warisan Batu Sapi, Liew Vui Keong Meninggal Dunia

Adalah dilaporkan bahawa Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong (Warisan) telah meninggal dunia hari ini. Mendiang adalah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) di dalam kabinet Mahathir 2018.

اداله دلاڤورکن باهوا اهلي ڤرليمن باتو ساڤي⹁ليو ۏوءي کيوڠ ﴿واريثن﴾ تله منيڠݢل دونيا هاري اين. مندياڠ اداله منتن منتري دجابتن ڤردان منتري ﴿هال ايحول اوندڠ٢﴾ ددالم کابينيت محضير 2018.

Anwar Umum Kerajaan Jatuh – Apa Kata Pakar Perlembagaan?

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk membuat pengumuman mengatakan sebuah kerajaan telah jatuh semata-mata kerana beliau yakin telah mendapat cukup sokongan daripada ahli-ahli Parlimen.

Pakar Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Ab. Aziz mengingatkan orang ramai di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan jelas membuktikan terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong bagi menghadapi situasi seperti ini.

“Dalam suasana politik selepas sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa isu perlembagaan mungkin menjadi persoalan.

“Antaranya, bolehkah seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan media dengan menyatakan satu kerajaan telah jatuh?

“Adalah perlu diingat bahawa terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan ini.

“Sila rujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sila baca: UMNO, PAS, GPS Nafi Kerajaan PN Jatuh

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Bagaimanapun setakat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan malah beberapa jam selepas sidang media Anwar, beliau menyampaikan perutusan khas berhubung pakej bantuan tambahan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Malah Anwar sendiri tidak menyatakan bilangan ahli Parlimen yang menyokong beliau. -{MalaysiaGazette]

Anwar Umum ‘Kerajaan Muhyiddin Telah Jatuh’

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini, dan menambah beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Menjawab pertanyaan pemberita, Anwar berkata beliau boleh membuktikan sokongan itu, “secara konklusif”, yang menurutnya bukan kelebihan “1, 5, atau 6” tetapi hampir 2/3.

“Mereka ahli Parlimen dari pelbagai parti,” tambahnya. “Sudah tentu ada ahli Parlimen daripada pihak pemerintah.”

“Majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam.”

Anwar juga mengumumkan beliau membentuk suatu pakatan baharu dengan rakan-rakan baharu.

“Sudah tentu ini pakatan baharu…saya perlu bincang dengan rakan baharu, termasuk rakan baharu yang kuat itu,” katanya.

Ditanya pemberita adakah parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, dalam sokongan yang dikatakan ini, Anwar jawab: “Belum”.

Katanya, butiran untuk media hanya akan dimaklumkan selepas ia dipersembahkan kepada Agong.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), dan PSB (2).

Enam ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas.

MoF Kemuka Senarai Projek Rundingan Terus Zaman PH

Menteri Kewangan hari ini mengemukakan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan melalui proses rundingan terus (RT) semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, senarai itu didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan senarai itu terdapat 20 kementerian yang melaksanakan RT.

Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli paling banyak melaksanakan RT iaitu 13 diikuti Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (12), Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (9), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Kementerian Dalam Negeri, masing-masing 8.

Dari segi nilai terbanyak adalah Kementerian Pengangkutan berjumlah RM4.47 bilion meskipun hanya empat projek sahaja.

Projek-projek tersebut adalah seperti berikut:

Sila baca: Senarai 101 Projek Rundingan Terus

Tengku Zafrul sekali lagi memaklumkan perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

Jelasnya, RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat berikut:

a. Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara;
b. Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh;
c. Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;
d. Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara; atau
e. Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.

Katanya, proses itu melibatkan permohonan daripada kementerian-kementerian lain kepada Kementerian Kewangan.

Sebelum itu, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Tengku Zafrul mendedahkan mengenai RT yang dilakukan oleh kerajaan PH sehingga menjadi kontroversi. -{MalaysiaGazette]

(Video) 101 Projek Runding Terus Bernilai RM6.61 Bilion Dilulus K’jaan PH – Menteri

Parlimen kecoh apabila Menteri Kewangan Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa sepanjang 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebanyak 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Dato’ Seri Azmin Ali, yang juga menteri kerajaan PH ketika itu, bangun dan memaklumkan kepada dewan bahawa projek-projek bernilai RM6.61 bilion itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Kabinet.

Dulu PH Plus, kini PH Minus?

Baca versi Jawi di sini.

Siri drama politik Malaysia terus bersambung dengan pelbagai episod hangat yang masih belum nampak kesudahannya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik amat tegas dengan pendirian bahawa Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir adalah calon yang paling sesuai untuk jawatan Perdana Menteri ke-9, jika PH Plus berjaya memerintah.

Kata beliau, jawatan Perdana Menteri ke-9 bukan hak mutlak Anwar Ibrahim. Pemimpin PKR pula menjawab, jawatan itu juga bukan hak mutlak Dr Mahathir Mohamad.

Umum mengetahui bahawa jawatan Perdana Menteri ke-7 pernah menjadi rebutan di antara Perdana Menteri ke-4 dan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri ke-7.

Anwar berhasrat menjadi Perdana Menteri ke-7, namun rancangan berubah apabila Perdana Menteri ke-4 dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-7, sedangkan Anwar masih berada di dalam penjara pada waktu itu.

Maka Anwar hendak dijadikan Perdana Menteri ke-8 oleh kerajaan PH, namun kerajaan mereka runtuh setelah Tun Dr. Mahathir meletak jawatan.

Malah kemelut perebutan jawatan inilah yang menyebabkan jatuhnya kerajaan PH.

Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri Interim, Tun mengambil keputusan untuk menjadi Perdana Menteri semula, maka jawatan Perdana Menteri ke-8 telah menjadi rebutan Tun dan Anwar.

Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya, akhirnya jawatan Perdana Menteri ke-8 menjadi milik Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka Tun dan Anwar kembali untuk berebut jawatan Perdana Menteri ke-9 pula.

Selepas mesyuarat di Pejabat PKR, pemimpin PH Plus berkata bahawa isu ini telah selesai. Ada pemerhati yang merasakan Tun tidak lagi akan bertarung untuk kerusi tersebut kerana beliau mahu bersara, terutamanya apabila beliau dikatakan telah membuat satu kenyataan yang memberikan gambaran sedemikian.

Tetapi jelas Tun akan kembali bertarung; maka, Maszlee sebagai orang Tun sudahpun membuat kenyataan mahukan Tun dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9.

Namun menurut satu laporan akhbar Malay Mail yang bertajuk, “Sources say ‘Pakatan Plus’ mulling Anwar as DPM candidate with Shafie, but will he accept?“, ada desas-desus yang mengatakan bahawa PH akan membawa nama Anwar Ibrahim sebagai calon mereka bagi jawatan Perdana Menteri ke-9.

Manusia hanya mampu merancang, namun Allah sahajalah yang berhak menentukan segala-galanya.

Sama-samalah kita lihat siapakah yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9 nanti.

Anwar Jelas Kenapa Tidak Hadiri Sidang Media Tun Mahathir

Selepas dua hari menyepi, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil menjelaskan kenapa beliau tidak hadir dalam sidang media khas yang dipanggil Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana Isnin lalu.

Menurut Presiden PKR itu, pendiriannya jelas iaitu sidang media khas berkenaan bukan anjuran Pakatan Harapan dan tidak ada sebab untuk beliau hadir bersama dengan mantan perdana menteri ketujuh itu.

“Saya menerima banyak pertanyaan, mengapa saya tidak hadir (sidang media khas) seusai titah diraja di Parlimen. Jawapannya mudah sahaja. Itu bukan sidang media Pakatan Harapan.

“Pada mesyuarat PH sehari sebelum itu, kita telah putuskan pemimpin-pemimpin pakatan dan Bersatu serta Warisan akan melihat dan menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan menandatangani.

“Oleh demikian, kita tidak akan mengadakan sidang media khas Pakatan Harapan, tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah dan Keadilan buat sidang media masing-masing atau Ahli Parlimen PH mengemukakan pandangan,” katanya menerusi siaran langsung Facebook beliau, hari ini.

Isnin lalu, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang tidak kelihatan pada sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.

Sila baca: Titah Agong Menjelaskan Kenapa Persidangan Parlimen Hanya Ada Satu Urusan (Video)

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, selain Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat bersama-sama pada sidang media berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen PKR juga tidak kelihatan pada sidang media itu selama kira-kira 35 minit.

Bagaimanapun, ketika ditanya media, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, berkata, Anwar sudah menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan PH dan parti yang bekerjasama dengannya.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi dengan mengatakan, beliau tidak hadir kerana sidang media Dr. Mahathir itu bukan anjuran PH.

Tegas beliau, selepas ini PH akan mengeluarkan notis bahawa semua program atau sidang media parti itu mesti diumumkan oleh Sekretariat PH.

“Semuanya mesti melalui Sekretariat PH. Tidak boleh umpamanya saya menggunakan Sekretariat Keadilan untuk membuat program bagi pihak PH. Kita ada peraturan yang harus kita patuhi,” katanya.

Anwar baru-baru ini mengesahkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi PH berikutan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH. –{MalaysiaGazette]

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

Mukhriz Letak Jawatan MB

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13, selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti.

Gabungan itu hilang sokongan majoriti selepas 6 Adunnya beralih menyokong pakatan yang dipimpin PAS awal minggu ini.

Ini kali ke-2 beliau meletakkan jawatan ketua kerajaan negeri itu, kali pertama pada Februari 2016 susulan perselisihan dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Gabungan itu menang di Kedah dengan 19 kerusi berbanding 17 kerusi pembangkang. PAS mengetuai blok lawan dengan 15 kerusi, manakala Umno 2 kerusi.

Kerajaan baru sudah dijangka akan terbentuk selepas ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS, mengumumkan beliau peroleh sokongan 23 Adun, majoriti dalam kalangan 36 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata wakil rakyat yang menyokong PN menandatangani akuan berkanun.

Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin baru-baru ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional.

Sanusi berkata PN juga mendapat sokongan 4 wakil rakyat PPBM, tanpa Mukhriz dan Adun Bukit, Amiruddin Hamzah. -{Free Malaysia Today]