Positif Covid-19, Tun M Dimasukkan ke IJN

UTUSAN – PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 97, disahkan positif Covid-19, pagi ini.

Pejabat beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, pemimpin itu kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Tun dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan,” katanya di sini hari ini.

Awal tahun ini, Dr. Mahathir menerima rawatan di IJN kerana faktor kesihatannya dan dibenarkan pulang pada 5 Februari lalu selepas keadaan bertambah pulih. – UTUSAN

TS Muhyiddin Positif Covid-19

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan positif Covid-19 hari ini.

Presiden Bersatu itu memaklumkan perkara itu  di Facebook dan beliau memberitahu, dirinya hanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuat ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Berikutan itu, beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Saya telah didapati positif Covid-19 pagi ini setelah membuat ujian Reaction Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Kepada sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat saya, saya nasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata beliau.-{Utusan Digital]

Sidang Khas Parlimen Isnin Ditangguh

Sidang Khas Dewan Rakyat hari terakhir yang sepatutnya berlangsung Isnin ini ditangguhkan pula ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Vacha Mydin berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan itu kepada ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu, Sidang Khas Dewan Rakyat pada Khamis lepas tertangguh empat kali susulan beberapa perkara yang tidak dijangka berlaku.

Sidang khas yang masuk hari keempat sepatutnya menumpukan perbahasan terhadap pakej rangsangan ekonomi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tanpa jawapan balas atau penggulungan sidang itu akhirnya ditangguhkan ke Isnin depan oleh Mohd Rashid yang ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan. – MalaysiaGazette

Parlimen Ditempoh Kali ke-3 Akibat Kes Covid-19 Pula

Timbalan Speaker, Mohd Rashid Hasnon memaklumkan bahawa Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga jam 5.15 petang, kerana terdapat kes positif Covid-19 di Parlimen.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengirim sebuah surat permakluman kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Dukacita dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia telah dimaklumkan pada 29 Julai 2021, jam 12.30 tengah hari mengenai dua kes positif Covid-19 (dalam kalangan) yang telah hadir ke Parlimen.

Kedua-dua kes tersebut melibatkan petugas Parlimen.

Sehubungan dengan itu, dipohon saringan gejala dan ujian, saringan pengesanan Covid-19 dijalankan ke atas semua yang hadir dan berada di Parlimen Malaysia termasuklah semua Ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai, warga Parlimen dan pekerja-pekerja. Tiada siapa dibenarkan keluar dari kompleks Parlimen sehingga keputusan diperolehi.

Sebelum ini, menteri kabinet dan Peguam Negara Idrus Harun telah tiba di kediaman Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Bernama TV, mereka mulai tiba pada jam 1.30 tengah hari tadi – satu jam sebelum persidangan Dewan Rakyat dijadualkan untuk bersambung semula.

Hal ini adalah berikutan kenyataan Istana Negara tengah hari tadi mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan tanpa restu Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Istana: Ordinan Darurat Dibatal Tanpa Perkenan Agong

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan persekutuan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda.

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, suasana Parlimen yang sedang bersidang menjadi kecoh apabila hal tersebut dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan menangguhkan Dewan Rakyat selama 15 minit, dan kemudiannya menempohkannya sehingga jam 1 petang.

Sila baca: Ekoran Kenyataan Istana, Dewan Ditempoh Hingga Jam 1

Terdapat ura-ura serta desakan untuk undi percaya atau undi tidak percaya diadakan di Dewan Rakyat petang ini, namun hal tersebut belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Sila baca: Adakah Undi Percaya Bakal Diadakan di Dewan Rakyat Petang Ini?

‘Ada Kes Positif Covid-19 di Parlimen’

Terdapat kes positif Covid-19 di Parlimen yang menyebabkan ramai menjadi kontak rapat daripada kes tersebut.

Mengesahkan perkara itu, seorang pegawai Parlimen yang tidak mahu dinamakan berkata, jangkitan tersebut banyak yang berlaku kepada pengawal keselamatan.

Katanya, setakat ini lebih 10 orang yang mengalami gejala dan simptom seperti batuk dan sakit tekak, sekali gus ia menimbulkan kebimbangan banyak pihak apabila sidang Dewan Rakyat akan berlangsung pada 26 Julai ini.

“Ikutkan jadual yang ada, sidang Dewan Rakyat akan tetap berlangsung 26 Julai ini. Tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya jika ia tetap berlangsung dalam keadaan kes Covid-19 di Parlimen pun ada.

“Sebab virus itu boleh tersebar melalui penguadaraan di sesebuah kawasan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sidang Dewan Rakyat Khas dijadual akan berlangsung selama lima hari bermula 26 Julai ini.

Ia melibatkan 222 ahli Parlimen di semua kawasan serta pegawai yang terlibat, anggaran 400 orang yang akan hadir.

Dalam sidang kali ini juga, difahamkan ia akan membincangkan isu berkaitan Covid-19 termasuklah Ordinan Darurat serta persidangan secara hibrid. -{Utusan Digital]

Sultan Selangor Dukacita Terpaksa Hadkan Fungsi Masjid

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.

Baginda bertitah, keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Titah Sultan Sharafuddin, baginda memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat yang menggesa agar masjid-masjid di Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.

“Beta sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Selangor.

“Selain itu, beta juga bersedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk negeri,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa masjid di Selangor tidak pernah ditutup sebaliknya hanya dihadkan kehadiran jemaah.

Titah baginda, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Baginda menjelaskan apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

“Sehingga 9 Julai lalu, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada tarikh tersebut), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan beta adalah data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian pada akhir Jun lalu,” titahnya.

Baginda turut menzahirkan kekesalan meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketatkan di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya tersebut terus mengganas.

“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri ini.

“Beta sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan,” titahnya.

Berikutan itu, Sultan Sharafuddin bertitah walaupun berat hati sehingga hari ini namun baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri ini.

“Bagaimanapun, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa,” titahnya. –{Kosmo! Digital]

Raja-raja Melayu Titah Kerajaan Perlu Stabil, Dapat Sokongan Majoriti

Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu bertitah menegaskan betapa pentingnya bagi kerajaan Malaysia adalah stabil serta mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat.

Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad memaklumkan bahawa Baginda Raja-raja Melayu telah titah bersependapat dalam tujuh perkara ketika Perbincangan Khas Raja-raja Melayu petang tadi.

Pertama sekali ialah nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi segala perkara lain, saat negara dilanda ancaman kesihatan iaitu penularan wabak Covid-19.

Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi perlu dikurangkan agar program vaksinasi dapat ditingkatkan supaya negara dapat mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.

Di dalam kenyataan tersebut, Tan Sri Syed Danial menyatakan bahawa Raja-raja Melayu telah menekankan bahawa kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif agar berjaya dijalankan.

Selain itu, Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan bagi meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas tamat tempoh asal darurat iaitu 1 Ogos 2021.

Baginda Raja-raja Melayu juga menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen Malaysia bersidang dengan segera, dan Dewan-dewan Undangan Negeri turut perlu dibolehkan bersidang secepat mungkin.

TERKINI – Istana Umum Perbincangan Khas Raja-raja

Baca versi Jawi di sini

Yang di-Pertuan Agong akan menganjurkan sesi perbincangan khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun. Perkara tersebut diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Menurut sebuah siaran media Istana Negara, Perbincangan Khas Raja-raja Melayu ini adalah atas inisiatif Seri Paduka Baginda dan akan dipengerusikan oleh Baginda.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa perbincangan ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Ini adalah kali kedua Perbincangan Khas sebegini diadakan di Istana Negara sejak Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari, 2019.

Kali pertama Perbincangan Khas Raja-raja Melayu telah dianjurkan adalah pada 25 Oktober, 2020 di Istana Negara.

Berita ini datang setelah beberapa pemimpin politik pembangkang ke Istana Negara bagi mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sila baca: Muhyiddin Selesai Mengadap Agong; Anwar, Guan Eng & Tun Mahathir Seterusnya

Antaranya termasuk Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Menurut Anwar Ibrahim ketika beliau meninggalkan pekarangan Istana Negara pagi tadi, perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong tersebut bukan berkenaan pembentukan kerajaan baharu seperti yang disangka ramai pihak.

“Itu soal yang tidak berbangkit sekarang,” katanya menjawab soalan pemberita tentang apakah isu itu ada disebut dalam pertemuannya dengan Agong.

Sila baca: Tuanku Berlapang Dada Dengar Semua Pandangan: Anwar

Disoal tentang apakah tujuan Agong memanggil pemimpin-pemimpin parti mengadapnya dalam beberapa hari ini, kata Anwar, hak itu terpulang pada baginda.

“Itu terserah pada tuanku.

“Tapi berdasarkan pengalaman saya tadi, tuanku berlapang dada mendengar semua pandangan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka akan ke Istana Negara esok selepas menerima jemputan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air, Ulya Aqamah Husamudin, Tun Mahathir menerima jemputan tersebut minggu lalu, bagaimanapun waktu perjumpaan belum ditentukan lagi.

Gabungan Parti Sarawak turut mengesahkan bahawa pemimpin gabungan parti tersebut akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 14 Jun ini, namun tiada maklumat mengenai tujuan perjumpaan tersebut.

Sila baca: Pemimpin GPS Mengadap Agong Minggu Depan

Jenazah Harussani Selamat Dikebumikan

Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.

Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang oleh anggota petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Terdahulu jenazah tiba pada pukul 6.05 petang di tanah perkuburan itu setelah dikafan dan disolatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Majlis pengebumian dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan masuk ke tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang.

Beberapa ahli keluarga Allahyarham hanya melihat majlis pengebumian dari luar pagar tanah perkuburan.

Petugas media hanya dibenarkan membuat liputan pengebumian dari jarak kira-kira 200 meter.

Turut hadir Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2 45 petang tadi setelah dirawat kerana positif Covid-19 di HRPB. -{Utusan Digital]

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Meninggal Dunia

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.

“Betul saya sahkan. Beliau meninggal dunia pada pukul 2.45 petang tadi,” katanya.

Allahyarham berusia 82 tahun. -{Utusan Digital]

Al-Fatihah…