Cara-cara Menulis Singkatan Dalam Tulisan Jawi

Sering kali kita perlu menyebut nama-nama atau istilah-istilah yang panjang secara berulang-ulang kali. Maka, singkatan memainkan peranan besar dalam memudahkan pembacaan dan penulisan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis singkatan iaitu huruf ringkas dan akronim.

  • Huruf ringkas mengambil huruf pertama daripada setiap perkataan dan dibaca dengan mengeja setiap huruf yang membentuk singkatan itu, contohnya:
    • KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia, disebut kéi-kéi-ém)
    • KLIA (Kuala Lumpur International Airport, disebut kéi-él-ai-éi)
  • Akronim tidak semestinya mengambil huruf pertama sahaja, dan dibaca dengan melafazkan sebutannya seperti perkataan biasa, contohnya:
    • MARA (Majlis Amanah Rakyat, disebut ma.ra)
    • Covid-19 (Coronavirus Disease 2019, disebut ko.vid-sêm.bi.lan-bê.las)

Lazimnya, kita tidak mempunyai masalah apabila membaca singkatan di dalam tulisan Rumi.

Namun begitu, oleh kerana tulisan Jawi ditulis secara bersambung tanpa huruf besar atau kecil, ramai yang mula keliru ketika menulis singkatan di dalam Jawi. Malah, kekeliruan tersebut sering membawa kepada kesilapan dalam menulis singkatan Jawi.

Huruf ringkas

Cara menulis singkatan di dalam tulisan Jawi adalah berbeza berdasarkan bahasa asalnya.

Bentuk terlazim ialah istilah atau nama Melayu, seperti “pihak berkuasa tempatan” yang diringkaskan menjadi “PBT,” dan “Suruhanjaya Pilihan Raya” atau ringkasannya “SPR.”

Terdapat juga huruf ringkasan daripada nama berbahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Rusia, contohnya “LRT” (Light Rail Transit) dan “СССР” (Союз Советских Социалистических Республик.)

Bahasa Melayu

Bagi huruf ringkas bahasa Melayu, ia hendaklah dieja dengan menggunakan huruf Jawi yang dipisah oleh titik noktah, seperti “.ڤ.ب.ت” dan “.س.ڤ.ر” Ini kerana perkataan itu adalah daripada bahasa Melayu dan boleh disingkatkan di dalam bahasa itu sendiri dengan menggunakan tulisan Jawi.

Sekiranya istilah atau nama tersebut mempunyai perkataan bermula dengan vokal ‘e’ taling, ‘i’, ‘o’ atau ‘u’, huruf ringkasnya akan menggunakan gabungan huruf ‘ا’ dan ‘و’ atau ‘ي’ mengikut kesesuaian, seperti “اينستيتوت ڤڠاجين تيڠݢي” (Institut Pengajian Tinggi) yang diringkaskan menjadi “.اي.ڤ.ت” (disebut i-pa-ta.)

Bahasa asing

Bagi istilah bahasa asing pula, huruf ringkas itu akan ditulis dengan mengeja dalam tulisan Jawi huruf-huruf tulisan asing itu, seperti sebutan dalam bahasa asalnya; sebagai contoh, “.ايل.ار.تي” (él-ar-ti) dan “.ءيس.ءيس.ءيس.ءير” (és-és-és-ér.)

Sekiranya sesuatu huruf ringkas itu merupakan kata nama khas daripada bahasa bertulisan Rumi yang mempunyai nama lain bagi huruf-huruf Rumi, sebutan nama seperti bahasa itu akan digunakan.

Contohnya bahasa Poland, di mana huruf ringkas “Łódzki Klub Sportowy” iaitu “ŁKS” akan dieja “.ءو.کا.ءس” mengikut sebutan huruf-huruf itu di dalam bahasa tersebut (êw-ka-ês) dan bukan “.ءو.کي.ايس” seperti dalam bahasa Melayu.

Hukum mengeja semula sebutan huruf ini hanya terpakai bagi istilah-istilah yang tidak menggunakan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tidak akan menggunakan huruf ringkas seperti “.کي.ايل” atau “.کاف.لام” bagi ringkasan “Kuala Lumpur,” namun sebaliknya akan mengguna “.ک.ل” sekiranya perlu diringkaskan.

Secara ringkasnya, sekiranya huruf ringkas itu adalah daripada bahasa asing, setiap huruf akan dieja semula dalam Jawi (Malaysian Communications and Multimedia Commission, MCMC = “.عيم.سي.عيم.سي”); namun sekiranya ia di dalam bahasa Melayu, huruf individu akan digunakan (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM = “.س.ک.م.م”)

Akronim

Istilah akronim akan dieja mengikut sebutannya sekiranya dieja di dalam tulisan Jawi. Contohnya, “pawagam” dan “UNESCO” yang dieja “ڤاواݢم” dan “يونيسکو” masing-masing.

Terdapat satu pengecualian bagi istilah akronim bahasa Melayu sekiranya ia diakronimkan daripada ejaan Jawi seperti “tadika” (تاديکا) dan “LUTH” (لوتح), iaitu singkatan “taman didikan kanak-kanak” (تامن دي‍‍ديقن کانق٢) dan “Lembaga Urusan Tabung Haji” (ل‍‍مباݢ اوروسن ت‍‍ابوڠ ح‍‍اج.)

Walaupun terdapat hukum ka ga di mana perkataan-perkataan Melayu yang berakhir dengan bunyi “-ka” atau “-ga” tidak akan dieja dengan huruf Alif di akhirnya, perkataan tadika masih menggunakan huruf tersebut kerana mengambil huruf Alif daripada perkataan “kanak-kanak” itu.

Bagi LUTH pula, walaupun ejaan Rumi akronim itu memberi gambaran bahawa sebutannya adalah seperti “luth” atau “لوث”, namun, oleh kerana ia mengambil huruf ha pedas daripada perkataan “haji”, sebutannya sebenarnya “lut.ḥ“.

Satu kesilapan lazim dalam mengeja akronim asing ialah mengejanya mengikut sebutan jika dibaca dalam tulisan Rumi mengikut sebutan Melayu. Sebagai contoh, “UNESCO” akan dieja seperti “يونيسکو”, walaupun jika akronim Ruminya dibaca dalam cara Melayu ia akan dieja “اونيسچو.”

Kesimpulan

Singkatan di dalam tulisan Jawi bukanlah kompleks. Bagi huruf ringkas, ia hanya memisahkan perkataan atau vokal awal dengan titik noktah seperti “.د.ب.ڤ”, dan bagi akronim pula ia diejakan sahaja seperti sebutannya atau mengikut etimologi.

Sekiranya ia merupakan huruf ringkas bahasa asing pula, ia akan dieja agar disebut seperti di dalam bahasa asal itu seperti “.وي.اي.بي” (WIB, bahasa Indonesia, disebut wé-i-bé) dan “.الفا.ڤي.ثيتا” (Α.Π.Θ, bahasa Yunani, disebut al.fa-pai-thé.ta.)

Ini kerana tulisan Jawi tidak mengubah cara sesuatu itu dibaca dalam bahasa asalnya, dan hanya mengeja mengikut sebutan bahasa asal.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: