2018-2021: Malaysia Baharu Ke Arah Politik Bergelora?

[ baca versi jawi di sini ]

Ada yang menggelar tahun 2018 sebagai era Malaysia Baharu. Memerhati keadaan politik semasa, mungkin juga konotasi ‘baharu’ itu merujuk kepada landskap baharu politik Malaysia yang asyik bergelora dan tidak lagi stabil seperti dahulu.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan jatuhnya sebuah kerajaan yang telah mendominasi peti undi selama lebih 60 tahun di negara ini.

Namun parti gabungan Pakatan Harapan hanya mampu bergabung selama dua tahun sebelum berpecah sehingga mengakibatkan krisis politik yang telah menggegarkan negara kita selama hampir dua tahun, dan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Sebelum ini, belum pernah berlaku dalam sejarah negara di mana sebuah kerajaan Persekutuan dibentuk bukan melalui PRU atau dijatuhkan sebelum penggal berakhir.

Namun, sejak era Malaysia Baharu, kita menyaksikan berlakunya pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun, dan dua kali kerajaan yang dipimpin oleh dua pemimpin PPBM runtuh.

Kita juga disajikan dengan pelbagai aksi dan langkah politik baharu yang memperlihatkan etika serta amalan yang ada dalam arena politik selama ini telah berubah sama sekali.

Kini sudah menjadi perkara biasa apabila pemimpin yang diundi oleh penyokong sesebuah parti ketika PRU14 memilih meninggalkan parti mereka atas berbagai-bagai alasan; paling popular adalah demi perjuangan dan kepentingan rakyat.

Malah, mungkin demi rakyat jugalah, ada pemimpin yang sudah beberapa kali bertukar arah sehinggakan rakyat keliru bersama parti manakah mereka kini berada.

Adakah ini politik baharu yang dicanangkan sebagai dinamik dan progresif? Adakah ini pembaharuan dan kemajuan yang telah mereka janjikan kepada rakyat semasa memancing undi dahulu?

Hakikatnya, krisis politik tanah air yang tidak berkesudahan telah memberi impak yang negatif kepada negara termasuk kepada sektor ekonomi. Keadaan bertambah buruk kerana pada masa yang sama, kita juga turut berhadapan dengan wabak Covid-19.

Bertukar kerajaan bermakna bertukar dasar. Kerajaan baharu akan tampil dengan dasar-dasar yang baharu. Apabila rakyat menegur, semua pihak bertindak saling menuding jari bagi menyalahkan pihak lain di atas setiap dasar yang gagal. Malahan, ada kalanya rakyat pula yang disalahkan.

Pada PRU14 juga, kita melihat ramai pemimpin yang baharu masuk ke gelanggang politik memenangi kerusi yang mereka tandingi; ada yang dilantik ke jawatan penting termasuk sebagai menteri.

Orang baharu akan membawa idea-idea baharu yang segar, namun bukan semua idea yang ada itu sesuai dan boleh diterjemahkan menjadi realiti serta baik untuk rakyat dan negara.

Kita harus sedar bahawa faktor pengalaman ialah perkara integral dalam usaha merangka dan mengimplementasikan setiap dasar negara.

Mentadbir rakyat dan negara bukanlah semudah menabur janji-janji manis. Tanpa pengalaman dan persediaan yang cukup, ramai yang tidak mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka kepada warga bangsa dan negara.

Pemimpin yang baik mestilah memahami dan menjunjung kerangka negara, bijak, amanah, ikhlas, tidak mementingkan diri sendiri serta mampu merasa denyut nadi dan suara hati rakyat.

Menjelang Undi18, orang muda mesti celik politik dan bersikap matang dalam menilai di antara janji palsu, fitnah dan kebenaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

Jangan sampai kita tertipu oleh janji-janji retorik yang ditabur sebagai gula-gula politik. Ia manis didengar, namun hakikat yang pahit bakal menanti kita selepas itu.

Tunaikan tanggungjawab kita sebagai warga tanah air tercinta. Pastikan anda ialah pengundi berdaftar dan apabila tiba harinya, keluarlah mengundi. Jangan kita cuma sibuk melaungkan pelbagai slogan tetapi gagal menunaikan tanggungjawab sendiri sebagai pengundi dan rakyat.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

One thought on “2018-2021: Malaysia Baharu Ke Arah Politik Bergelora?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: