“Anwar PM Interim”: Bagaimana Draf Berita Menjadi Sensasi

Free Malaysia Today telah menerbitkan satu laporan yang mengatakan Anwar Ibrahim telah dilantik menjadi Perdana Menteri Sementara Malaysia pada jam 4.53 petang, 22 November 2022.

Tak … itu bukan apa yang berlaku sebenarnya.

Laporan ini disusuli sebuah twit daripada TheVibes yang melaporkan hal yang sama. Twit itu kemudiannya tular di laman Twitter, dengan 15,000 twit semula dalam masa kurang 10 minit.

Ia disusuli pula dengan sepucuk twit daripada Free Malaysia Today pada 5.24 petang, memohon maaf kerana draf berita tersebut telah “diterbit secara tidak sengaja,” dan bahawa mereka telah memadam laporan tersebut.

Namun begitu, berita itu terus menyebar luas ibarat api membara, sampaikan wartawan tersohor, Melissa Goh, yang merupakan Ketua Biro Malaysia bagi Channel News Asia turut mengumumkan ‘berita’ itu di laman Twitternya.

Laporan Melissa ini turut dipetik Berita Harian, dan kemudian New Straits Times juga mengeluarkan sebuah laporan di mana seorang “sumber dalaman parti” mendakwa keadaan kelihatan seperti Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Sebenarnya, seperti yang diperjelaskan Anwar sendiri, apa yang Yang di-Pertuan Agong kata hanyalah bahawa tiada sebarang pelantikan Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri Interim setakat ini.

Namun bagaimanakah ini terjadi sebenarnya? Mengapa FMT menulis satu draf berita tentang sesuatu yang tak berlaku pun?

Agensi berita sentiasa bersaing dalam menjadi sumber paling relevan dan pantas – maka mereka perlu mengurangkan jurang masa antara sesuatu perkara itu berlaku dan dilaporkan.

Penyelesaiannya adalah untuk menulis draf bagi berita yang dinanti-nantikan dengan awal, dan hanya mengisi perincian lanjut selepas perkara itu telah disahkan. Lazim sekali draf ini hanya mengandungi satu atau dua perenggan sahaja agar tidak perlu menyunting banyak bagi penyesuaian fakta. Setelah semua sudah disahkan, laporan itu boleh diterbit dan menjadi salah satu laporan pertama di dunia berkenaan hal tersebut.

Ini ialah amalan yang lazim dalam dunia kewartawanan. Saya sendiri juga telah melakukannya ketika membuat liputan di blog saya.

Contohnya ketika Parlimen dijangka akan dibubar pada 2020 oleh Mahathir, kemudiannya 2021 oleh Muhyiddin, dan kemudiannya 2022 oleh Ismail Sabri. Akhirnya, hanya satu daripada berbilang draf berita yang saya tulis akhirnya diterbit apa Ismail Sabri benar-benar membubar Parlimen.

Kali ini, ura-ura yang tular adalah konsisten – ‘Anwar dinamakan sebagai perdana menteri interim dan perlu mula memungut sokongan majoriti.’ Menariknya, itu bukan lagi berita sama yang mula tersebar.

Draf laporan FMT hanya menulis:

“Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri sementara.

“BERITA LANJUT MENYUSUL”

Namun, tatkala ‘berita’ itu tiba di sumber lain seperti Melissa Goh dari CNA, ia diberi tafsiran tambahan pula, seperti Anwar perlu mendapat majoritilah, dan berbagai-bagai lagi perincian tambahan yang langsung tidak disebut dalam ‘laporan’ asal itu.

Kes ini amat menarik untuk dikaji bagi melihat betapa pantasnya berita palsu menyebar luas, dan betapa sukarnya berada di dalam dunia kewartawanan kerana impak yang setiap kesilapan boleh membawa.

Walaupun agak kecil bagi khalayak awam, kesalahlaporan ini membawa implikasi yang buruk kerana telah ‘menuduh’ Baginda Yang di-Pertuan Agong melakukan sesuatu yang Baginda tidak lakukan.

Sesiapa pun jua yang menjadi Perdana Menteri seterusnya, kita hanya harapkan yang terbaik untuk negara ini.

“Anwar as Interim PM”: How a Draft Report Fooled a Whole Country

At 4.53PM, 22nd November 2022, online news agency, Free Malaysia Today, released a short piece of news, stating that Anwar Ibrahim has been appointed as Interim Prime Minister of Malaysia.

Spoiler alert: that’s not what actually happened.

This was followed by a tweet by TheVibes, which would later go viral, gaining over 15,000 retweets in less than 10 minutes.

This was briefly followed by tweet from Free Malaysia Today at 5.24PM apologising for “erroneously publishing” the draft story, and that they have since deleted the story on their site.

Despite this, the news continued to spread like wildfire, to the point even the renowned Melissa Goh, Malaysia Bureau Chief for Singapore’s Channel News Asia would publish the ‘news’ on her Twitter account.

This would later be picked up by Berita Harian citing Channel News Asia, and even New Straits Times would later publish a news article whereby a “party source” stated that it “looks like it [that Anwar is appointed Interim PM.”

The reality, as explained by Anwar himself after that, was that he was merely told by the Yang di-Pertuan Agong that the King has yet to make any decision, and so there is no appointment for any Prime Minister or Interim Prime Minister.

But why did this problem even started? Why would FMT write a draft article if such is not to happen to begin with?

Media agencies are always competing with each other in staying relevant and being the first to publish a news – and so they would need to reduce the time between the news happening and the news being published.

The solution? Write drafts for all anticipated news early on and only fill in the minute details once the thing is confirmed to happen. Oftentimes the draft consists of one or two paragraphs to reduce the amount of edits needed to be made for factual correction, and once everything is out you can be the first, or one of the first to talk about it.

This is a common practice in reporting. Even I myself have done that in the past in publishing articles on my blog when reporting of a certain situation. An example would be the dissolution of Parliament, expected to happen in February 2020 and announced by Mahathir, and then again in 2021 by Muhyiddin, and then in 2022 by Ismail Sabri.

In the end, out of the many draft articles I wrote, only one was ever published when Ismail Sabri dissolved the Parliament for real.

This time, the word that spread seemed consistent – ‘Anwar has been named interim prime minister and needed to work in building his majority.’ Interestingly, that was not even how the news began.

The draft by FMT simply wrote, in Malay:

“Anwar Ibrahim is appointed as interim prime minister.

MORE NEWS TO FOLLOW

But when the news reached other sources including Melissa Goh from CNA, it was later interpreted as being about how he’s now looking to build his majority, and a bunch of other details which wasn’t even mentioned in the initial ‘report’.

This case is interesting to observe as an example of how fast a fake news can spread, and how fragile journalism is.

Despite seemingly small for the public, this misreport brings a big impact as it involves ‘claiming’ His Majesty did something he did not do.

Whoever who becomes the next Prime Minister, we just hope for the best for our country.

30 MP BN Dititah Mengadap Agong Secara Individu Esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk mengadap Baginda secara individu di Istana Negara esok.

Dalam sebuah kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata sesi mengadap itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi.

“Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bertitah memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan melantik Perdana Menteri ke-10.

Perkara tersebut diumumkan setelah Baginda menerima mengadap Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin ke Istana Negara petang tadi.

YDPA Belum Buat Keputusan – Anwar

Yang di-Pertuan Agong bertitah memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan melantik Perdana Menteri ke-10.

Perkara tersebut diumumkan setelah Baginda menerima mengadap Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin ke Istana Negara petang tadi.

Berita lanjut menyusul.

Agong Berkenan Terima Senarai Anggota Kabinet Baharu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, hari ini.

Menurut Istana Negara, sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi.

“Seri Paduka berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara.

Sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah Kabinet hari ini. –{Utusan Digital]

Jangan Persoal Kuasa Prerogatif Agong

Perdana Menteri ke-9 sudah dilantik. Ada yang gembira, ada yang kecewa; ada yang menyokong dan ada pula yang membantah.

Belum pun barisan kabinet baharu diumumkan, suasana politik sudah mula kembali panas:

  • Ada yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut secara umum
  • Ada yang mempertikaikan mengapa undi percaya masih perlu dijalankan
  • Ada yang mempertikaikan kuasa Agong dalam melantik Perdana Menteri

Kita mesti melihat kepada Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa:

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah mengatasi politik. Baginda tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap negara.

Jelasnya, kita dapat melihat Yang di-Pertuan Agong tegas menjalankan tugas Baginda sebagai Ketua Utama Negara dengan adil dan berlandaskan undang-undang negara.

Dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Baginda Agong menzahirkan bahawa:

Sesiapapun juga dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Untuk memilih Perdana Menteri ke-9, Baginda telah menitahkan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan menyatakan seorang calon yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli dewan rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Jelas, Baginda telah menggunakan kuasa budi bicara Baginda dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.

Buktinya, dalam melaksanakan kuasa budi bicara, Baginda bertindak meraikan konsep demokrasi yang diamalkan dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Demi meraikan konsep demokrasi jugalah, Baginda telah menitahkan Perdana Menteri setelah dilantik, hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Kini ada yang mempersoalkan apakah perlu untuk diadakan undi percaya bagi mengesahkan keabsahan seorang Perdana Menteri sedangkan hal ini tidak disebut di dalam Perlembagaan?

Dalam hal undi percaya ini, saya melihat Baginda Agong:

  • Berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan
  • Meraikan konsep demokrasi
  • Bersikap saksama kepada semua pihak termasuk pihak yang kalah
  • Tidak mahu berbangkit pertikaian tentang soal keabsahan Perdana Menteri

Sebenarnya undi percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik bukan hasil daripada Pilihan Raya Umum, bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik negara.

  • Pada tahun 1976, Allahyarham Tun Hussein Onn telah menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia. Usul undi percaya terhadap Tun Hussein dibuat beberapa hari berikutnya.
  • Pada tahun 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menggantikan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan secara tiba-tiba. Usul undi percaya terhadap Tun Abdullah kemudiannya dibentang di Parlimen.

Demi integriti dan keadilan kepada semua pihak, pemimpin politik perlu akur kepada titah Baginda Agong dalam usaha menyelesaikan krisis ini agar pisang tidak berbuah dua kali.

Setelah negara bertukar Perdana Menteri sebanyak 2 kali dalam masa 18 bulan, Baginda Agong pasti mencari jalan agar perkara yang sama tidak berulang.

Di dalam dunia ini, tiada sesiapa yang akan berpuas hati sepenuhnya atas setiap keputusan atau pemilihan yang dibuat secara undian. Namun itulah dasar demokrasi. Suara majoriti yang akan menang.

Yang menang pula mestilah adil dan mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama sebelum bertanding.

Semoga kita semua khasnya pemimpin-pemimpin politik boleh berjiwa besar dan mengambil iktibar daripada titah Baginda bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.

Bersikap adillah sesama kita.

Tidak semua yang berlaku di dunia ini adalah manis bagi kita. Ada yang pahit untuk ditelan dan ada yang terlalu sukar untuk ditempuhi.

Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Raja-raja Melayu telah selesai bermesyuarat dalam Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu dijangka mengeluarkan suatu kenyataan rasmi mengenai perbincangan khas tersebut dalam masa terdekat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berangkat pulang meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 4.22 petang tadi, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 4.24.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berangkat pulang dari istana pada jam 4.26 petang, diikuti Sultan Perak, Sutan Nazrin Muizuddin Shah pada jam 4.28.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat pulang pada jam 4.30 sambil melambai ke arah petugas akhbar.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Terdahulu, enam Raja-raja Melayu telah ke Istana Negara bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah petang tadi. Perbincangan khas tersebut dipercayai berkenaan pemilihan Perdana Menteri ke-9, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

Pemimpin Parti Mengadap Agong: Setuju Wujudkan ‘Politik Baharu’

Terdapat satu konsensus dalam kalangan parti-parti politik Malaysia untuk menggagas suatu bentuk ‘politik baharu,’ kata pemimpin-pemimpin parti selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong secara serentak petang tadi.

Ketika ditemu bual pihak akhbar, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, pemimpin-pemimpin parti-parti politik senegara telah bersepakat atas hal demikian, namun beliau tidak memberi penjelasan akan apakah yang dimaksudkan dengan ‘politik baharu.’

Beliau turut menambah bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan semua ketua parti politik bahawa negara dalam krisis kesihatan, politik dan ekonomi, dan Baginda mahukan semua pihak bermuafakat menanganinya.

“Maknanya yang menang jangan jadi seperti yang pernah berlaku, memakan orang yang kalah,” ujar Anwar kepada petugas akhbar.

“Semua nampak ada konsensus hentikan politik lama dengan cara hukum dan harus jurus semula ke arah membangun,” tambahnya lagi.

Anwar berkata isu yang ditekankan dalam pertemuan itu bukan pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi mengenai mewujudkan suatu bentuk ‘politik baharu’ “yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat.” – Gambar ihsan Free Malaysia Today

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti-parti politik telah ke istana negara bagi tujuan mengadap Yang di-Pertuan Agong secara serentak, bagi membincangkan hal berkaitan keadaan negara pada masa kini.

Lebih lanjut: Pemimpin-pemimpin Parti Selesai Mengadap Agong

Terdahulu, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya membuat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Menurut laporan Malaysiakini, ahli-ahli Parlimen mempunyai masa sehingga pukul empat petang esok untuk mengemukakan akuan secara bertulis. Surat itu mesti disahkan sebagai benar.

Lebih lanjut: Semua MP Diarah Calonkan PM Secara Bertulis

Daulat Tuanku

Sejarah negara telah tercatat sejak berkurun yang lalu; dan bukannya baru bermula pada tahun 1957. Daripada dahulu lagi, tanah ini adalah tanah berdaulat dan bertuan. Sejak zaman kerajaan Srivijaya, kerajaan Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau dan sehingga kini, Tanah Melayu kekal diperintah oleh Baginda Raja-raja Melayu sebagai Raja yang berdaulat.

