KJ Dipecat UMNO, Hishammuddin, Shahril Hamdan Digantung

Mesyuarat majlis tertinggi Umno malam memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertingginya, Noh Omar, selain beberapa lagi pimpinannya digantung.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan raya Umum Ke-15.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun.

Terdahulu, Noh juga digantung selama enam tahun namun dia meminta parti itu supaya memecatnya.

Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Kenyataan rasmi itu juga tidak menyenaraikan nama exco pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang sebelum itu turut disebut digantung daripada parti itu.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

“Turut dipecat ialah lima orang ahli Umno bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli Umno bahagian Putrajaya, dua orang ahli Umno bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli Umno dari negeri Pahang.

“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15,” katanya.

Sementara itu, Ahmad juga memaklumkan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad digugurkan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Johor.

Tempatnya digantikan oleh Naib Presiden Umno, Khaled Nordin.

Dalam satu reaksi segera, Khairy berkata dia tidak akan tunduk dengan keputusan yang dibuat parti itu.

“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken,” katanya.

Untuk rekod Khairy sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencabar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan nombor satu parti itu.

Dia juga sebelum ini mendakwa terdapat “perwakilan hantu” ketika Perhimpunan Agung Umno yang meluluskan usul menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu dipertandingkan.

Khairy semalam berkata dia akan kekal setia kepada Umno dan menolak cadangan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengumuman Jemaah Menteri: Zahid & Fadillah TPM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan barisan senarai anggota kabinetnya yang turut dianggotai oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri

Naib Presiden Kanan PBB, Fadillah Yusof yang mewakli Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, Anwar mengumumkan Zahid juga menjadi menteri kemajuan desa dan wilayah manakala Fadillah sebagai menteri perladangan dan komuniti.

Anwar pula memegang portfolio kewangan.

Senarai penuh barisan kabinet itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk diperkenan Tuanku. -{Malaysiakini]

SAH – Anwar Ibrahim PM ke-10

Istana Negara telah mengumumkan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Beliau akan mengangkat sumpah pada jam 5.00 petang hari ini di Istana Negara.

Keputusan tersebut dibuat Yang di-Pertuan Agong setelah mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang bersidang sebentar tadi.

Baginda mengingatkan kepada semua bahawa yang menang tidak menang semua, dan yang kalah juga tidak kalah semua.

Menyifatkan negara kita sebagai harta pusaka, Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.

“Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa … diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah.”

30 MP BN Dititah Mengadap Agong Secara Individu Esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk mengadap Baginda secara individu di Istana Negara esok.

Dalam sebuah kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata sesi mengadap itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi.

“Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bertitah memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan melantik Perdana Menteri ke-10.

Perkara tersebut diumumkan setelah Baginda menerima mengadap Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin ke Istana Negara petang tadi.

BN Tidak Menyokong Mana-mana Gabungan, Kekal Sebagai Pembangkang – Ismail Sabri

Naib Presiden Barisan Nasional, Dato’ Seri Ismail Sabri mengumumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan sebagai kerajaan, sama ada Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.

Di dalam sebuah twit yang diterbit pada jam 2 petang tadi, Perdana Menteri itu berkata BN juga bersetuju untuk kekal sebagai pembangkang setakat ini.

Persoalan mengenai siapa bakal menerajui kerajaan timbul setelah keputusan buntu Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada parti dapat membentuk majoriti di dalam Dewan Rakyat, membawa kepada perlunya pembentukan suatu kerajaan gabungan antara ahli-ahli parlimen daripada parti-parti berbeza.

Semalam, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, membawa kepada spekulasi bahawa Barisan Nasional bakal membentuk kerajaan bersama-sama PH, terutamanya apabila hal tersebut dilakukan di negeri Perak.

GPS Setuju Gabung BN, PN, GRS Bentuk Kerajaan

Gabungan Parti Sarawak (GRS) bersetuju membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut demi untuk mengukuh dan menstabilkan Negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita semua sedia maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai PRU15 semalam.

“Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat harus lah dibentuk dengan kadar yang segera,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Jesteru katanya, GPS bersetuju membentuk gabungan (coalition) PN, BN, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat berasaskan tiga ketetapan.

“Menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. –{Kosmo!]

PRU15: Mengundi pada 19 November, Penamaan Calon 5 November

Tarikh pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada 19 Nov.

Hari penamaan calon pula pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen 14 hari.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR Ghani Salleh pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya sebentar tadi.

PRU15 diadakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen pada 10 Oktober.

Bagaimanapun hanya tiga negeri – Perak, Perlis dan Pahang – akan turut mengadakan pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah, yang ditangguhkan susulan darurat bagi mencegah penularan Covid-19 sebelum ini.

Negeri-negeri Pakatan Harapan dan PAS tidak akan mengikuti langkah itu.

Tempoh penggal bagi Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor–yang telah mengadakan pilihan raya negeri lebih awal–pula masih panjang. -[Malaysiakini]

ڤرليمن صح دبوبر

ڤردان منتري مليسيا⹁ داتوء سري اسماعيل صبري مڠعمومکن ڤمبوبرن ڤرليمن مليسيا سبنتر تادي⹁ کيرا٢ جم 3.15 تڠه هاري. ڤمبوبرن ايت برقوات کواس سرتا مرتا.

کڤوتوسن ممبوبرکن ڤرليمن ايت دبوات ستله منداڤت ڤرکنن درڤد سري ڤدوک بݢيندا يڠ دڤرتوان اݢوڠ کتيک مڠادڤ بݢيندا دأستان نݢارا تڠه هاري سمالم.

ڤمبوبرن ڤرليمن ايت دلاکوکن عاقبة کتيدقستابيلن ڤوليتيک نݢارا سجق همڤير تيݢ تاهون يڠ لالو⹁ سهيڠݢ مڠعاقبتکن ڤرتوکرن ڤردان منتري سباڽق دوا کالي سڤنجڠ ايت. ڤردان منتري برکات⹁ اين اداله باݢي مڠصحکن کدودوقن کراجاءن.

ڤيليهن راي عموم ک-15 دجڠک اکن دأداکن دالم ماس تردکت. منوروت سوروهنجاي ڤيليهن راي دالم سبواه سيسي ڤنرڠن دݢومبق بارو٢ اين⹁ ڤ.ر.ع. بوليه دأداکن دالم ماس 15 هيڠݢ 60 هاري سلڤس تاريخ ڤمبوبرن ڤرليمن.

Parlimen Sah Dibubar

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia sebentar tadi, kira-kira jam 3.15 tengah hari. Pembubaran itu berkuat kuasa serta merta.

Keputusan membubarkan Parlimen itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika mengadap Baginda di Istana Negara tengah hari semalam.

Pembubaran Parlimen itu dilakukan akibat ketidakstabilan politik negara sejak hampir tiga tahun yang lalu, sehingga mengakibatkan pertukaran Perdana Menteri sebanyak dua kali sepanjang itu. Perdana Menteri berkata, ini adalah bagi mengesahkan kedudukan kerajaan.

Pilihan Raya Umum ke-15 dijangka akan diadakan dalam masa terdekat. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya dalam sebuah sesi penerangan di Gombak baru-baru ini, PRU boleh diadakan dalam masa 15 hingga 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

MT UMNO Putuskan PRU15 Tahun Ini

UTUSAN – KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ini kerana perkara itu selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MT di Menara Dato Onn, di sini.

Jelas Ahmad, mesyuarat malam ini juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Katanya, mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, mesyuarat MT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pertemuan tersebut.

%d bloggers like this: