Raja-raja Melayu Titah Kerajaan Perlu Stabil, Dapat Sokongan Majoriti

Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu bertitah menegaskan betapa pentingnya bagi kerajaan Malaysia adalah stabil serta mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat.

Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad memaklumkan bahawa Baginda Raja-raja Melayu telah titah bersependapat dalam tujuh perkara ketika Perbincangan Khas Raja-raja Melayu petang tadi.

Pertama sekali ialah nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi segala perkara lain, saat negara dilanda ancaman kesihatan iaitu penularan wabak Covid-19.

Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi perlu dikurangkan agar program vaksinasi dapat ditingkatkan supaya negara dapat mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.

Di dalam kenyataan tersebut, Tan Sri Syed Danial menyatakan bahawa Raja-raja Melayu telah menekankan bahawa kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif agar berjaya dijalankan.

Selain itu, Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan bagi meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas tamat tempoh asal darurat iaitu 1 Ogos 2021.

Baginda Raja-raja Melayu juga menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen Malaysia bersidang dengan segera, dan Dewan-dewan Undangan Negeri turut perlu dibolehkan bersidang secepat mungkin.