Usul SOSMA: Pecat Menteri, Timb. Menteri Tidak Hadir – Ku Li

Menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika pengundian usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat baru-baru ini, patut dipecat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, mereka perlu bertanggungjawab menyebabkan usul penting untuk keselamatan negara tidak dapat diluluskan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat mereka kerana cuai terhadap tanggungjawab masing-masing.

“Ia tanggungjawab bersama apabila usul seumpama itu, nak jaga keselamatan negara, tidak diendah, tidak dipeduli oleh menteri kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan itu supaya ia disambung, dilanjutkan masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Melayu Perak (GMP) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ahli politik veteran itu berpendapat, Perdana Menteri tidak akan berbuat demikian kerana akan menjejaskan kedudukannya sendiri.

“Dia tak akan buat, dia tak akan buang. Kalau buang, dia jatuh,” ujarnya.

Menurutnya, perkara seumpam itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“You putus nak bawa usul dalam Parlimen, you tahu you punya bilangan tak ramai, mengapa tidak hadir,” tambahnya.

Pada 22 Mac lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Keputusan undi yang menyokong kemudiannya ditambah satu lagi, menjadikan 85 setelah didapati berlaku kekhilafan pada hari pengundian dibuat. -{Astro Awani]

Ku Li Letak Jawatan Penasihat UMNO

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkuat kuasa serta-merta Isnin lalu.

Melalui sepucuk surat yang dilihat Malaysiakini, Tengku Razaleigh atau Ku Li mendakwa pelantikan bagi jawatan itu tidak berperlembagaan.

Surat yang bertarikh Isnin lalu itu juga turut mempersoalkan keupayaan Umno untuk memenangi pilihan raya akan datang kerana masih lagi bekerjasama dengan Bersatu.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU-15 dan akhiri parlimen yang tergantung?

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU-15 nanti?,” katanya dalam surat kepada Presiden Umno Zahid Hamidi.

Ku Li yang juga ketua Umno Gua Musang berkata Umno mengambil masa untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu walaupun perkara itu sudah diluluskan sebulat suara dalam perhimpunan agung parti pada Mac 2020.

“Perhimpunan agung Umno telah meluluskan sebulat suara usul memutuskan sebarang kerjasama dengan parti Bersatu tetapi usul itu telah mengambil masa untuk dilaksanakan, tetapi bisa usul itu apabila dikuatkuasakan memberi kesan segera dalam mana pimpinan yang tidak mempunyai sokongan sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pimpinannya terpaksa meletak jawatan tanpa tunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang mengganti kerajaan gagal telah direstu oleh pimpinan Umno walaupun rata-rata oramg ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kalangan kerajaan gagal,” katanya. -{Malaysiakini]

Ucapan Tengku Razaleigh di Dewan Rakyat (21 September 2021)

1. Dewan Rakyat merupakan pusat aktiviti politik di Malaysia. Maka itu amat penting kemuliaan dewan ini dijunjung terus menerus. Sekiranya Dewan Rakyat gagal menjalani tugasnya, maka negara tercinta ini juga akan gagal.

2. Kita kini sedang menghadapi krisis di mana rakyat menganggap Dewan Rakyat gagal menjalankan tugasnya. Keadaan ini seolah-olah seperti sudah jatuh ditimpa tangga oleh kerana orang ramai berada di dalam keadaan terdesak di mana mereka menghadapi penderitaan amat sangat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Dalam keadaan sebegini, percaturan politik Malaysia seharusnya berjalan lancar. Sekiranya politik yang didendangkan di Dewan Rakyat dan oleh parti-parti politik itu sumbang, maka tidak mungkin kita boleh menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Lebih dari itu, orang ramai tidak akan ada tempat untuk bergantung dan tiada badan di mana mereka boleh berteduh untuk merayu meminta pertolongan dalam usaha mereka mencari penyelesaian.

3. Sistem politik kita bergantung kepada cara seseorang ahli Dewan Rakyat membawa diri di dewan mulia ini sebagai wakil rakyat. Sebenar-benarnya Dewan Rakyat adalah Dewan hak orang ramai. Maka itu kita mempunyai tanggungjawab berlandaskan amanah untuk memastikan aktiviti politik kita dijalani sebaik mungkin. Barang diingat politik ini seharusnya merangkumi dasar dan polisi yang menentukan cara hidup rakyat serta hala tuju negara dalam usaha mengatasi kesusahan rakyat dan ketidak-tentuan kehidupan mereka.

4. Seperkara yang tidak dapat dielakkan ialah parti politik mempunyai peranan penting di Dewan Rakyat. Sistem politik kita bergantung kepada parti politik. Oleh itu cara ahli-ahli Dewan Rakyat bertindak di dewan mulia ini dikawal dan dipengaruhi oleh parti-parti politik mereka. Sekiranya aktiviti politik sesebuah parti itu korup, tidak bertanggungjawab dan mengagung-agungkan diri; dan sekira kesemuanya ini terdapat dalam aktiviti Dewan Rakyat, maka akhirnya rakyat tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada apa jua dasar oleh kerana amalan korup akan memesongkan aktiviti politik. 

5. Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat tidak lagi dihormati dan disanjungi seperti suatu ketika dahulu. Orang ramai sering merasakan bahawa Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik. Mereka juga merasakan bahawa ia adalah cara memperkaya beberapa orang sahaja sementara orang ramai keciciran. Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik.

6. Korupsi politik ini tidak mudah ditakrif. Ini berlaku dalam berbagai bentuk. Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup. Seorang hakim ternama menyifatkan korupsi politik sebagai “worm in the bud” yang boleh merosakkan demokrasi kita. Oleh itu kita haruslah mencari jalan untuk menghapuskan “ulat-ulat” yang mengerumuni Dewan Rakyat. Tugas ini bukan senang dilaksanakan. Kita perlu memulanya dengan memastikan kita mengamali politik betul dan lurus. Cara ini akan membantu kita dalam menentukan amalan dasar-dasar betul, baik dasar ekonomi mahu pun dasar kesihatan atau pun pendidikan. Politiklah akan menentukan apakah dasar-dasar ini dan bagaimana ia harus dilaksanakan. Sekiranya politik terjebak di jaringan korupsi segala kenyataan muluk-muluk di Dewan Rakyat tiada gunanya kepada rakyat. Aktiviti politik kita dengan parti-partinya hendaklah bergerak dengan betul oleh kerana inilah asas kewujudan negara kita.

7. Dalam konteks inilah saya ingin menerangkan sejarah di sebalik kemerosotan politik. Satu contoh ketara ialah pengharaman UMNO pada 1989, parti politik kebangsaan terulung yang ditubuhkan pada 1946. Pengharaman ini mengakibatkan tertubuhnya sebuah parti UMNO yang lain. Kini terdapat pandangan di kalangan kebanyakan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa parti-parti politik berada di dalam keadaan kucar-kacir dan kegagalan. Peranan UMNO pada masa-masa lalu amat penting. Maka itu benarkanlah saya menerangkan kemerosotan politik dengan cara meninjau keadaan UMNO yang ditubuhkan pada 1989 berbanding dengan UMNO yang tertubuh pada 1946. 

8.   Saya merujuk kepada makalah nukilan Profesor Shamshul Amri Baharuddin siaran Sinar Harian pada 13.1.2021 mengenai kemerosotan UMNO dan ketidakupayaannya membetulkan kesilapan serta kesukaran untuk terus menerus menjadi relevan kepada orang Melayu. Kini katanya UMNO berpecah belah dan tidak mempunyai kepimpinan yang mampu menyelesai krisis seperti diperlukan negara. Saya tidak cadang bertentangan pendapat dengan beliau tetapi saya kira ia memerlukan pencerahan.   

9. UMNO yang beliau maksudkan itu bukannya UMNO tertubuh pada tahun 1946. UMNO tersebut merentasi beberapa peringkat perkembangan, termasuklah perubahan asas terhadap visinya untuk orang Melayu. Ia merangkumi segala-galanya dan ia juga komited terhadap demokrasi berperlembagaan serta pemerintahan berlandaskan undang-undang. Rentetan sejarah menunjukkan bahawa nasionalisma Melayu memainkan peranan progresif dan UMNO banyak dipengaruhi oleh idea sejagat.

10. Ahli-ahli UMNO pada waktu itu faham bahawa mutu kepimpinan merupakan asas dalam mencapai matlamat parti untuk berkhidmat kepada negara dan tugas kepimpinannya. Pemimpin yang dipilih, sama ada di peringkat cawangan, mahupun bahagian atau peringkat nasional adalah berdasarkan integriti dan keluhuran, kebolehan, pengetahuan serta keupayaan memikul tanggungjawab kepimpinan tersebut di samping menonjolkan wawasan masa hadapan orang Melayu dan kedudukan mereka di kalangan masyarakat Malaysia. Barang diingat bahawa wawasan tidak beku, jauh sekali bersandarkan kepada keperibadian seseorang.

11. Pengharaman Parti Kebangsaan Melayu Malaya [PKMM] pada tahun 1948 membawa titik perubahan terhadap politik negara ini dengan penghijrahan beramai-ramai ahli PKMM ke UMNO. Perubahan terhadap keahlian ini menghasilkan kesan penting kepada parti dengan kemasukan nilai-nilai ideal. Bagaimanapun para sejarawan masih belum mengkaji kesan perubahan ini. Hanya, UMNO menjadi semakin nasionalistik dengan pengwujudan rancangan ekonomi dan sosial untuk memajukan kaum Melayu. Ia berjaya menarik yang terbaik dan paling cerdik untuk menerajui UMNO. Dengan perkembangannya ke setiap pelusuk, ia merupakan bermulanya pensejarahan hebat parti. UMNO juga mula mengembang sebagai badan mewakili orang Melayu dengan visi sejagat. Para ahli dan pemimpin memperkukuh kedudukannya dengan sumbangan kewangan. Di samping itu ahli-ahli amat menghormati para pemimpin dengan sifat ketulusan dan integriti mereka.

12. UMNO juga menerima pakai visi untuk bekerjasama dengan rakyat Bukan Melayu dalam usaha membangunkan negara. Perlembagaan Persekutuan hasil rundingan UMNO memperuntukkan kewarganegaraan kepada semua penduduk serta mewujudkan persetujuan bersama dengan tujuan  membetulkan kemunduran ekonomi Melayu serta mempertingkatkan kemajuan mereka untuk berdikari.

13. Sayangnya, pada 1988 – 42 tahun selepas tertubuhnya parti kesayangan Melayu itu – UMNO diharamkan; ia merupakan suatu keputusan aneh dan tidak masuk akal. Ketika itu UMNO adalah parti pemerintah dengan tiga juta ahli; parti berkuasa yang dipilih menurut peraturan perlembagaan. UMNOlah Kerajaan dan ia tidak sekali-kali boleh, waima atas sebab apa pun, diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya. Keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia itu tidak berasaskan undang-undang tetapi berlandaskan politik demi menyokong kepimpinan semasa. Apa yang berlaku ini telah menjadikan orang Melayu kaku. Dalam pada itu sebuah parti baru dengan nama sama telah dibentuk oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap pembatalan UMNO. Jelaslah sekarang UMNO diisytihar menyalahi undang-undang dan dibatal pendaftarannya demi tujuan tersirat untuk mendapatkan kepimpinannya secara tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang. Keputusan ini tidak sah. Ia sebenarnya penyalahgunaan kuasa  politik.

14. Parti yang kononnya dikenali sebagai UMNO baru ini tidak mempunyai visi pensejarahan. Ia juga tiada akar umbi  di kampung-kampung mahu pun di bandar. Sesungguhnya ia bukanlah suatu pergerakan, jauh sekali sebuah parti politik. Ia hanya merupakan suatu badan yang dibebankan ke atas ahlinya.

15. UMNO Baru menjadi parti kepada suatu golongan politik baru yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri. Ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial. Sekaligus ini merosakkan jiwa keMelayuan. Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya. Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai; begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik. Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan “harta awam”, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata. Saya membuat imbasan kepada dasar ekonomi dan faktor kewangan yang menyebabkan kemerosotan UMNO 88 oleh kerana kemerosotan tersebut  hanya dapat difahami sekiranya kita arif tentang  dasar ekonomi dan faktor kewangan yang saya sebutkan tadi.

16. Amat menyedihkan apabila amalan politik kita berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti. Ini dilaksanakan dengan pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan  berperingkat. Rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain. Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk “menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahan” perlembagaan kita.

17. Para pemimpin parti politik, kehakiman, Kabinet kerajaan dan Ahli Parlimen harus ingat bahawa mereka berkewajipan terhadap negara dan rakyat. Sekiranya mereka tidak menegakkan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan, itu bermakna mereka melakukan pengkhianatan. Keadaan semasa Dewan Rakyat dan penderitaan rakyat kini adalah akibat penyalahgunaan politik dan kuasa. Kita haruslah menukar cara kita berpolitik untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

18. Demi membolehkan UMNO memain peranan nasional, kita perlu membetulkan ketidakadilan sejarah dan menebus kembali hak politik, undang-undang dan keperlembagaan UMNO asal. Hak menebus kembali ini berasaskan kepada hak undang-undang UMNO untuk menebus bahawa keputusan oleh Mahkamah dan Pendaftar tidak mempunyai kuasa undang-undang. Ia tidak mempunyai apa-apa kesan undang-undang dan tidak sah.

19. Sebenarnya ia  adalah rampasan kuasa melalui sistem undang-undang dan institusi kita yang lemah. Kita perlu menukar keadaan ini demi memastikan ia tidak berulang lagi. Sesungguhnya ia merupakan suatu perangkap terhadap parti politik dan kerajaan dengan tujuan untuk mendapat bekalan kekayaan bagi maksud memperkayakan mereka yang mengawal sistem pentadbiran kerajaan.

20. Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan UMNO asal. Saya pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau agent of necessity untuk UMNO yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat. Saya ini sebahagian asal daripada Parti UMNO di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan UMNO dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional.

21. Saya ada menyebut sebelum ini bahawa segala yang berlaku adalah rampasan kuasa “melalui sistem undang-undang dan institusi kita yang lemah”. Ini merupakan peringatan bahawa ketulusan serta integriti dan kebebasan “sistem undang-undang dan institusi kita” daripada kuasa politik semasa tidak seharusnya dikompromi. Sekiranya dikompromi, Perlembagaan Malaysia tidak mempunyai erti sebagai peralatan demokrasi dan demokrasi kita pasti lumpuh dan akhirnya pupus. Ini sudah tentu merupakan rampasan kuasa secara senyap terhadap matlamat kita untuk mencapai demokrasi berperlembagaan dengan kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang kita.

22. Kita mungkin tidak sedar dan tidak bimbang sekiranya sistem demokrasi dipisahkan daripada Perlembagaan dengan cara perlahan-lahan. Pihak yang mahu mengekalkan kuasa tahu cara menganjurkan rampasan kuasa tanpa mengguna kekerasan angkatan bersenjata. Krisis Perlembagaan dan Krisis Kehakiman 1988 adalah satu peringatan. Sekiranya kita tidak perbetul kerosakan yang telah berlaku itu sistem demokrasi kita pasti terjejas secara berkekalan; khususnya rakyat jelata tidak akan percaya lagi terhadap sistem politik dan pemimpin kita.

23. Persoalan yang mungkin timbul ialah apakah pentingnya atau relevankah UMNO – pertubuhan yang diasaskan 74 tahun dahulu dan kemudiannya diharamkan pada 30 tahun lepas – dihidupkan kembali? Soalan ini penting dan harus dijawab.

24. UMNO yang tertubuh pada 1946 adalah suatu pergerakan dan bukan hanya sekadar nama sebuah parti politik. Sebenarnya UMNO lebih besar daripada parti itu sendiri. Ia adalah pertubuhan yang mendukung parti. UMNO merupakan simbol politik lebih besar daripada parti atau keahliannya. Dalam tanggapan orang Melayu UMNO itu masih lagi sebuah pergerakan yang terdapat di setiap kampung, pekan dan bandar raya. Jika ikon ini diketepikan akan timbul kekosongan berbahaya yang boleh disalahguna oleh para populis dan oportunis. Oleh itu UMNO seharusnya mempertahankan kekukuhan politik yang dibinanya.

25. Kini buat pertama kalinya dalam sejarah negara Dewan Rakyat menghadapi krisis. Kita haruslah mengembalikan semula struktur dan kestabilan Dewan Rakyat. Ini hanya dapat dicapai sekiranya UMNO memperakui akan tanggungjawabnya terhadap semua rakyat seperti tersurat oleh sejarah.

26. Saya telah memberi penjelasan politik dan undang-undang secara menyeluruh mengenai tuntutan UMNO berkaitan hak pengwujudannya dari segi politik dan undang-undang. Dalam memberi penjelasan itu saya telah merujuk kepada prinsip tidak ada kuasa di sisi undang-undang atau pun nullity untuk mencabar keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan. Mahkamah Persekutuan telah menerangkan  undang-undang berkaitan nullity ini dalam kes Eu Finance Berhad v Lim Yoke Foo (1982) 2 MLJ 37.

27. Petikan berkaitan mengenai keputusan mahkamah dalam kes tersebut menyatakan:

“Secara am, sekiranya sesuatu perintah itu merupakan nullity, rayuan terhadapnya tidak berguna oleh kerana apa pun keputusan terhadapnya, perintah tersebut boleh ditangkis dengan jayanya oleh tindakan undang-undang berdampingan daripada mana-mana mahkamah atau tribunal berkenaan. Ini bermakna ia tertakluk kepada kritikan berdampingan. Mengikut tindakan undang-undang berdampingan  mahkamah boleh mengisytiharkan tidak wujud sesuatu tindakan yang kononnya diwajibkan dari segi undang-undang.

Dalam kes Harkness v Bell’s Asbestos and Engineering Ltd [1967] 2 QB 729, 736, Lord Diplock  L. J. (kini seorang Law Lord) ada menyatakan (di muka surat 736)  telah lama diputuskan bahawa sekiranya sesuatu perintah itu tidak ada kuasa di sisi undang-undang atau ia merupakan suatu nullity orang yang menjadi sasaran perintah itu boleh pilih sama ada tidak menghiraukannya atau memohon kepada mahkamah untuk mengenepikannya.

28. Mengikut kuasa menjalankan keadilan, keputusan mahkamah dan Pendaftar Pertubuhan itu adalah perintah tanpa kuasa di sisi undang-undang [nullity]. Ini adalah prinsip asas berkaitan dengan Kedaulatan Undang-Undang. Undang-undang tidak membenar  Mahkamah Tinggi atau pun Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan mengisytihar UMNO haram. Undang-undang juga tidak membenar Pendaftar Pertubuhan membatal pendaftaran UMNO kerana terdapat cawangan masih tidak berdaftar dan dengan sendirinya tindakan pentadbiran terhadapnya masih belum lengkap. Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335]   menyatakannya dengan tepat:

“Jika sesuatu pertubuhan berdaftar menubuhkan suatu cawangan dengan tidak terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar maka cawangan  ditubuhkan demikian itu hendaklah menjadi suatu pertubuhan yang  menyalahi undang-undang.”

Ia jelas sekali tanpa keraguan. Lagi pun, pentadbiran Akta Pertubuhan adalah di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan, bukannya Mahkamah. Permohonan oleh peguam untuk mengisytihar UMNO haram ialah penyalahgunaan proses penghakiman dan Mahkamah sepatutnya menolak permohonan tersebut.

29. Prinsip nullity ini berdasarkan kepada prinsip undang-undang bahawa sesuatu keputusan itu tiada kuasa untuk dipatuhi sekiranya Mahkamah atau kuasa yang memulakanya tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang.

30. Pembatalan pendaftaran UMNO kini melebihi 30 tahun. Masa begitu lama diambil untuk mencabar sah atau tidak UMNO diisytihar haram dan dibatal pendaftarannya mencerminkan betapa rumit dan seriusnya isu tersebut. Saya perlu pasti betul-betul yang saya betul tentang pembatalan pendaftaran UMNO pada 1988 adalah suatu nullity atas sebab prinsip undang-undang dan keperlembagaan dirempuh. Ia adalah muslihat jahat dan rampasan kuasa politik. Ia merupakan musuh dalam selimut yang merosakkan demokrasi Malaysia. Pendedahan ini perlu dibuat demi mengelak salah guna kuasa dan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki terhadap ekonomi kita di masa depan.

31. Kita kini berada di dalam kesukaran dari segi perpaduan nasional, perhubungan kaum, toleransi keagamaan, visi bersama ekonomi nasional, keyakinan terhadap sistem institusi, kestabilan sistem politik dan parti politik untuk menyokong demokrasi berperlembagaan. Kejayaan demokrasi bergantung kepada sebahagian besar daripada warganegara bertanggungjawab dan berpengetahuan luas mengambil bahagian dalam politik demi menegakkan kesejahteraan nasional. Masalah yang kita hadapi sekarang ialah sistem politik kita merosot dan mutu biasa-biasa sahaja dan tidak begitu baik semakin menonjol. Mereka yang terbaik kini kehilangan harapan dan yang paling teruk dan tidak berguna amat ghairah dengan lagak mereka untuk mendapat kuasa. Keadaan ini menyebabkan terdapatnya, sedikit sebanyak, krisis kepimpinan. Dengan secara tidak langsung keadaan ini telah menimbulkan kecemasan di kalangan rakyat. Dalam pada itu, visi perkauman dan agama merupakan suatu khayalan berbahaya sekiranya ia ditonjol ke hadapan. Barang diingat bahawa politik bertanggungjawab adalah prasyarat dalam menegakkan pemerintahan dan demokrasi berperlembagaan. Sekiranya terdapat krisis dalam politik ia bermakna pemerintahan juga mengalami krisis. Maka itu sekiranya kerajaan tidak berfungsi ini bermakna tiada sesuatu pun dapat berfungsi. Pokoknya sistem politik berparti kita memerlukan transformasi dengan segera, tetapi kita kesuntukan masa.

32. Bebanan berkaitan dengan institusi amat berat. Disebaliknya perubahan yang kita perlu terhad kepada apa yang mungkin boleh diubah dari perspektif sejarah. Cabaran yang dihadapi oleh politik dan kepimpinan kita ialah menggunakan kuasa dan tenaga progresif kita untuk mengelakkan negara daripada krisis ini. Sebaliknya kita perlukan sistem politik alternatif dengan kepimpinan baru.

33. Dengan kekuatan UMNO di serata pelusuk termasuk luar bandar, pekan dan bandar raya, kita mungkin dapat mengamali politik baru sekiranya kita mampu mengatur kepimpinan di semua peringkat untuk menyatukan negara tersayang ini. Barang diingat UMNO yang dimaksudkan itu ialah UMNO yang hilang, tetapi kita berkemampuan mengembalikannya. Ini bukanlah persoalan undang-undang. Ia tidak pernah merupakan persoalan tersebut. Sebenarnya ia adalah persoalan politik walau pun ada yang cuba mensifatkannya sebagai persoalan undang-undang. Saya telah menjelaskan asas politik dan undang-undang dalam ucapan saya untuk menzahirkan semula UMNO 1946. Sebenarnya asas undang-undang mengenai sah atau tidak UMNO ada hadnya.

34. Saya akan memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Peguam Negara, Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa saya berhak dari segi perlembagaan untuk mengisytihar diri saya sebagai wakil parti parlimen UMNO di Dewan Rakyat dengan keseluruhan hak undang-undang dan hak perlembagaan. Akhir sekali, saya merayu kepada keseluruhan orang Melayu agar menerima pandangan dan pendapat saya ini serta berdiri bersama saya untuk menegakkan segala apa yang telah dizahirkan demi kebaikan Negara.

Pengharaman UMNO 1988 Tidak Sah – Tengku Razaleigh

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah merancang untuk menghidupkan kembali “Umno asal” yang diharamkan ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, “Umno asal” yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) “tidak pernah diharamkan” kerana ROS tiada kuasa untuk berbuat demikian.

“Nampak pembatalan pendaftaran oleh pendaftaran pertubuhan adalah tidak mengikut akta pertubuhan 65 yang diberi kuasa di bawah akta tersebut.

“Jua kita berfikirkan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan Umno juga diluar bidang dan sepatutnya peguam yang mewakili Umno patut melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.

“Ramai yang membantu saya dari segi perundangan tentang pengharaman Umno… sebenarnya tidak sah pengharaman itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Umno diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Pada 4 Februari, 1988.

Pengharaman itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli-ahli Umno yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengheret parti itu ke mahkamah Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April, 1987.

Daripada perbicaraan itu isu cawangan hantu iaitu cawangan yang tidak berdaftar telah dibangkitkan yang menyebabkan keseluruhan Umno diharamkan.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata isu berkenaan dibangkitkan sekarang kerana ia melalui proses penyelidikan undang-undang yang panjang.

“Kawan-kawan saya bercadang begitulah…telah mencadangkan kepada saya dan kita boleh kita boleh pertimbang kerana badan itu tak bersalah mengapa nak bunuh dia (Umno).

“Kalau kita ambil tindakan, kita ambil atas nama jawatankuasa protem untuk menghidupkan Umno yang sekarang ini yang saya sifatkan tadi pengsan.

“Saya nak hidup balik Umno kalau ada orang berminat nak ikut sama amat dialu-alukan,” kata Ku Li. -{Malaysiakini]

Ku Li Ditawarkan Jawtan PM 2 Kali, Sebelum Beralih Kepada Ismail Sabri

Sebuah laporan eksklusif akhbar Sinar Harian telah melaporkan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telahpun ditawarkan jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat ini, sebelum keputusan tersebut beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut laporan tersebut, ahli-ahli MKT UMNO telah menandatangani persetujuan untuk memberi kuasa kepada Ahmad Zahid sebagai presiden parti, dan memutuskan bahawa hanya ada satu calon daripada parti itu iaitu Tengku Razaleigh sahaja.

Seorang individu yang rapat dengan Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, telah memaklumkan hal demikian kepada pihak akhbar baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan juga bahawa lebih 40 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sudah tandatangan persetujuan untuk memberi kuasa kepada presiden (Ahmad Zahid) dan telah memutuskan hanya satu calon daripada parti iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh) sahaja.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Tengku Razaleigh telah didatangi beberapa pemimpin daripada Biro Politik UMNO bagi yang memujuknya untuk menjadi calon Perdana Menteri, kerana mereka mendapati tidak ada pimpinan daripada UMNO ketika itu yang boleh diketengahkan.

“Biro politik UMNO telah datang bertemu Ku Li menawarkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, dua bulan yang lalu namun tidak sangka ada calon lain pada saat akhir.

“Yang datang menemui Ku Li ialah Ahmad Zahid sendiri, timbalannya (Datuk Seri Mohamad Hasan), Ketua Pemuda UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) serta Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama bekas Perdana Menteri, Najib Razak melawat Tengku Razaleigh di kediamannya pada 24 Mac 2021.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini MKT UMNO melalui sebuah mesyuarat pada malam Selasa lalu telah memutuskan untuk memberi mandat kepada 42 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional bagi memuktamadkan calon mereka, dan akhirnya nama Ismail Sabri yang diangkat untuk menjadi calon rasmi UMNO.

“Sebelum ini Ku Li diberitahu bahawa parti melalui MKT sudah memuktamadkan kuasa menamakan calon Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Li adalah calonnya.

“Beliau (Ku Li) tidak marah atau menganggap itu satu pembelotan atau pengkhianatan namun apa yang berlaku amat tidak baik untuk masa depan parti itu nanti.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil mengadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9, di mana wakil-wakil rakyat tersebut akan mengadap Seri Paduka Baginda selama 2 minit bagi mengesahkan surat akuan bersumpah mereka.

Tujuan utama pertemuan itu adalah bagi memastikan sokongan yang diberi melalui akuan bersumpah itu bukan dilakukan kerana terdapat paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak, dan merupakan keputusan ikhlas dari diri mereka.

Yang di-Pertuan Agong telah menekankan bahawa kepercayaan yang diberi hendaklah terang, jelas dan tanpa syarat, serta perlu dirahsiakan sehingga Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi hal tersebut.

Di Sebalik Kemelut Politik, Nama Ku Li Naik Lagi Sebagai Calon PM Terbaik

Dalam kemelut politik Malaysia yang berterusan sejak tahun lepas, negara memerlukan seorang tokoh yang dapat bukan sahaja menyelesaikan isu politik, tetapi juga krisis ekonomi dan kesihatan. Penganalisis, pemerhati termasuklah ahli-ahli politik tanah air ramai mula menyebut semula satu nama sebagai penyelamat keadaan yang semakin meruncing ini—Tengku Razaleigh Hamzah.

Pakar Geostrategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berpendapat, selain mempunyai pengalaman, Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li juga merupakan agen pendamai dalam kalangan pemimpin hari ini.

Ketika diwawancara sebuah program dalam talian anjuran akhbar MalaysiaGazette, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai ‘dark horse‘ atau kuda hitam yang boleh menyelamatkan Malaysia.

“Dalam keadaan sekarang sebelum PRU15, Malaysia memerlukan pemimpin yang sudah masak dengan sepak terajang politik.

“Selain itu, pemimpin itu juga mampu bertahan dengan pelbagai tekanan.”

Pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Syed Hassan Syed Ali turut menamakan Tengku Razaleigh sebagai satu-satunya tokoh yang layak memacu Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa itu melalui sebuah hantaran di Facebook turut menambah bahawa Tengku Razaleigh juga satu-satunya tokoh yang dihormati semua Ahli Dewan Rakyat.

“Untuk kebaikan negara seorang tokoh yang selayaknya memacu Malaysia sehingga PRU15 dan sepenggal lagi selepas itu, yang pasti dihormati semua MP, seorang sahaja iaitu Yang Berhormat Mulia Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang punya pengalaman luas membangunkan negara ini berbanding dengan pemimpin lain.”

Menurut Syed Hassan lagi, hanya seorang sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut.

Tangkapan layar hantaran Syed Hassan Syed Ali hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid juga menyifatkan veteran UMNO tersebut sebagai pilihan tepat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Bagi saya Ku Li (ialah) calon tepat kerana kepimpinan beliau dalam UMNO selama ini telah terbukti. Beliau juga dikenali ramai terutamanya di peringkat antarabangsa setaraf bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Paling penting, beliau juga dihormati oleh semua parti termasuk DAP dan PKR kerana kewibawaan beliau dalam politik selama ini. Ku Li juga di dalam UMNO adalah individu paling bersih tidak seperti Ahli Parlimen yang lain.”

Untuk rekod, Tengku Razaleigh pernah memegang jawatan Pengerusi Asian Development Bank pada 1976, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development (World Bank) pada 1977 dan Pengerusi Islamic Development Bank (Arab Saudi) pada 1978.

Jasa besar Tengku kepada Malaysia begitu besar. Beliau digelar “Putera Minyak Negara” dan merupakan mengasas PETRONAS. Tengku dilantik menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertama PETRONAS.

Tengku juga telah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) yang pertama dan pernah memegang jawatan Presiden bagi Malaysian Chamber of Commerce and Industry dan ASEAN Chamber of Commerce and Industry.

Tengku juga telah mengetuai delegasi perdagangan pertama Malaysia ke China pada tahun 1971, yang telah merealisasikan gencatan senjata ke atas Parti Komunis Malaya, yang mana membawa pertumbuhan besar kepada ekonomi negara.

Video – Ku Li Kita: The People’s Prince

Selepas negara kita ditubuhkan pada tahun 1957, negara kita mempunyai berbagai-bagai cabaran sebagai satu negara yang baharu. Namun Malaysia dapat berkembang sebagai satu negara yang maju sehingga digelar “The Asian Tiger” dan disegani negara-negara luar. Siapakah tokoh di sebalik kecemerlangan negara bangsa kita ini?


Terbitan berkaitan:

Serah Semula Kuasa Kepada Agong: Gesa Ku Li

Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet hendaklah meletak jawatan dan berundur daripada pemerintahan negara dengan segera, dan beri ruang untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menentu masa hadapan negara dengan cara yang baik.

Begitu kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang merujuk secara khususnya kepada surat yang dihantar Istana Negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Oleh kerana tidak ada ketentuan daripada pihak kerajaan, maka saya mengesyorkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara itu, Perdana Menteri dan menteri-menterinya letak jawatan dan berundur daripada pemerintahan negara.

“Serah balik kuasa ini kepada Tuanku Agong, biar Tuanku Agong menentu masa depan negara kita.”

Kata beliau, seluruh menteri kabinet di bawah Perdana Menteri sekarang bertanggungjawab akan hal berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang melanggar titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mempersoalkan berapa lama lagi kerajaan hendak tunggu sehingga suatu tindakan berkesan akan dilakukan untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang melanda negara kita pada ketika ini.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat mati, bunuh diri dan sebagainya, sebelum satu tindakan yang efektif boleh dilakukan?”

Tengku Razaleigh menyifatkan hal ini sebagai suatu penghalangan daripada negara untuk pulih daripada keadaan yang semakin teruk ini.

Menurutnya, dengan tiadanya halangan ini, keadaan ekonomi mungkin dapat diperbaiki, dan suatu strategi baharu untuk melawan Covid-19 boleh digunakan agar krisis ini dapat berakhir.

“Dengan kita buang penghalangan ini, mungkin keadaan ekonomi akan bertambah baik, dan mungkin strategi baharu boleh digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.”

Petang tadi, lebih 12 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta terhadap Perikatan Nasional secara keseluruhannya.

Menurut Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, terdapat lebih ramai lagi yang turut menarik sokongan mereka terhadap kerajaan, namun tidak dapat hadir ke sidang akhbar yang diadakan di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Sila baca: Lebih 12 MP UMNO T’tangan Tarik Sokongan Terhadap PM & Perikatan Nasional

Sebelum itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah meletakkan beliau sebagai Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan juga UMNO atas peluang yang diberi untuk menjawat jawatan tersebut.

Sila baca: Shamsul Anuar Nasarah Letak Jawatan Menteri Kabinet

Shamsul merupakan menteri pertama di dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin untuk melakukan sedemikian.

Untuk rekod, Perikatan Nasional kini hanya mempunyai tidak lebih 103 Ahli Parlimen yang menyokong mereka secara rasmi, manakala sokongan yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah ialah 110 kerusi.

Ku Li Mohon Pindah Tempat Duduk Berhampiran Blok Bebas

Baca versi Jawi di sini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razeleigh Hamzah memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun supaya memindahkan tempat duduknya berhampiran dengan blok bebas kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya di dalam surat yang dialamatkan kepada Speaker Dewan Rakyat semalam, sejak awal lagi beliau tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh mengguna nama kerajaan “Perikatan Nasional”.

“Dengan hormatnya suka saya memaklumkan bahawa saya tidak ingin terus berada di kerusi yang telah disediakan untuk saya dalam Dewan Rakyat bersama-sama dengan lain-lain anggota Dewan Rakyat yang ditempatkan dalam kumpulan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.”

Dalam surat tersebut, Tengku Razaleigh turut menyatakan bahawa setakat ini beliau mengetahui jika ada anggota-anggota Dewan Rakyat lain daripada partinya, UMNO, yang telah berurusan dengan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini saya dengan sukahati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional/UMNO.

“Ini terutamanya sekali pengundi saya, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong Kerajaan Gagal ini.”

Jangan Permainkan Nasib Rakyat: Ku Li (Video)

Keyakinan pelabur luar negara serta rakyat Malaysia sendiri tidak dapat ditentukan apabila Perdana Menteri tidak meletakkan jawatannya setelah hilang sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Perdana Menteri akan membuat satu sumbangan yang baik jika mohon mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerah surat peletakan jawatan apabila hilang kepercayaan Parlimen.

Bercakap kepada pihak akhbar Sinar Harian ketika satu wawancara khas bersama beliau semalam, Tengku Razaleigh menegaskan bahawa masalah kini adalah pelabur tidak pasti jika kerajaan kini akan kekal atau tidak, dan masalah pengangguran juga meningkat.

Semua perkara ini menjauhkan pelabur daripada datang melabur di negara ini, dan hal tersebut akan teruk menjejaskan ekonomi negara, selain kebajikan rakyat apabila rakyat susah dan tidak berpeluang mendapat kerja.

Masalahnya, pengangguran yang meningkat. Sekarang ni dah 1,500,000 lebih, saya diberitahu. Ini anak-anak kita yang melanjut pelajaran, yang pelepasan sekolah, yang sedang memburu peluang untuk berkerja. Tetapi tak berpeluang kerana tidak ada kerja kosong.

Saya dengar baru-baru ini, dua jawatan kerani kosong; empat ribu minta. Itulah kedudukan sebenarnya, rakyat susah. Jadi jangan main dengan nasib diri kita. Ini nasib negara yang dihadapi.

Tengku Razaleigh Hamzah

Tengku Razaleigh turut menegaskan bahawa Perdana Menteri harus memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melupakan politik, agar krisis yang melanda negara dapat diselesaikan secepat mungkin.

Saya rasa tumpuannya, nombor satu, lupa lah politik dah sebagainya. Tumpu lah kepada masalah rakyat, itulah yang penting. Ajak lah kita semua tolong, supaya kita boleh beri pandangan. Nak pakai, tak pakai, lain kira. Sekurang-kurangnya ada input daripada kita orang.

Kita nak semua orang terlibat dalam usaha nak perangi Covid-19, kerana ini soal nyawa rakyat.

Tengku Razaleigh Hamzah

Meletakkan jawatan setelah hilang kepercayaan majoriti Dewan Rakyat merupakan satu kewajipan keperlembagaan bagi seorang Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlemabagaan Persekutuan. Jalan kedua adalah untuk memohon Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Hal ini turut ditegaskan oleh Tengku Razaleigh di dalam wawancara tersebut apabila ditanya wartawan kanan Tan Sri Johan Jaafar mengenainya.

Itu dari segi Perlembagaan, sepatutnya kalau tak ada sokongan majoriti, (Perdana Menteri) patut berhenti. Patut mohon mengadap Agong, serah surat meletak jawatan. Itu satu sumbangan yang baik.

Tengku Razaleigh Hamzah
%d bloggers like this: