UTUSAN – PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 97, disahkan positif Covid-19, pagi ini.
Pejabat beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, pemimpin itu kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
“Tun dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan,” katanya di sini hari ini.
Awal tahun ini, Dr. Mahathir menerima rawatan di IJN kerana faktor kesihatannya dan dibenarkan pulang pada 5 Februari lalu selepas keadaan bertambah pulih. – UTUSAN
Pengamal media berkampung di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini bagi mengikuti perkembangan terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ia susulan Pejabat Tun Dr. Mahathir mengesahkan bahawa beliau kini berada di CCU dalam keadaan membimbangkan.
Bagaimanapun, IJN memaklumkam, satu kenyataan media dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Dr. Mahathir sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari lepas. -{Utusan Digital]
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap pemimpin parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Isnin, 14 Jun ini.
Menurut Pejabat Ketua Menteri Sarawak, majlis mengadap tersebut akan berlangsung melalui panggilan video.
Terdahulu, Anwar Ibrahim telah ke Istana Negara bagi tujuan mengadap Yang di-Pertuan Agong, setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai mengadap Agong pagi tadi.
Ketika meninggalkan pekarangan istana, Anwar telah menjawab beberapa soalan para petugas akhbar, termasuk mengenai pembentukan kerajaan baharu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut akan mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini, manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan ke Istana Negara esok.
GPS membabitkan gabungan parti bekas anggota BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
PBB diketuai Abang Johari Abang Openg, manakala James Masing memimpin PRS. Tiong King Sing dan Sim Kui Hian masing-masing mengetuai PDP dan SUPP.
Sejurus selepas 10.30 pagi Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim tiba untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan Jaguar hitam membawa ahli parlimen Port Dickson itu melepasi pintu kedua Istana Negara pada jam 10.37 pagi.
Presiden PKR itu merupakan pemimpin politik kedua yang mengadap Agong hari ini selepas terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selesai mengadap baginda pada kira-kira jam 9 pagi.
Muhyiddin beredar meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas mengadap Al-Sultan Abdullah selama kira-kira sejam.
Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke mengesahkan pemimpin parti itu akan mengadap Agong petang ini.
Katanya DAP akan diwakili Lim Guan Eng selaku setiausaha agung parti.
“Majlis (mengadap) tersebut dijadualkan berlangsung pada petang 9 Jun di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Ketua Penerangan Party Pejuang Tanah Air, Ulya Aqamah Husamudin, pula memberitahu Bernama, Mahathir menerima jemputan minggu lalu untuk ke Istana Negara pada Khamis.
“Surat jemputan rasmi dari Istana diterima minggu lalu. Bagaimanapun, masanya belum lagi ditentukan,” katanya.
Tun Mahathir dalam satu sidang akhbar petang tadi mengatakan bahawa kerajaan mungkin akan kalah pada pengundian belanjawan esok, apabila Parlimen bersidang untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.
Langkah ini sangat mengejutkan di kala pemerhati politik sedang cuba merungkai teka-teki siapakah 113 pemimpin yang dikatakan menyokong Anwar Ibrahim.
“Ada kemungkinan bahawa esok, ketika mereka (Ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk usul belanjawan, ada kemungkinan kerajaan mungkin kalah.
“Jika kerajaan kalah, maka kita tidak mempunyai kerajaan. Maka ada keperluan untuk kita menubuh satu kerajaan. Namun apabila kita mahu menubuh satu kerajaan, kita berharap mereka memilih satu kerajaan yang tekad pada berkhidmat kepada negara dan rakyatnya.”
Adakah MP Parti Warisan yang selama ini condong ke arah kepimpinan Tun Mahathir akan menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok untuk menyokong Tun menolak Belanjawan 2021?
Apakah benar dakwaan bahawa Anwar telah mendapat 113 sokongan daripada ahli-ahli Parlimen?
Perkara ini menambah kehangatan suhu politik negara kerana kini kita melihat sekurang-kurangnya 3 blok yang berlainan dalam percaturan politik negara.
Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO telah banyak bersuara mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap sesetengah perkara di dalam belanjawan.
Adalah jelas bahawa hubungan UMNO (parti yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen di dalam kerajaan persekutuan) bersama PPBM adalah tidak begitu akrab; dan keadaan ini bertambah buruk apabila PAS gagal bersikap neutral.
Sejak krisis politik di Perak, perbagai spekulasi telah dibuat termasuk kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.
Pada ketika itu, ramai yang melihat bahawa UMNO terpaksa mendapatkan sokongan blok Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak. Nyata andaian itu tidak benar.
Yang nyata adalah, jika benar kerajaan kalah pada pengundian untuk bacaan kali ketiga belanjawan esok, jalan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri masih berliku.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir hari ini telah membuat satu kenyataan bersama mengenai situasi politik tempatan kini.
Kedua-dua mereka percaya bahawa kerajaan kini tidak mempunyai keabsahan, menyebabkan ketidakstabilan negara dari segi politik dan pentadbiran, mengakibatkan keruntuhan ekonomi.
Tengku Razaleigh menegaskan bahawa kerajaan perlu membantu rakyat yang sedang menghadapi kesusahan akibat Covid-19, kerana jika tidak ia akan menjejaskan masa depan generasi muda-mudi negara.
Tun Mahathir mahukan negara kembali ke zaman kegemilangannya seperti satu masa dahulu, kerana Malaysia telah jauh ketinggalan di belakang berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.
Menurutnya, kerajaan mungkin akan kalah dalam pengundian belanjawan esok ketika bacaan kali ketiganya, dan itu akan menjadikan keadaan lebih teruk daripada sekarang.
Tengku Razaleigh turut mengatakan bahawa kerajaan bukan sahaja perlu membantu rakyat, tetapi mereka perlu membantu rakyat sehinggakan mereka dapat berdiri dengan sendiri.
Kerisauan terbesar mereka adalah bagaimana kebanyakan ahli politik terlalu gilakan kuasa dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.
Apabila ditanya jika beliau yakin akan mendapat sokongan Ahli Parlimen UMNO, Tengku Razaleigh hanya menjawab, “jawapannya, mungkin.”
Menurut Tun Mahathir, mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, kerana mereka hanya mahu bersedia sekiranya kerajaan kini jatuh, dan tidak mengejarkan jawatan tersebut.
Tengku Razaleigh mengatakan bahawa beliau hanya berkerjasama untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah sah, kerana kerajaan kini adalah tidak sah dan Perdana Menterinya juga tidak sah.
Tun Mahathir juga menegaskan bahawa dakwaan Anwar Ibrahim tentang 113 akuan bersumpah yang beliau punyai, tidak mempunyai impak selagi tidak ada apa-apa tindakan yang dilakukan di Parlimen.
Beliau juga mengatakan bahawa beliau tidak akan mengundi untuk belanjawan ketika bacaan kali ketiga esok.
Akhbar melaporkan bahawa Anwar Ibrahim sekali lagi telah berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menubuh kerajaan baharu.
Menurut laporan Astro Awani, Anwar dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah dan dalam perancangan untuk memohon perkenan mengadap Agong dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Anwar telahpun beberapa kali mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Tidak lama dahulu, Anwar pernah membuat kenyataan mengatakan kerajaan Muhyiddin telah jatuh.
Apakah peristiwa ini akan berulang?
Namun, jika kali ini hal ini benar-benar berlaku, siapakah 113 MP yang menyokong beliau memandangkan Parti Warisan dilihat memilih untuk berkerjasama dengan Tun Dr. Mahathir dan bukannya Anwar.
Adakah Anwar berjaya meyakinkan Tun Dr. Mahathir untuk bersamanya sekali lagi?
Walaupun begitu, untuk mendapat angka 113, Anwar perlukan sokongan daripada mereka di blok kerajaan; maka siapakah MP blok kerajaan yang kini bersama Anwar?
Berjayakah isu Dato’ Seri Najib Razak yang dimainkan oleh Tun Dr. Mahathir menjatuhkan calon BN pada PRK Slim?
Pilihan Raya Kecil Slim merupakan antara PRK yang menarik perhatian, khususnya bagi pemerhati politik tanah air dalam menilai pengaruh politik Tun Dr. Mahathir pada ketika ini.
Ini adalah PRK pertama sejak Tun Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharunya, Parti Pejuang Tanah Air dan calon BEBAS (Pokok), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan proksi parti Tun Mahathir.
Tun Dr. Mahathir sendiri telah turun berkempen di Slim untuk memastikan kemenangan calon pilihannya.
Pemimpin-pemimpin PH turut berkempen untuk calon Tun Mahathir; menandakan sokongan mereka terhadap parti baharu Tun.
Slim merupakan kawasan kubu kuat BN, di mana Allahyarham Datuk Mohd Khusairi telah berjaya mempertahankan kerusi ini dengan selesa walaupun pada PRU14, iaitu PRU paling getir buat Barisan Nasional.
Melihat kepada statistik yang lepas, parti pimpinan Tun Dr. Mahathir pada ketika itu telah gagal mempertahankan kerusi yang mereka menangi semasa PRU14 dan kalah kepada BN dalam PRK Semenyih dan paling teruk pada PRK Tanjung Piai.
Persoalannya, mampukah calon proksi parti Tun Mahathir merampas kerusi Silm daripada calon BN?
Saya kira keputusan PRK ini akan menjadi satu kayu ukur kekuatan pengaruh Tun Dr. Mahathir dan parti baharunya serta PH yang telah berkempen menentang BN.
Mainan isu tentang Dato’ Seri Najib Razak oleh Tun Dr. Mahathir dan kemnya semasa berkempen menjadikan PRK ini seakan-akan gelanggang pertempuran Tun Dr. Mahathir menentang Dato’ Seri Najib Razak.