Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Raja-raja Melayu telah selesai bermesyuarat dalam Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu dijangka mengeluarkan suatu kenyataan rasmi mengenai perbincangan khas tersebut dalam masa terdekat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berangkat pulang meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 4.22 petang tadi, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 4.24.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berangkat pulang dari istana pada jam 4.26 petang, diikuti Sultan Perak, Sutan Nazrin Muizuddin Shah pada jam 4.28.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat pulang pada jam 4.30 sambil melambai ke arah petugas akhbar.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Terdahulu, enam Raja-raja Melayu telah ke Istana Negara bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah petang tadi. Perbincangan khas tersebut dipercayai berkenaan pemilihan Perdana Menteri ke-9, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Raja-raja Melayu telah mula berangkat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini bagi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dijadualkan pada petang ini, bagi membincangkan hal berkenaan pelantikan Perdana Menteri ke-9.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah merupakan yang pertama untuk tiba di Istana Negara pada jam 1.56 petang tadi.

Adalah dijangkakan bahawa perbincangan khas tersebut akan diikuti pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah pula tiba pada jam 2.14 petang, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 2.22 petang dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2.24 petang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula tiba di Istana Negara pada jam 2.32 petang sebentar tadi.

Terkini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah memasuki pekarangan Istana pada jam 2.35 petang.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

Istana: Perbincangan Khas Raja-raja Melayu Jumaat Ini

Yang di-Pertuan Agong akan mempengerusikan satu Perbincangan Khas Raja-raja Melayu pada 20 Ogos ini bagi membincangkan isu-isu semasa.

Menerusi sebuah kenyataan akhbar, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin telah memberi maklum bahawa Seri Paduka Baginda dan Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan Malaysia ketika dilanda ancaman wabak Covid-19.

Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

Baca kenyataan penuh di bawah:

Umno Beri 14 Hari Untuk Kerajaan Panggil Sidang Parlimen

UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik COVID-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

“UMNO berpendirian tegas untuk mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya. –{UMNO Online]

Polis Akan Panggil Takiyuddin – KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak pihaknya akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk dirakam keterangan.

Hamzah berkata, ia berikutan kenyataan Takiyuddin yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya sudah maklumkan sesiapa sahaja yang melakukan penghasutan yang boleh menyebarkan sesuatu kurang senangnya apabila ada laporan yang dibuat, polis akan siasat kerana kadang kala saya nak kamu (wartawan) bagi maklumat lanjut kepada saya, kadang-kadang kamu semua cakap tidak maklumat lanjut menyebabkan orang lain yang jadi masalah.

“Jadi bila ada maklumat lanjut, kita akan siasat apa yang sebenarnya dia cakap,” katanya dalam sidang media berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di pejabatnya hari ini.

Hamzah berkata, pihak berkuasa akan memastikan dahulu kandungan ucapan Takiyuddin sebelum tindakan boleh diambil terhadap beliau.

“Biarlah polis siasat, supaya kita boleh dapat apa yang dia cakap. Saya akan pastikan dahulu (kandungan ucapan) dan kita akan pergi kepada yang lebih lanjut sebab kita tak boleh terus ambil seksyen mana selagi kita tak tahu.

“Kalau kita nak tuduh kita kena tahu kesalahan apa yang dilakukan baru ada seksyen (pertuduhan),” katanya.

Hamzah berkata demikian mengulas mengenai laporan polis Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang dibuat terhadap Takiyuddin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, siasatan polis tidak akan mengira darjat seseorang itu.

“Sesiapa sahaja yang ada laporan polis terhadapnya kita akan buat siasatan, kita tidak ada darjat mengenai bab itu,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kenyataan Takiyuddin terhadap titah YDPA adalah tindakan derhaka.

Pada Rabu lalu, Takiyuddin berkata, YDPA tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera dan tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan yang sama juga sudah hampir.

Sebelum ini YDPA berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. –{MalasyiaGazette]

Ungkapan ‘Secepat Mungkin’ Banyak Tafsiran – Ku Li

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen dibuka ‘secepat mungkin’ memberi pelbagai tafsiran kepada banyak pihak.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ada yang berpendapat ungkapan itu dalam bahasa Inggeris membawa maksud ‘it is like yesterday’ atau ‘semalam’.

Tambah beliau, Perdana Menteri tidak boleh menasihat Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan.

“Ini kerana, Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perkara 55 itu bertanggungjawab memanggil Parlimen dalam masa enam bulan dari tarikh akhir persidangan Parlimen yang lepas.

“Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Titah Agong Sebagai Ketua Utama Parlimen Perlu Dihormati – Rais Yatim

Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, berkata semua pihak perlu menghormati pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berusaha supaya Parlimen dibuka segera.

Katanya, pandangan Sultan Abdullah menepati Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dan harus dihormati kerana Agong yang berperanan sebagai Ketua 1 Parlimen.

“Isunya sekarang adalah bila dan (maksud) perkataan sesegera, mungkin itu nampaknya tidak boleh lebih dari 1 Ogos (tarikh darurat tamat), lagipun tarikh asal pengisytiharan darurat dibuat pada 12 Januari lalu.

“Jadi tarikh 1 Ogos itu, lebih kurang sempurnalah tempoh enam bulan supaya Parlimen boleh bersidang semula. Cuma sebelum tempoh itu, perlu dikemukakan notis supaya mesyuarat bersidang,” katanya menurut laporan portal PN BBC.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang, selain mempunyai kuasa mutlak menghentikan atau membubarkan Parlimen.

Baginda turut diperuntukkan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan antara persidangan lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang. -[Free Malaysia Today]

Art Harun: Mahiaddin Berhak Tetap Tarikh Persidangan Parlimen

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin berhak menetapkan tarikh untuk Parlimen bersidang semula atas alasan yang dirasakan wajar, susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau berkata komitmen Mahiaddin untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober tidak terlalu lewat, sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis Covid-19.

“Perdana menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan, malah beliau telah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh tersebut.

“Antaranya kerana angka Covid-19 dan sebagainya, jadi bagi pihak Parlimen, kita menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti,” katanya, menurut sebuah laporan oleh Utusan Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan dengan segera untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Dalam sebuah kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Raja-raja Melayu turut bersependapat dalam perkara tersebut, dan menambah bahawa Dewan-dewan Undangan Negeri juga perlu dibolehkan untuk bersidang dengan segera.

Kelmarin, Mahiaddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa, berkata Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Mahiaddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Beliau menjangkakan semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV, dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.

Takiyuddin Tegas Parlimen Pasti Bersidang Bulan September (Video)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong tidak menyebut masa tertentu untuk Parlimen bersidang, maka tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri pasti akan menjadi tarikh persidangan Parlimen.

Katanya, kerajaan sebelum ini sudahpun bercadang untuk membenarkan sidang Parlimen pada September depan.

“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa (sidang Parlimen) tapi secepat mungkin, Perdana Menteri (Tan Sri Mahiaddin Md Yassin) juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.

“Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” katanya ketika diwawancara dalam satu program maya anjuran HarakahDaily bertajuk Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Tidak secara langsung di laman Facebook akhbar tersebut.

Takiyuddin menjawab pertanyaan moderator mengenai titah Yang di-Pertuan Agong petang tadi yang mahu persidangan Parlimen diadakan segera.

“Begitu juga dalam seruan Yang di-Pertuan Agong mengenai peranan Ahli Parlimen supaya menjadikan Parlimen ini penting untuk membincangkan perkara berkaitan Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong tidak titah dengan perkara lain, Tuanku titahkan mengenai Covid-19, kita akan fokus dengan pandemik Covid-19,” kata Takiyuddin lagi.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa pembukaan Parlimen adalah untuk membolehkan perbahasan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam, Mahiaddin secara langsung dalam perutusan Pelan Pemulihan Negara berkata sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mahiaddin turut berkata, pembukaan semula sidang Parlimen berupaya dilakukan menjelang fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara apabila beberapa keadaan semasa di dalam negara, khususnya berkaitan pandemik Covid-19 melakar perkembangan positif.

Ia merangkumi penurunan purata kes harian Covid-19 sehingga bawah 2,000 kes manakala sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penyusutan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi ke paras mencukupi.

Raja-raja Melayu Titah Kerajaan Perlu Stabil, Dapat Sokongan Majoriti

Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu bertitah menegaskan betapa pentingnya bagi kerajaan Malaysia adalah stabil serta mendapat keyakinan dan sokongan majoriti rakyat.

Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad memaklumkan bahawa Baginda Raja-raja Melayu telah titah bersependapat dalam tujuh perkara ketika Perbincangan Khas Raja-raja Melayu petang tadi.

Pertama sekali ialah nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi segala perkara lain, saat negara dilanda ancaman kesihatan iaitu penularan wabak Covid-19.

Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi perlu dikurangkan agar program vaksinasi dapat ditingkatkan supaya negara dapat mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.

Di dalam kenyataan tersebut, Tan Sri Syed Danial menyatakan bahawa Raja-raja Melayu telah menekankan bahawa kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif agar berjaya dijalankan.

Selain itu, Baginda Raja-raja Melayu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan bagi meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas tamat tempoh asal darurat iaitu 1 Ogos 2021.

Baginda Raja-raja Melayu juga menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen Malaysia bersidang dengan segera, dan Dewan-dewan Undangan Negeri turut perlu dibolehkan bersidang secepat mungkin.

%d bloggers like this: