Bagaimana Politik Negara Berubah Daripada Pentadbiran Kepada Pertandingan

[ baca versi jawi di sini ]

Dunia berubah dengan begitu pantas. Kadangkala, perkara yang pada awalnya dianggap aneh, boleh menjadi ikutan dalam sekelip mata. Sehinggakan perkara-perkara negatif pun, setelah ‘dibiasakan’ dalam masyarakat, boleh diterima sebagai perkara ‘biasa’.

Ini termasuklah hal-hal yang dianggap salah dari sudut etika dan moral. Begitu juga dengan amalan politik tempatan.

Dahulunya dalam konteks politik tempatan, pemimpin yang melompat parti dikatakan pemimpin yang tidak berprinsip. Apalagi jika lompatan itu dibuat setelah mereka memenangi pilihan raya di atas tiket parti yang mereka tinggalkan.

Namun, pasca-PRU14, amalan ini sudah seakan-akan menjadi perkara biasa.

Para pemimpin yang dahulunya lantang menentang amalan lompat parti, kini memuji amalan ini kerana lompatan itu menguntungkan parti mereka.

Maka lahirlah hujah-hujah baharu bagi mempertahankan senario ini, seperti “katak berprinsip.”

Beberapa hari setelah Barisan Nasional kalah dalam PRU14, kita melihat ‘acara lompat parti’ secara besar-besaran oleh ahli-ahli parlimen yang baru sahaja menang atas tiket BN ke Pakatan Harapan.

Sejak itu, politik Malaysia menjadi begitu panas dan bersifat terlalu kompetitif sehingga berlaku berbagai-bagai keadaan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

Bagi yang mahu mencari peluang menempatkan diri di tempat yang lebih tinggi dan selamat, mereka menyeberang mengikut arus yang mengalir.

Yang menerima pula begitu gembira menerima orang yang menyeberang kerana dapat menambah bilangan kerusi parlimen bagi menguatkan kedudukan parti.

Malah lompatan juga berlaku dalam kalangan pakatan parti yang sama.

Dalam keadaan yang meruncing, tambahan satu kerusi pun begitu besar skala impaknya dalam menentukan suara parti. Semangat setia kepada parti dalam kalangan sesetengah pemimpin politik sudah menjadi semakin tipis. Parti baharu serta pakatan politik baharu timbul silih berganti, biasanya dipimpin oleh individu yang dahulunya memimpin parti yang sudah ada.

Pemainnya sama, cuma parti yang berbeza. Seolah-olah penjenamaan baharu untuk menarik lebih ramai penyokong. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun pasca-PRU14, kita telah diperintah oleh tiga kerajaan yang dipimpin oleh tiga Perdana Menteri.

Memang sukar bagi pakatan politik yang rapuh hubungannya untuk kekal stabil dalam jangka masa yang lama.

Walaupun dinafikan, namun kita boleh membaca dengan jelas bahawa tujuan pakatan di antara sesetengah parti adalah tidak lebih daripada sekadar untuk mengalahkan pihak musuh yang sama.

Akhirnya akibat tiada persefahaman serta perebutan kuasa, pemimpin-pemimpin mereka bercakaran sesama sendiri.

Majoriti yang tipis juga menjadikan kedudukan kerajaan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya dengan peralihan sejumlah kecil sahaja Ahli Parlimen sudah cukup memporak-perandakan keadaan.

Dalam suasana di mana ramai ahli politik mengamalkan politik persaingan tidak sihat, kita perlu lebih bijak dalam memilih wakil rakyat kita. Parti-parti politik juga mesti mencalonkan individu yang benar-benar mahu memimpin dan tidak melompat-lompat setelah menang untuk kepentingan diri.

Pemimpin yang perlu kita pilih hendaklah berdasarkan sifat yang jelas dilihat tanpa perlu diiklankan kehebatan orangnya melalui pelbagai propaganda.

Jangan sampai kita mudah termakan janji-janji politik yang belum tentu akan ditunaikan jika mereka menang.

Kita mengharapkan pemimpin yang boleh memimpin negara dan bukannya mereka yang hanya tahu bercakap dan membawa idea yang bukan-bukan serta tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik, ditambah pula dengan masalah Covid-19 yang belum pulih, kita tidak mampu lagi memperjudikan nasib bangsa dengan langkah yang kurang tepat.

Fikir dahulu sebelum memangkah, supaya tidak tersilap langkah. Jadilah pengundi yang bijak, supaya kita tidak dipijak.

Ingatlah – krisis politik yang tiada kesudahannya hanya akan menghancurkan negara.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

3 thoughts on “Bagaimana Politik Negara Berubah Daripada Pentadbiran Kepada Pertandingan”

  1. Suatu pengamatan yang bernas dan matang. Moga ia membuka mata khalayak awam untuk menjadi lebih bijaksana dalam memilih pemimpin negara. Yang kita perlukan sekarang adalah pemimpin yang berjiwa negarawan kerana pemimpin hanya memikir dan berjuang untuk kelompok mereka tetapi negaran berkorban dan berjuang untuk generasi dan umatnya. Terus-terusanlah menukilkan pandangan dan telahan dengan mata penamu yang tajam, jujur, bermakna lagi luar biasa.

    Like

    1. Insya-Allah, amin. Terima kasih, Uncle. Kita perlu ubah persepsi orang-orang muda, kerana malang sekali ramai yang kurang berminat untuk mengamati bidang kenegaraan, menyebabkan yang lain juga tidak selesa untuk menjadi berbeza. Akhirnya, bangkitlah sikap tidak peduli akan hal-hal tersebut. Mohon tunjuk ajar dan bimbingan daripada Uncle agar dapat kita jayakan perjuangan kita ini, insya-Allah.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: