Mufti Perak, Tan Sri Harussani Meninggal Dunia

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.

“Betul saya sahkan. Beliau meninggal dunia pada pukul 2.45 petang tadi,” katanya.

Allahyarham berusia 82 tahun. -{Utusan Digital]

Al-Fatihah…

‘Total Lockdown’ Bermula 1 Jun

Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.

“Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas turut mempengaruhi keputusan hari ini,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan terrsebut, dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad.

Katanya, jika penutupan penuh itu berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan ‘lockdown’ fasa kedua iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor
ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

“Lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir. Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini yang mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan,” katanya.

Tambah kenyatan itu, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Penilaian dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19. Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini. Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan,” katanya. –{Utusan Digital]

Darah Biawak Air Boleh Rawat Covid-19?

Kumpulan pengkaji di sebuah universiti mendakwa darah biawak air mengandungi bahan yang boleh mencegah kanser, bakteria dan kemungkinan virus Covid-19.

Prof. Jitkamol Thanasak dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Mahidol berkata, kumpulan pengkaji itu akan meneliti rahsia sistem imun biawak air yang kuat sehingga membolehkannya hidup dalam air tercemar serta makan bangkai.

Katanya, kumpulan pengkaji itu juga sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk mengambil sampel darah biawak air untuk diselidik.

“Sampel darah itu digunakan untuk mengkaji ciri-ciri protein yang membentuk sistem imun biawak air.

“Pengkaji mendapati protein berkenaan boleh membunuh sel kanser, bakteria dan mungkin berupaya mencegah jangkitan virus termasuk Covid-19,” katanya kepada Nation Thailand.

Kumpulan pengkaji itu bercadang untuk mematenkan kajian tersebut selepas penyelidikan rapi dilakukan.

Mereka dijangka menyelesaikan kajian awal itu menjelang penghujung tahun ini sebelum digunakan untuk menguji tahap keberkesanan menentang influenza dan Covid-19. -{Utusan Digital]

Insiden Pencemaran Sungai Kim Kim Dikhuatiri Berulang

Walaupun peris­tiwa pencemaran Sungai Kim Kim sudah setahun berlalu, situasi hampir sama berlaku di sebatang sungai berhampiran kawasan kejadian sekali gus me­ngundang kebimbangan penduduk Kampung Sungai Rinting C, di sini.

Para penduduk kampung tersebut dan kawasan sekitar mendakwa mereka menjadi mangsa terbaharu pencemaran alam sekitar yang berpunca dari­pada pembuangan sisa kimia­ dari sebuah kilang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pencemaran udara tersebut datang dari sebuah tapak pembuangan sampah haram yang jaraknya hanya kira-kira 80 meter dari rumah penduduk.

Salah seorang penduduk, Khanafi Sudin, 39, berkata, keadaan hampir sama seperti kejadian Sungai Kim Kim berlaku apabila dia kini berasa pening dan seakan-akan mahu demam kerana menghidu bau sisa pencemaran dari kawasan pembuangan sampah haram berkenaan.

“Ketika penduduk melakukan pemeriksaan di tapak pelupusan sampah haram tersebut, mereka menjumpai pelbagai bekas dipercayai berisi bahan kimia.

“Sebahagian sisa buangan itu mengeluarkan asap dan baunya sangat busuk seperti asid sehinggakan penduduk berdekatan terpaksa menutup pintu dan tingkap mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, sebelum ini, pasukan bomba pernah datang melakukan pemeriksaan dan memusnahkan bahan kimia tersebut tetapi perbuatan membuang sisa berbahaya terus berlaku di kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zainal Abidin, 31, pula memberitahu, lori yang membuang sisa kimia berkenaan kebiasaannya datang pada waktu malam untuk mengelak dikesan penduduk.

“Aduan sudah dilakukan kepada pihak berwajib kerana kami bimbang masalah yang lebih besar boleh berlaku kerana terdapat sebuah sekolah di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkara tersebut akan dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPGG), Pejabat Tanah dan Galian serta Kementerian Kesihatan.

Beliau tidak mahu kejadian Sungai Kim Kim berulang sehingga memberi kesan buruk kepada penduduk.

“Tindakan segera perlu diambil termasuk menyiasat dari mana sisa buangan tersebut datang kerana ia sangat berbahaya. Ini ekoran kedudukan tapak pembuangan sampah haram begitu hampir dengan penempatan penduduk dan Sungai Rinting,” katanya. –{Utusan Digital]

16 Tan Lemak Babi Untuk Buat Biskut Dirampas

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas kira-kira 16 tan lemak babi yang digunakan untuk membuat biskut dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini Isnin lalu.

Jurucakap Maqis negeri berkata, ketika operasi kira-kira pukul 9 malam itu, pihaknya mendapati satu kontena yang membawa masuk produk proses berkenaan yang diisi di dalam tong bersaiz 10 kilogram (kg) setiap satu.

Tambahnya, siasatan mendapati produk itu dibawa masuk tanpa mematuhi syarat-syarat import seperti yang dinyatakan dalam Permit Import Maqis iaitu tiada nama dan alamat loji pada label pembungkusan. 

“Sebanyak 16,200 kg lemak babi itu yang bernilai RM110,456.37 telah disita untuk tindakan lanjut.

“Tujuan dagangan dari Belanda itu diimport adalah sebagai bahan dalam pembuatan biskut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728]. –{Utusan Digital]

PATI: UNCHR Akui Ada Pemalsuan Kad Pelarian

Baca versi Jawi di sini.

Suruhanjaya Ting­gi Pertubuhan Bangsa-bang­sa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) mengakui tentang kewujudan kegiatan pemalsuan kad pelarian suruhanjaya tersebut.

Memetik laporan Utusan Digital, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menetapkan ciri keselamatan dalam kad pelarian tersebut, termasuklah ciri hologram, kod palang, sistem tindak balas pantas selamat selain pengumpulan da­­­ta biometrik yang memerlukan imbasan iris dan cap jari.

“Sebahagian daripada usa­ha berterusan kami untuk mem­ban­teras pemalsuan kad dan pemalsuan identiti, UNHCR telah membuat pelaburan yang besar dalam memperkukuhkan lagi prosedur dan memastikan inte­griti dokumen kami.

“Kesahihan kad boleh disahkan melalui aplikasi UNHCR Verify-MY yang membolehkan pegawai penguat kuasa undang-undang dan mereka yang terlibat dalam kerja perlindungan dan bantuan untuk lebih mudah membuat pengesahan kad,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut pendedahan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 2hb Ogos lalu, kad palsu warga asing berkenaan boleh diperoleh menerusi ejen dengan harga sekitar RM500 ke RM800 sahaja. Mereka akan diberi kad palsu tersebut jika tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh UNHCR bagi kad tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka ditangkap, warga asing terlibat akan diberikan kad UNHCR yang sah dengan mudah.

Utusan Malaysia pada bulan lepas turut pernah mendedahkan kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini hampir menyamai bilangan penduduk Putrajaya namun hanya 317 yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini namun hakikatnya Malaysia hanya penempatan sementara.

Tengku Hassanal: Kekalkan Kuasa Pemerintahan Bersama Agong

Kuasa eksekutif mentadbir kerajaan bertukar ganti, tetapi kuasa pemerintahan negara perlu kekal selamat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong yang mana Seri Paduka menjadi wakil kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Menyentuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelantikan itu meneruskan legasi kecemerlangan kerajaan yang dilantik dan diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Negara Tidak Mempunyai Tanah, Harta Jika Tiada Raja-raja Melayu

Baginda bertitah, menerusi kuasa dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, proses perubahan kuasa eksekutif sentiasa dapat dijalankan dalam suasana yang tenang dan membawa manfaat kepada semua pihak.

“Kuasa itu (pemerintahan negara) harus kekal bersama Raja-raja Melayu sebagai penjaga amanah kuasa Allah SWT di muka bumi ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, lapan anakanda Al-Sultan Abdullah antara 56 penerima darjah kebesaran dan pingat yang disempurnakan pengurniaannya oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tiga anakanda Sultan Pahang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Iman Afzan.

Lima lagi anakanda Al-Sultan Abdullah menerima Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera iaitu, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri IIisha Ameera, Tengku Puteri IIyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Daripada 56 penerima itu, 19 orang menerima SSAP, SIMP (lapan orang), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk (lapan orang), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) juga bergelar Datuk (16 orang).

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, kedaulatan seseorang sultan itu merupakan anugerah yang hanya boleh diperolehi dengan memperhambakan diri secara keseluruhannya kepada Allah SWT, pemilik segala kuasa yang melimpahkurniakan pangkat, kedudukan dan menzahirkan kesultanan itu sendiri.

Dalam pada itu, baginda bertitah, negara pada ketika ini sedang diuji dengan beberapa bentuk ujian yang begitu besar.

Ujian itu titah baginda, bukan untuk menjatuhkan tetapi menjadikan rakyat lebih matang, kuat dan tabah jika dapat secara bersama-sama mengharunginya dengan sabar dan bertindak tepat.

“Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan contoh teladan yang baik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19. Nasihat serta contoh teladan dipamerkan, tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen yang tersemat dalam hati Seri Paduka terhadap rakyat jelata dan negara tercinta ini,” titah baginda. –{Utusan Digital]