Azalina Dilantik Jadi Timbalan Speaker Sementara

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said hari ini mempengerusikan sesi petang persidangan Dewan Rakyat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat buat sementara waktu.

Menjelaskan kekeliruan ahli parlimen yang ada di Dewan, Azalina berkata Speaker Azhar Azizan Harun telah memintanya berbuat demikian bawah peraturan mesyuarat 7(3).

“Saya telah diminta Speaker di bawah 7(3) diminta untuk pengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu.”

Azalina Soal Rashid: Dah Baca Belum Surat Istana 9 Ogos?

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon telah menerima ‘peringatan’ dari rakan parlimennya Azalina Othman Said malam tadi mengenai sepucuk surat yang mungkin dia terlepas pandang.

Ini susulan Rashid mengaku tidak sedar kewujudan surat dari Istana Negara yang meminta Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk mengesahkan jumlah ahli parlimen yang masih menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pada ciapan di Twitter malam tadi, Azalina – yang juga timbalan speaker di Dewan Rakyat – berkata salinan surat itu juga telah dikirimkan kepadanya dan Rashid.

“Surat bertarikh 9 Ogos 2021 salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum Rashid,” soalnya pada hantaran malam tadi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadhli Shamsuddin telah menghantar surat pada 9 Ogos meminta Azhar mengesahkan sokongan terhadap Muhyiddin.

Azalina menyertakan tangkap layar laporan dari akaun Twitter portal The Vibes, yang memetik Rashid mendakwa, tidak ada duluan (precedent) Agong berkomunikasi secara langsung dengan speaker mengenai hal-hal parlimen.

“Sebab itu saya perlu tanya tentang laporan yang membuat dakwaan sedemikian kerana bagaimana Yang di-Pertuan Agong boleh menanyakan soalannya kepada Yang di-Pertua (Dewan Rakyat).

“Menurut prosedur, ketika Parlimen bersidang, apa sahaja yang berlaku di dalam dewan, ketua Dewan Rakyat (perdana menteri) akan melaporkan sendiri kepada Agong, termasuk sokongan majoritinya.

“Ia tidak datang daripada speaker. Tak boleh. Ini prosedurnya,” kata Rashid seperti dipetik The Vibes.

Bagaimanapun, Azalina menafikan dakwaan Rashid itu, berkata dirinya, Rashid dan Azahar telah menghadap Agong pada 29 Jun.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga menyertakan gambar pertemuan itu pada ciapannya di Twitter.

“YB (Rashid) bukan kita jumpa Yang di-Pertuan Agong ramai-ramai pada 29 Jun 2021 ke,” soalnya lagi.

Pun begitu, kedua-dua timbalan speaker ini tidak sependapat mengenai perkara ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah sebelum ini telah berkenan menerima menghadap speaker dan dua timbalan speaker Dewan Rakyat, serta presiden dan timbalan presiden Dewan Negara, pada 29 Jun.

Ini selepas Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti politik utama negara dari 9 Jun dan 15 Jun, mengenai situasi Covid-19 dan darurat yang berkuatkuasa ketika itu.

Setelah bertemu dengan speaker DEwan Rakyat dan Dewan Negara, istana mengeluarkan kenyataan pada hari sama mengulangi gesaannya bahawa parlimen perlu bersidang “secepat mungkin”.