Walaupun kini sistem pemerintahan negara telah berubah kepada sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, namun dalam beberapa perkara tertentu, kuasa membuat keputusan terletak pada budi bicara Tuanku, seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, ada pula rakyat yang khilaf tentang hal ini. Mereka menganggap peranan Raja-raja Melayu hanyalah sebagai simbol semata-mata tanpa mempunyai kuasa eksekutif dalam pemerintahan negara.

Lebih lanjut: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Hakikatnya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah kuasa utama di dalam badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara. Ini bermakna bahawa segala urusan kerajaan ialah urusan Seri Paduka Baginda yang seterusnya diturunkan kepada jemaah menteri.

Dalam institusi pemerintahan negara, terdapat tiga cabang kuasa iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini berada di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Lebih lanjut: Kuasa Agong: Budi Bicara v. Nasihat

Sistem pengasingan kuasa ini adalah integral dalam merealisasikan prinsip semak dan imbang. Hal ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Namun, apabila asas ini gagal difahami, maka berlakulah kesilapfahaman terhadap kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Raja-raja Melayu sebagai ulil amri wajib di hormati oleh rakyat, dan titah perintah Yang di-Pertuan Agong yang berada di bawah bidang kuasa Baginda hendaklah dituruti oleh semua warganegara.

Lebih lanjut: Kewajipan Mentaati Raja Sebagai Ulil Amri

Raja-raja Melayu ialah tonggak pemerintahan negara dalam sistem kenegaraan Malaysia yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja.

Sebagai negara yang berdaulat, kita mempunyai kerangka sistem pemerintahan yang tersendiri dan berdasarkan adat setempat.

Jangan sampai kita lupa sejarah tanah air kita dan tidak mengenali sahsiah diri sendiri. Jika kita lupa akan asal usul kita, maka akan hilanglah jati diri bangsa.

Negara ini bukanlah terbina dengan sendiri tetapi lahir daripada pengorbanan mereka yang mendahului kita.

Lebih lanjut: A Kadir Jasin and the Raja-Raja Melayu

Rencana berkaitan:

Azalina Soal Rashid: Dah Baca Belum Surat Istana 9 Ogos?

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon telah menerima ‘peringatan’ dari rakan parlimennya Azalina Othman Said malam tadi mengenai sepucuk surat yang mungkin dia terlepas pandang.

Ini susulan Rashid mengaku tidak sedar kewujudan surat dari Istana Negara yang meminta Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk mengesahkan jumlah ahli parlimen yang masih menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pada ciapan di Twitter malam tadi, Azalina – yang juga timbalan speaker di Dewan Rakyat – berkata salinan surat itu juga telah dikirimkan kepadanya dan Rashid.

“Surat bertarikh 9 Ogos 2021 salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum Rashid,” soalnya pada hantaran malam tadi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadhli Shamsuddin telah menghantar surat pada 9 Ogos meminta Azhar mengesahkan sokongan terhadap Muhyiddin.

Azalina menyertakan tangkap layar laporan dari akaun Twitter portal The Vibes, yang memetik Rashid mendakwa, tidak ada duluan (precedent) Agong berkomunikasi secara langsung dengan speaker mengenai hal-hal parlimen.

“Sebab itu saya perlu tanya tentang laporan yang membuat dakwaan sedemikian kerana bagaimana Yang di-Pertuan Agong boleh menanyakan soalannya kepada Yang di-Pertua (Dewan Rakyat).

“Menurut prosedur, ketika Parlimen bersidang, apa sahaja yang berlaku di dalam dewan, ketua Dewan Rakyat (perdana menteri) akan melaporkan sendiri kepada Agong, termasuk sokongan majoritinya.

“Ia tidak datang daripada speaker. Tak boleh. Ini prosedurnya,” kata Rashid seperti dipetik The Vibes.

Bagaimanapun, Azalina menafikan dakwaan Rashid itu, berkata dirinya, Rashid dan Azahar telah menghadap Agong pada 29 Jun.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga menyertakan gambar pertemuan itu pada ciapannya di Twitter.

“YB (Rashid) bukan kita jumpa Yang di-Pertuan Agong ramai-ramai pada 29 Jun 2021 ke,” soalnya lagi.

Pun begitu, kedua-dua timbalan speaker ini tidak sependapat mengenai perkara ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah sebelum ini telah berkenan menerima menghadap speaker dan dua timbalan speaker Dewan Rakyat, serta presiden dan timbalan presiden Dewan Negara, pada 29 Jun.

Ini selepas Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti politik utama negara dari 9 Jun dan 15 Jun, mengenai situasi Covid-19 dan darurat yang berkuatkuasa ketika itu.

Setelah bertemu dengan speaker DEwan Rakyat dan Dewan Negara, istana mengeluarkan kenyataan pada hari sama mengulangi gesaannya bahawa parlimen perlu bersidang “secepat mungkin”.