BN Tidak Menyokong Mana-mana Gabungan, Kekal Sebagai Pembangkang – Ismail Sabri

Naib Presiden Barisan Nasional, Dato’ Seri Ismail Sabri mengumumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan sebagai kerajaan, sama ada Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.

Di dalam sebuah twit yang diterbit pada jam 2 petang tadi, Perdana Menteri itu berkata BN juga bersetuju untuk kekal sebagai pembangkang setakat ini.

Persoalan mengenai siapa bakal menerajui kerajaan timbul setelah keputusan buntu Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada parti dapat membentuk majoriti di dalam Dewan Rakyat, membawa kepada perlunya pembentukan suatu kerajaan gabungan antara ahli-ahli parlimen daripada parti-parti berbeza.

Semalam, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, membawa kepada spekulasi bahawa Barisan Nasional bakal membentuk kerajaan bersama-sama PH, terutamanya apabila hal tersebut dilakukan di negeri Perak.

GPS Setuju Gabung BN, PN, GRS Bentuk Kerajaan

Gabungan Parti Sarawak (GRS) bersetuju membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut demi untuk mengukuh dan menstabilkan Negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita semua sedia maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai PRU15 semalam.

“Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat harus lah dibentuk dengan kadar yang segera,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Jesteru katanya, GPS bersetuju membentuk gabungan (coalition) PN, BN, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat berasaskan tiga ketetapan.

“Menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. –{Kosmo!]

Kalau bukan Muhyiddin, siapa lagi?

[ baca versi jawi di sini ]

Keputusan PPBM untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri PRU15 tidaklah mengejutkan.

Hal ini kerana beliau dianggap sebagai tunjang kepada kelangsungan PPBM dalam arena politik tanah air. Sama keadaannya seperti Tun Dr. Mahathir kepada parti Pejuang.

Bahkan, Muhyiddin bukan hanya memainkan peranan yang besar dalam mencatur pergerakan politik PPBM tetapi juga Perikatan Nasional (PN).

Buktinya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, PN menampilkan Muhyiddin sebagai ‘poster boy‘ atau wajah poster mereka.

Meskipun keputusan meletakkan Muhyiddin sebagai calon PM bukanlah aneh, namun ada penganalisis politik yang bertanya adakah itu satu tindakan yang wajar?

Dalam PRN Sabah, PN yang menggunakan slogan “Abah sayang Sabah,” bertanding di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama BN dan PBS.

GRS memenangi PRN tersebut dan dapat membentuk kerajaan negeri Sabah.

Namun begitu, dalam PRN Melaka dan Johor, tatkala PN bertanding secara solo, prestasi mereka merundum jatuh sehingga 92% berbanding peratus kenenangan mereka pada PRN Sabah:

  1. Pada PRN Sabah, PN menang 17 kerusi daripada 29 kerusi yang mereka tandingi atau 59%
  2. Pada PRN Melaka, PN menang 2 kerusi daripada 28 kerusi yang mereka tandingi atau 7%
  3. Pada PRN Johor, PN menang 3 kerusi daripada 56 kerusi yang mereka tandingi atau 5%

Memandangkan sudah dua kali berturut-turut PN dilihat gagal mendapatkan sokongan rakyat, ada pemerhati politik berpendapat PN perlukan seorang tokoh baharu untuk menawan hati pengundi.

Namun persoalannya; jika bukan Muhyiddin, siapa lagi?

Pimpinan PN Adakan Mesyuarat Khas – Apakah Yang Dibincangkan?

Pemimpian-pemimpin utama parti Perikatan Nasional (PN) hari ini mengadakan mesyuarat khas di Publika.

Difahamkan, mesyuarat itu adakan bagi membincangkan isu barisan kepimpinaan kerajaan selepas persetujuan dibuat bagi memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Antara pemimpin yang dilihat hadir adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Star, Datuk Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pemuda PN, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua Wanita Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi parti PN.

Pemimpinan PN mula tiba di Publika sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam bagi menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.

Istana Negara dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan pimpinan Muhyiddin mencalonkannya.

Langkah tersebut sekaligus mengekalkan pentadbiran lalu dari jatuh kembali kepada Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. –{MalaysiaGazette]

Serah Semula Kuasa Kepada Agong: Gesa Ku Li

Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet hendaklah meletak jawatan dan berundur daripada pemerintahan negara dengan segera, dan beri ruang untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menentu masa hadapan negara dengan cara yang baik.

Begitu kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang merujuk secara khususnya kepada surat yang dihantar Istana Negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Oleh kerana tidak ada ketentuan daripada pihak kerajaan, maka saya mengesyorkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara itu, Perdana Menteri dan menteri-menterinya letak jawatan dan berundur daripada pemerintahan negara.

“Serah balik kuasa ini kepada Tuanku Agong, biar Tuanku Agong menentu masa depan negara kita.”

Kata beliau, seluruh menteri kabinet di bawah Perdana Menteri sekarang bertanggungjawab akan hal berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang melanggar titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mempersoalkan berapa lama lagi kerajaan hendak tunggu sehingga suatu tindakan berkesan akan dilakukan untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang melanda negara kita pada ketika ini.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat mati, bunuh diri dan sebagainya, sebelum satu tindakan yang efektif boleh dilakukan?”

Tengku Razaleigh menyifatkan hal ini sebagai suatu penghalangan daripada negara untuk pulih daripada keadaan yang semakin teruk ini.

Menurutnya, dengan tiadanya halangan ini, keadaan ekonomi mungkin dapat diperbaiki, dan suatu strategi baharu untuk melawan Covid-19 boleh digunakan agar krisis ini dapat berakhir.

“Dengan kita buang penghalangan ini, mungkin keadaan ekonomi akan bertambah baik, dan mungkin strategi baharu boleh digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.”

Petang tadi, lebih 12 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta terhadap Perikatan Nasional secara keseluruhannya.

Menurut Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, terdapat lebih ramai lagi yang turut menarik sokongan mereka terhadap kerajaan, namun tidak dapat hadir ke sidang akhbar yang diadakan di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Sila baca: Lebih 12 MP UMNO T’tangan Tarik Sokongan Terhadap PM & Perikatan Nasional

Sebelum itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah meletakkan beliau sebagai Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan juga UMNO atas peluang yang diberi untuk menjawat jawatan tersebut.

Sila baca: Shamsul Anuar Nasarah Letak Jawatan Menteri Kabinet

Shamsul merupakan menteri pertama di dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin untuk melakukan sedemikian.

Untuk rekod, Perikatan Nasional kini hanya mempunyai tidak lebih 103 Ahli Parlimen yang menyokong mereka secara rasmi, manakala sokongan yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah ialah 110 kerusi.

Lebih 12 MP UMNO T’tangan Tarik Sokongan Terhadap PM & Perikatan Nasional

Lebih 12 Ahli Dewan Rakyat UMNO telah menandatangani surat perakuan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional secara keseluruhannya.

Antara Ahli Parlimen tersebut ialah Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Azeez Rahim (Baling), Noh Omar (Tanjung Karang) dan ramai lagi.

Menurut Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, terdapat lebih ramai lagi yang turut menarik sokongan mereka terhadap kerajaan, namun tidak dapat hadir ke sidang akhbar sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, mereka telah pun menandatangani surat perakuan tersebut.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan beliau sebagai menteri kabinet berkuat kuasa serta merta.

Sila baca: Shamsul Anuar Nasarah Letak Jawatan Menteri Kabinet

Sejurus selepas itu, Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO, selepas bermesyuarat petang tadi, mengumumkan bahawa MKT parti tersebut secara sebulat suara telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO ketika mesyuarat MKTnya sebentar tadi bertindak sebegitu kerana telah memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: SAH – MKT UMNO Sebulat Suara Tarik Sokongan Perikatan Nasional

PN Masih Punyai Sokongan Majoriti – TPM

Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk meneruskan pentadbiran kerajaan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan politik sejak akhir-akhir ini.

Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat diharapkan dapat bertenang dan beliau memberi jaminan kemelut politik negara akan berakhir dalam masa terdekat.

“Saya menjunjung akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini.

“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli-ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan. –{MalaysiaGazette]

UMNO Undur Diri: Apakah Status Malaysia Kini?

Akhirnya UMNO telah menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) selaras dengan keputusan para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).

Ada yang menyatakan bahawa UMNO sepatutnya telah lama mengambil langkah ini dan bukan hanya gagah apabila bercakap ibarat seperti tin kosong.

Pun begitu, ia tetap menjadi satu kejutan bagi sesetengah pihak; lebih-lebih lagi baharu petang tadi kerajaan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan tergempar UMNO yang diumumkan jam 1.06 malam tadi telah membuatkan ramai yang tertanya-tanya sama ada PN masih layak menerajui negara?

Secara rasminya, PN hanya mempunyai 50 kerusi di Dewan Rakyat, dan disokong oleh 27 kerusi daripada parti-parti lain setelah UMNO menamatkan sokongannya. Ini membawa kepada jumlah 77 kerusi, iaitu hanya sedikit sahaja melebihi daripada 1/3 dewan.

Maka, apakah kerajaan atau lebih tepatnya Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat?

Atau nanti akan adakah Ahli Parlimen yang mahu ‘lompat parti’ untuk menyertai atau menyokong PN?

Adakah semua menteri-menteri dari UMNO akan akur dengan keputusan parti?

Rakyat tentunya menantikan apa yang akan terjadi jika benar PM telah hilang majoriti di Parlimen.

Adakah Tan Sri Mahiaddin akan meletak jawatan seperti yang digesa UMNO?

Jika kerajaan Tan Sri Mahiaddin diisytihar jatuh, adakah Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri Interim seperti mana yang dijangka ramai sementara menunggu saat yang sesuai dan selamat untuk diadakan Pilihan Raya Umum?

Jika ia berlaku, rakyat tentunya mengharapkan seorang Perdana Menteri Interim yang bijak, amanah serta berpengalaman luas untuk memulihkan keadaan negara pada saat negara sedang dilanda krisis politik, kesihatan, ekonomi serta sosial pada masa kini.

Wallahu a’lam…

SAH – UMNO Tarik Diri Daripada Kerajaan

Baca versi Jawi di sini.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa UMNO secara rasminya menarik diri daripada kerajaan persekutuan berkuat kuasa serta merta. Perkara tersebut diumumkan melalui sebuah sidang media maya daripada Bangunan Dato’ Onn sebentar tadi.

Beliau berkata kerajaan telah gagal memenuhi segala aspirasi rakyat di dalam beberapa perkara seperti menangani Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan yang amat serius kepada rakyat.

Menurutnya, salah satu contohnya ialah pelaksanaan ‘total lockdown’ yang hanya meningkatkan kes kematian daripada lebih kurang 2800 sahaja kepada lebih 5700.

Beliau menegaskan bahawa salah satu kegagalan utama kerajaan adalah apabila mereka dengan jelasnya memperkotakikatikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Raja-raja Pemerintah sehingga terpaksa berulang kali mengeluarkan kenyataan media menggesa sidang Parlimen diadakan.

Zahid turut menambah bahawa kerajaan telah menggunakan darurat yang dianggap adalah hanya untuk muslihat politik dan menyebabkan kemudaratan kepada rakyat serta ekonomi.

Kerajaan juga gagal mengamalkan sistem demokrasi berparlimen sehingga hingga memandulkan amalan semak dan imbang yang menjamin suara rakyat terbela.

Beliau turut menambah bahawa karenah birokrasi yang membebankan juga membuktikan kegagalan kerajaan apabila ramai rakyat tidak dapat atau lambat menerima bantuan yang disediakan.

Kegagalan ini turut menyebabkan kes-kes sosial seperti kes bunuh diri yang berjumlah 1,099 kes di antara bulan Mac 2020 sehingga Mei 2021.

Keputusan ini dibuat bagi memenuhi mandat ahli UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada awal tahun ini.

UMNO turut mendesak Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengundurkan dirinya sebagai Perdana Menteri secepat mungkin.

Ismail Sabri TPM – Di Manakah Kerajaan Sekarang?

Berita pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri petang tadi tentu menjadi kejutan bagi ramai rakyat negara. Bekas Menteri Kanan Pertahanan tersebut yang juga merupakan Naib Presiden UMNO telah memenuhi jawatan yang telah dikosongkan selama lebih 1 tahun di saat suasana politik semakin hangat.

Lebih-lebih lagi, malam ini pemimpin-pemimpin UMNO akan bertemu dan berbincang mengenai keputusan mereka akan status UMNO di dalam kerajaan. UMNO dijangka mengumumkan pendirian parti sama ada malam ini ataupun esok.

Keputusan UMNO akan menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional, sama ada terus memerintah negara ataupun terkubur sebagai kerajaan persekutuan yang paling singkat memerintah negara.

Adakah langkah melantik Ismail Sabri satu jalan demi memastikan UMNO terus bersama menyokong Perikatan Nasional?

Khabar angin mengatakan bahawa asbab utama Tan Sri Mahiaddin tidak melantik seorang Timbalan Perdana Menteri sebelum ini adalah kerana beliau mahu menyelesaikan isu perebutan kuasa antara pemimpin PPBM dan UMNO.

Azmin sering dikatakan sebagai calon utama Timbalan Perdana Menteri. Namun pada saat kedudukan kerajaan terancam sebegini, nampaknya Perdana Menteri memilih pemimpin UMNO kerana pilihan itu mungkin dapat menyelamatkan keadaan.

Dahulunya, ramai juga yang menjangka Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Nama Ismail Sabri hanya mula disebut-sebut setelah khabar tentang pertemuan di Jalan Bellamy baru-baru ini, yang dikatakan merupakan satu pertemuan yang diusahakan beliau.

Persoalannya adalah:

  1. Adakah UMNO akan berpuas hati dengan lantikan ini?
  2. Adakah suatu tindakan segera akan diumumkan malam ini?
  3. Apakah tindakan UMNO seterusnya?

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif demi memulihkan ekonomi negara dan menangani wabak Covid-19.

Semoga Allah selamatkan negara ini daripada huru-hara serta mengembalikannya kepada keamanan, aamiin.

%d bloggers like this: