[Rencana saya ini pernah disiarkan di Utusan Online pada 4hb September 2019]
Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri-negeri yang bersekutu di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dimana rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya, tradisi dan nilai yang berbeza.
Menyedari cabaran ini, kerajaan Persekutuan sejak hampir 62 tahun yang lalu
sehinggalah kepada hari ini amat mengambil berat akan hal perpaduan rakyat.
Hasilnya rakyat Malaysia berjaya hidup dalam suasana yang aman dan harmoni
serta saling bekerjasama dalam membangunkan negara.
Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula sahabat sekawan, perselisihan
kecil dalam kalangan rakyat adalah lumrah dan sukar untuk dielakkan,
lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat yang berbilang kaum.
Namun, malangnya sejak akhir-akhir ini entah apa silapnya, permasalahan
yang melibatkan kaum di negara ini menjadi semakin panas, di mana seolah-olah
sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat sudah semakin luntur.
Kita perlu melihat kembali di mana salahnya sehingga keadaan menjadi begini
dan cuba memperbaiki diri kita dan seluruh masyarakat demi mencapai kesatuan
rakyat yang lebih utuh.
Apakah kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md.
Yusof seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan bahawa, “masih terdapat
pemimpin dalam kerajaan yang berfikiran seperti pembangkang dan hanya
mengutamakan hak politik dan parti mereka serta bukan agenda nasional,” telah
menyumbang kepada keadaan ini?
Saya bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa kunci perpaduan adalah
Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 153 Perlembagaan sudah terang lagi
bersuluh, namun masih ramai rakyat terutama generasi muda yang tidak faham
mengenainya.
Sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, rakyat negeri-negeri
di Tanah Melayu bersatu padu untuk bangun menentang Malayan Union, di atas satu
asas perjuangan iaitu ingin bebas daripada cengkaman kuasa luar.
Menjelang kemerdekaan, Baginda Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai
rakyat Raja bermurah hati menerima dengan tangan terbuka imigran Cina dan India
sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu, dengan syarat-syarat menurut Kontrak
Sosial sepertimana yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit;
perkara ini telah berkali-kali dijelaskan oleh tokoh sejarah ulung negara,
Professor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim
Menyentuh hal ini, pada tahun 1965 Tun V.T. Sambanthan yang ketika itu
berjawatan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos telah berkata bahawa orang Melayu
sangat pemurah dan bersopan-santun sehingga, “cukup murah hati untuk
melonggarkan undang-undang kewarganegaraan negara ini”.
Bak kata orang-orang tua, orang berbudi, kita berbahasa.
Hal yang sama juga disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Malaysia, Tun Tan
Siew Sin pada 30hb April 1969 dan kerana itu beliau berjanji bahawa orang-orang
Cina dan India akan terus menyokong usaha kerajaan memelihara kedudukan
istimewa orang-orang Melayu.
Tetapi malangnya, kurang dua minggu selepas itu tercetus pula insiden
berdarah 13 Mei 1969, sebuah tragedi hitam rusuhan kaum yang sehingga kini
masih menghantui kehidupan sebahagian rakyat Malaysia yang celik sejarah.
Walau bagaimanapun, kerajaan berjaya mententeramkan keadaan dan lahirlah
Rukun Negara iaitu satu ideologi kebangsaan yang bertujuan untuk menyatupadukan
seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Namun kini timbul pula suara-suara sumbang yang mempertikaikan apa yang
telah dipersetujui di dalam Kontrak Sosial serta apa yang telah termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan, contohnya akhir-akhir ini semakin ramai yang
telah berani menghina agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan dan Baginda
Raja-Raja Melayu.
Ada juga rakyat Malaysia yang mendakwa Kontrak Sosial tidak wujud atau
sudah tidak lagi relevan kerana ianya ialah satu perjanjian yang lapuk.
Lebih parah lagi, apabila terdapat segelintir rakyat yang buta sejarah dan
dengan biadapnya menuduh orang-orang Melayu iaitu rakyat Raja sebagai
pendatang; di mana tuduhan biadap ini juga merupakan satu penghinaan terhadap
Baginda Raja-Raja Melayu.
Justeru, akibat dibakar nafsu amarah, sesetengah orang Melayu lantas
menggelar mereka yang menuduh itu kaum pendatang serta menghalau mereka balik
ke negara asal mereka; sedangkan mereka itu rakyat Malaysia yang juga mempunyai
hak sebagai warganegara dan bukan lagi pendatang.
Maka rakyat semakin berpecah-belah, sehinggakan mereka bukan sahaja
bersengketa di antara kaum, tetapi dalam kalangan bangsa sendiri pun turut
berlaku persengketaan apabila masing-masing gagal berlapang dada serta
merasakan bahawa diri mereka sahaja yang betul dan kuat.
Rakyat Malaysia harus menghayati sejarah negara bangsa dan mengambil
iktibar daripada kata-kata bijaksana nenek moyang kita dahulu yang telah
membina negara ini.
Tun V.T. Sambanthan pada 1hb Jun 1965, mengatakan bahawa orang-orang Cina
dan India yang dahulunya adalah imigran tanpa negara, tidak diterima di Asia
khasnya Asia Timur di mana orang India tidak diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan
Burma (Myanmar) manakala orang Cina pula tidak diterima di Thailand, Vietnam
dan Cambodia (Kemboja); namun di Tanah Melayu, mereka diterina oleh orang-orang
Melayu seperti saudara sendiri.
Menjelang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, imigran-imigran Cina dan
India diberi kesempatan untuk akhirnya mendapat peluang menjadi rakyat yang
bernegara, apabila mereka ditawarkan kewarganegaraan oleh orang-orang Melayu.
Namun untuk keadilan dan sebagai timbal balik di atas kemurahan hati
orang-orang Melayu serta untuk menjamin hak kaum-kaum lain, semua kaum telah
bersetuju dengan satu Kontrak Sosial yang telah diterjemahkan kepada beberapa
peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Untuk menjaga hak semua warganegara Malaysia, Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan
digubal, di mana sesiapa yang mempersoalkan kewarganegaraan mana-mana pihak
boleh disabit kesalahan di bawah Akta tersebut.
Perkara ini amat jelas, semua rakyat Malaysia mempunyai hak masing-masing
yang harus dihormati dan tidak boleh diganggu-gugat, dan tidak ada sesiapapun
yang berhak mempersoalkan hak orang lain yang sah di sisi Perlembagaan.
Apabila ada dalam kalangan orang Cina dan India yang melanggar Kontrak
Sosial ianya tidak memberikan hak kepada orang Melayu untuk juga berbuat
demikian dan menggelar mereka pendatang; malah orang Melayu sendiri ada juga
yang buta sejarah dan mempertikaikan Kontrak Sosial.
Malah kealpaan orang Melayu yang gagal menghayati sejarah negara bangsa dan
hanyut dalam keseronokan dunia fizikal telah menyebabkan kita hilang jati diri
bangsa lantas diambil kesempatan oleh mereka yang menentang asas kenegaraan
Malaysia.
Oleh itu apabila ada yang mencadangkan supaya dilucutkan kewarganegaraan
orang-orang yang melanggar Kontrak Sosial, ianya mestilah terpakai kepada semua
kaum di negara ini.
Mereka yang menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat layak dilabelkan
sebagai musuh negara kerana pertelingkahan di antara rakyat akan membawa
kemusnahan kepada negara bangsa.
Tikam-menikam bukanlah cara kita, maka janganlah cemarkan nilai dan budaya
kita; dan jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Fahamilah sejarah negara, pupuklah perpaduan dan jangan bermain api
perkauman dengan mempersoalkan serta mencabar hak orang lain kerana kelak ianya
boleh membakar seluruh rakyat Malaysia.
Jadilah rakyat yang patriotik, taat kepada undang-undang dan sayangkan negara
bangsa.
Bagaimana hendak kita merentasi jambatan emas, jika kita masing-masing
gagal bekerjasama serta terlalu sibuk menolak jatuh rakan sendiri ke dalam
jurang sedangkan kita sepatutnya bersatu membina jambatan emas itu.
Hayatilah maksud perbahasa Melayu, tua-tua penyakit, muda ubat; sesudah
tersepit baru tahu akan sifat.
Like this:
Like Loading...