PRN Melaka: Antara Faktor Abah, Bossku, Tun Khalil

PRN Melaka akan menyaksikan petandingan sengit di antara tiga parti utama di Malaysia – BN, PH dan PN; di mana kesemua parti-parti ini akan berusaha keras untuk menang bergaya.

Dengan pendekatan kempen berpandukan SOP baharu, suasana PRN menjadi tidak semeriah dahulu. Mungkin agak memeningkan jentera parti yang biasanya akan bergerak dari rumah ke rumah di samping merangka pelbagai aktiviti ceramah.

Mengimbau kembali PRK Tanjung Piai, ceramah-ceramah politik dan jelajah mesra pemimpin-pemimpin utama parti telah memainkan peranan yang begitu penting dalam usaha menawan hati pengundi.

Sambutan dan kehadiran audiens bukan sahaja dilihat sebagai indikator sentimen pengundi tetapi juga boleh mempengaruhi sokongan pengundi atas pagar.

Pada PRN kali ini, kita tetap melihat pemimpin-pemimpin parti bergerak ke Melaka.

Walaupun mereka tidak boleh berkempen seperti dahulu, mereka masih boleh ‘berjalan-jalan’ dan ‘bermakan-makan’ di seluruh negeri Melaka dengan syarat menjaga SOP.

Jika PN bersandarkan faktor Abah dan BN mengharapkan faktor Bossku untuk memenangi hati pengundi, para pemimpin PAN pula mengangkat faktor Tun Khalil untuk membantu kemenangan PH.

Ramai calon-calon muda diturunkan dalam PRN ini untuk menawan hati orang muda; maka saya melihat faktor Abah dan Bossku adalah amat penting untuk mendapatkan kepercayaan pengundi, khasnya pengundi yang lebih dewasa.

Hal ini lebih integral di kawasan di mana calon baharu tersebut kurang dikenali oleh akar umbi parti. Kalau dahulu calon bebas menemui pengundi, sekarang situasi sudah berlainan, maka parti memerlukan faktor besar yang boleh meraih kepercayaan pengundi.

Sama ada pengundi muda DUN Melaka yang tinggal di luar akan pulang mengundi juga dilihat akan mempengaruhi keputusan PRN ini nanti.

Menariknya, ketiga-tiga tokoh yang diangkat sebagai figura penting PRN Melaka mempunyai satu persamaan yang nyata, iaitu ketiga-tiga mereka berjaya menjadi tokoh penting negara setelah diangkat oleh parti UMNO.

Melaka pernah menjadi kubu kuat UMNO sebelum berjaya ditawan oleh PH dalam PRU 14.

Persoalannya, dapatkah PH merampas kembali DUN Melaka atas faktor Tun Khalil? Mungkinkah faktor Abah memenangkan PN? Atau adakah faktor Bossku yang akan bantu mengembalikan Melaka kepada BN?

Sama-samalah kita tunggu keputusannya menjelang malam esok.

Ikuti perkembangan terkini pada hari mengundi di Pusat Maklumat PRN Melaka melalui pautan di bawah:

AHMADALIKARIM.COM/MELAKA2021

Selamat mengundi kepada warga Melaka!

.

Melaka Jangan Salah Pilih

[ baca versi jawi di sini ]

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Rakyat Melaka bakal memilih kerajaan baharu setelah kerajaan terdahulu runtuh akibat 4 ADUN bertukar haluan.

Ini bermakna Melaka bakal mendapat 3 kerajaan dalam masa 3 tahun.

Kali ini kita melihat ramai muka-muka baharu dan orang muda yang telah diketengahkan sebagai calon oleh parti-parti yang bertanding. Nampaknya kali ini BN pun turut mengambil langkah yang sama; seperti kata Tok Mat Hassan itu merupakan sebahagian daripada langkah untuk meremajakan parti.

Sudah tentu semua calon berhasrat untuk menang, begitu juga dengan parti-parti yang bertanding. Namun, setelah menang, adakah tidak akan berlaku lagi lompat-melompat dalam kalangan mereka yang dipilih oleh pengundi?

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan calon memenangi kerusi masing-masing atas hasil kerja keras dan keringat jentera serta akar umbi parti yang mereka wakili.

Malah, ada calon yang belum dikenali serta belum mempunyai rekod prestasi kerja yang baik pun berjaya mendapat undi yang banyak hanya kerana pengundi di situ ialah penyokong tegar parti yang mereka wakili.

Namun, sejak PRU14, ramai wakil rakyat yang dipilih bertindak melompat ke padang yang lebih hijau, malah ada yang melompat-lompat sehingga rakyat keliru bersama parti manakah mereka sekarang.

Ironinya, ramai yang berkata apa yang mereka lakukan ialah perjuangan demi rakyat yang mereka wakili.

Sikap ketidaksetiaan wakil rakyat kepada parti atau parti kepada gabungan parti sudah seakan-akan menjadi seperti perkara biasa selepas PRU14.

Akibatnya, negara kita tidak lagi mempunyai kerajaan yang stabil, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan.

Ramai orang-orang muda berpandangan bahawa aksi lompat-melompat dan ketidaksetiaan kepada parti adalah permainan orang lama, khasnya warlord politik yang bersikap hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan untung nasib rakyat.

Namun telah jelas di depan mata kita bahawa pemimpin-pemimpin muda pun dua kali lima sahaja dalam hal melompat dan tidak setia kepada parti.

Justeru, para pengundi mesti berhati-hati sebelum membuat pilihan kerana jika mereka silap memilih wakil rakyat, kerajaan akan jatuh lagi sebelum penggal PRU14 berakhir.

3 Tahun, 3 Kerajaan: Siapa Bakal Tawan Semula ‘Kota’ Melaka?

[ baca versi jawi di sini ]

Hari ini merupakan hari undian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pada tarikh ini dua tahun yang lalu, dunia politik negara telah digegarkan oleh kemenangan luar biasa calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai (P165,) mengalahkan calon-calon PPBM, GERAKAN, BERJASA dan Bebas.

PRK tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen P165 setelah penyandangnya, Datuk Wira Dr. Mohamed Farid bin Md Rafik daripada PPBM meninggal dunia. Dalam PRU14, Allahyarham telah memenangi kerusi P165 dengan majoriti 524 undi.

Keputusan BN meletakkan calon daripada MCA, Wee Jeck Seng di kawasan yang hampir enam puluh peratus pengundi Melayu telah mengundang berbagai-bagai persepsi dalam kalangan orang ramai.

Sedangkan PPBM yang pada ketika itu masih berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan calon Melayu iaitu Hj. Karmaine Sardini.

Hasil kerja kuat petugas BN, khasnya gerak kerja jentera dan akar umbi UMNO dibantu oleh PAS, BN telah menang dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi mengalahkan lima calon lain.

Untuk rekod, ketika itu PAS masih bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Kini setelah PPBM keluar daripada PH, PAS bersepakat pula dengan PPBM membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama STAR, SAPP dan GERAKAN.

Begitulah ‘fluid‘ atau mudah berubahnya situasi politik di Malaysia. Hubungan politik boleh berubah-ubah dalam sekelip mata; semudah kita bertukar baju.

Dalam masa empat hari lagi, kita bakal menyaksikan pertarungan di gelanggang negeri Hang Tuah di antara tiga parti besar BN, PH dan PN, serta parti PUTRA yang membuat penampilan sulung mereka dengan pertandingan di lima kerusi.

PRN Melaka ialah pilihan raya pertama setelah PRN Sabah yang diadakan pada September 2020. PRN tersebut menyaksikan jatuhnya kerajaan negeri di bawah gabungan PH kepada tangan ikatan PN-BN di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Apa yang menarik ialah, hal yang menyebabkan berlakunya PRN Melaka ini adalah begitu mirip kepada sebab berlakunya PRN Sabah.

Di Sabah, pembangkang di bawah pimpinan Musa Aman (BN) telah mengatakan bahawa kerajaan negeri Sabah di bawah PH telah jatuh setelah beliau memperoleh sokongan majoriti ADUN Sabah.

Namun, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Shafie Apdal telah bertindak memohon pembubaran DUN Sabah dan berlakulah PRN Sabah.

Di Melaka pula, setelah empat ADUN kerajaan mengubah sokongan mereka kepada PH, mereka mendakwa kerajaan negeri (gabungan BN-PN) telah jatuh.

Seperti juga dengan kes di Sabah, Yang di-Pertua Negeri Melaka memutuskan untuk membubar DUN Melaka.

PRN Sabah memperlihatkan kerajaan PH di bawah parti WARISAN telah kalah kepada GRS.

Sekarang sudah tentu semua mata akan tertumpu kepada PRN Melaka untuk melihat adakah sokongan terhadap PH di DUN Melaka masih sekuat ketika PRU14 yang lalu?

Bagi saya, PRN Melaka adalah menarik kerana:

  • Ia melakar sejarah politik negara apabila gabungan kerajaan pusat berpecah dalam PRN ini. Calon-calon BN akan bertanding menentang calon-calon PPBM dan PAS yang bergabung dalam PN – satu perkara yang baharu dalam politik tanah air;
  • PRN ini akan menguji kekuatan jentera PAS dalam membantu PPBM untuk memenangi PRN Melaka;
  • PRN ini menjadi tanda aras kekuatan parti-parti yang bertanding;
  • Ia turut menjadi medan di mana parti-parti BN, PH dan PN menguji strategi politik masing-masing sebelum menghadapi PRU15.

Saya juga melihat keputusan PRN Melaka akan mempengaruhi sokongan kepada parti-parti yang bertanding menjelang PRU15, selain meramalkan keputusannya.

Parti yang memenangi kerajaan Melaka akan digambarkan sebagai parti pilihan rakyat dan boleh mempengaruhi sentimen pengundi atas pagar dalam PRU15 nanti.

Kita tunggu siapakah yang bakal menawan semula ‘kota’ Melaka pada hari Sabtu, 20 November 2021.

2018-2021: Malaysia Baharu Ke Arah Politik Bergelora?

[ baca versi jawi di sini ]

Ada yang menggelar tahun 2018 sebagai era Malaysia Baharu. Memerhati keadaan politik semasa, mungkin juga konotasi ‘baharu’ itu merujuk kepada landskap baharu politik Malaysia yang asyik bergelora dan tidak lagi stabil seperti dahulu.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan jatuhnya sebuah kerajaan yang telah mendominasi peti undi selama lebih 60 tahun di negara ini.

Namun parti gabungan Pakatan Harapan hanya mampu bergabung selama dua tahun sebelum berpecah sehingga mengakibatkan krisis politik yang telah menggegarkan negara kita selama hampir dua tahun, dan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Sebelum ini, belum pernah berlaku dalam sejarah negara di mana sebuah kerajaan Persekutuan dibentuk bukan melalui PRU atau dijatuhkan sebelum penggal berakhir.

Namun, sejak era Malaysia Baharu, kita menyaksikan berlakunya pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun, dan dua kali kerajaan yang dipimpin oleh dua pemimpin PPBM runtuh.

Kita juga disajikan dengan pelbagai aksi dan langkah politik baharu yang memperlihatkan etika serta amalan yang ada dalam arena politik selama ini telah berubah sama sekali.

Kini sudah menjadi perkara biasa apabila pemimpin yang diundi oleh penyokong sesebuah parti ketika PRU14 memilih meninggalkan parti mereka atas berbagai-bagai alasan; paling popular adalah demi perjuangan dan kepentingan rakyat.

Malah, mungkin demi rakyat jugalah, ada pemimpin yang sudah beberapa kali bertukar arah sehinggakan rakyat keliru bersama parti manakah mereka kini berada.

Adakah ini politik baharu yang dicanangkan sebagai dinamik dan progresif? Adakah ini pembaharuan dan kemajuan yang telah mereka janjikan kepada rakyat semasa memancing undi dahulu?

Hakikatnya, krisis politik tanah air yang tidak berkesudahan telah memberi impak yang negatif kepada negara termasuk kepada sektor ekonomi. Keadaan bertambah buruk kerana pada masa yang sama, kita juga turut berhadapan dengan wabak Covid-19.

Bertukar kerajaan bermakna bertukar dasar. Kerajaan baharu akan tampil dengan dasar-dasar yang baharu. Apabila rakyat menegur, semua pihak bertindak saling menuding jari bagi menyalahkan pihak lain di atas setiap dasar yang gagal. Malahan, ada kalanya rakyat pula yang disalahkan.

Pada PRU14 juga, kita melihat ramai pemimpin yang baharu masuk ke gelanggang politik memenangi kerusi yang mereka tandingi; ada yang dilantik ke jawatan penting termasuk sebagai menteri.

Orang baharu akan membawa idea-idea baharu yang segar, namun bukan semua idea yang ada itu sesuai dan boleh diterjemahkan menjadi realiti serta baik untuk rakyat dan negara.

Kita harus sedar bahawa faktor pengalaman ialah perkara integral dalam usaha merangka dan mengimplementasikan setiap dasar negara.

Mentadbir rakyat dan negara bukanlah semudah menabur janji-janji manis. Tanpa pengalaman dan persediaan yang cukup, ramai yang tidak mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka kepada warga bangsa dan negara.

Pemimpin yang baik mestilah memahami dan menjunjung kerangka negara, bijak, amanah, ikhlas, tidak mementingkan diri sendiri serta mampu merasa denyut nadi dan suara hati rakyat.

Menjelang Undi18, orang muda mesti celik politik dan bersikap matang dalam menilai di antara janji palsu, fitnah dan kebenaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Jangan sampai kita tertipu oleh janji-janji retorik yang ditabur sebagai gula-gula politik. Ia manis didengar, namun hakikat yang pahit bakal menanti kita selepas itu.

Tunaikan tanggungjawab kita sebagai warga tanah air tercinta. Pastikan anda ialah pengundi berdaftar dan apabila tiba harinya, keluarlah mengundi. Jangan kita cuma sibuk melaungkan pelbagai slogan tetapi gagal menunaikan tanggungjawab sendiri sebagai pengundi dan rakyat.

DUN Melaka Dibubar: PRN Seterusnya?

Akhirnya kemelut politik di Melaka akan diselesaikan dengan mengembalikan hak untuk menentukan kerajaan negeri kepada pengundi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, sebentar tadi mengumumkan cadangan agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.

Ab Rauf juga mengumumkan DUN Melaka dibubarkan hari ini.

Kata Ab Rauf nasihat agar diadakan DUN Melaka dibubarkan itu dibuat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali kepada Mohd Ali dan dipersetujui hari ini.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Melaka dilanda kemelut politik selepas empat Adun kerajaan diketuai bekas ketua Menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.

Idris merupakan Adun Sungai Udang.

“Proklamasi pembubaran DUN Melaka diwartakan hari ini, 5 Okt 2021,” kata Ab Rauf pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini. 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya di Melaka, prosedur operasi standard yang ketat akan dilaksanakan.

Ketetapan itu katanya dibuat bagi mengelakkan berulangnya penularan wabak Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah diadakan pada tahun lalu.

Untuk rekod sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri ketika Covid-19 masih menjadi ancaman, Ab Rauf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai.

“Terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat keputusan lanjut,” katanya. 

Dia juga memaklumkan, dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan. -{Malaysiakini]

Pembangkang Mohon Mengadap YDP Melaka

Pakatan Harapan (PH) bersama empat wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka memohon untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ali Rustam hari ini.

“Sehubungan dengan itu saya mewakili 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Idris Haron mewakili empat Adun berhasrat untuk menghadap Tuan Yang Terutama Melaka untuk membincangkan usaha yang boleh diambil untuk kestabilan politik Melaka dan kesinambungan kerajaan negeri dapat diteruskan.

“Hari ini kita akan sampaikan surat pada Tuan Yang Terutama dan tunggu jawapan istana negeri,” katanya dalam sidang media di Melaka, hari ini.

Terdahulu, Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka mengumumkan dia dan tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan negeri kerajaan.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama (Adun) Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” kata Adun Sungai Undang itu.

Dalam pada itu, Adly turut ditanya mengenai calon ketua menteri jika PH bersama empat Adun yang menarik diri ingin membentuk kerajaan.

Katanya, perkara itu diserahkan kepada Yang di-pertua Negeri Melaka untuk membuat keputusan.

“Kalau kita lihat perlembagaan negeri, kuasa melantik (ketua menteri) di bawah Tuan Yang Terutama Tun.

“Jadi kita bertemu Tuan Yang Terutama dulu untuk kebaikan Melaka sendiri. Fokus kita untuk memastikan kerajaan yang stabil, kerajaan yang dipikul oleh rakyat,” katanya.

Ku Li Letak Jawatan Penasihat UMNO

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkuat kuasa serta-merta Isnin lalu.

Melalui sepucuk surat yang dilihat Malaysiakini, Tengku Razaleigh atau Ku Li mendakwa pelantikan bagi jawatan itu tidak berperlembagaan.

Surat yang bertarikh Isnin lalu itu juga turut mempersoalkan keupayaan Umno untuk memenangi pilihan raya akan datang kerana masih lagi bekerjasama dengan Bersatu.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU-15 dan akhiri parlimen yang tergantung?

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU-15 nanti?,” katanya dalam surat kepada Presiden Umno Zahid Hamidi.

Ku Li yang juga ketua Umno Gua Musang berkata Umno mengambil masa untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu walaupun perkara itu sudah diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung parti pada Mac 2020.

“Perhimpunan agung Umno telah meluluskan sebulat suara usul memutuskan sebarang kerjasama dengan parti Bersatu tetapi usul itu telah mengambil masa untuk dilaksanakan, tetapi bisa usul itu apabila dikuatkuasakan memberi kesan segera dalam mana pimpinan yang tidak mempunyai sokongan sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pimpinannya terpaksa meletak jawatan tanpa tunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang mengganti kerajaan gagal telah direstu oleh pimpinan Umno walaupun rata-rata oramg ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kalangan kerajaan gagal,” katanya. -{Malaysiakini]

Azalina Dilantik Jadi Timbalan Speaker Sementara

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said hari ini mempengerusikan sesi petang persidangan Dewan Rakyat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat buat sementara waktu.

Menjelaskan kekeliruan ahli parlimen yang ada di Dewan, Azalina berkata Speaker Azhar Azizan Harun telah memintanya berbuat demikian bawah peraturan mesyuarat 7(3).

“Saya telah diminta Speaker di bawah 7(3) diminta untuk pengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu.”

Barisan Kabinet Baharu Tidak Akan Diumum Hari Ini

Tiada sebarang pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pembentukan barisan Kabinet baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu pemakluman ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.

“Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama sejam 30 minit bermula pukul 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri. -{Kosmo! Digital]

Agong Berkenan Terima Senarai Anggota Kabinet Baharu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, hari ini.

Menurut Istana Negara, sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi.

“Seri Paduka berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara.

Sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah Kabinet hari ini. –{Utusan Digital]

%d bloggers like this: