Jangan Persoal Kuasa Prerogatif Agong

Perdana Menteri ke-9 sudah dilantik. Ada yang gembira, ada yang kecewa; ada yang menyokong dan ada pula yang membantah.

Belum pun barisan kabinet baharu diumumkan, suasana politik sudah mula kembali panas:

  • Ada yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut secara umum
  • Ada yang mempertikaikan mengapa undi percaya masih perlu dijalankan
  • Ada yang mempertikaikan kuasa Agong dalam melantik Perdana Menteri

Kita mesti melihat kepada Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa:

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah mengatasi politik. Baginda tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap negara.

Jelasnya, kita dapat melihat Yang di-Pertuan Agong tegas menjalankan tugas Baginda sebagai Ketua Utama Negara dengan adil dan berlandaskan undang-undang negara.

Dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Baginda Agong menzahirkan bahawa:

Sesiapapun juga dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Untuk memilih Perdana Menteri ke-9, Baginda telah menitahkan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan menyatakan seorang calon yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli dewan rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Jelas, Baginda telah menggunakan kuasa budi bicara Baginda dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.

Buktinya, dalam melaksanakan kuasa budi bicara, Baginda bertindak meraikan konsep demokrasi yang diamalkan dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Demi meraikan konsep demokrasi jugalah, Baginda telah menitahkan Perdana Menteri setelah dilantik, hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Kini ada yang mempersoalkan apakah perlu untuk diadakan undi percaya bagi mengesahkan keabsahan seorang Perdana Menteri sedangkan hal ini tidak disebut di dalam Perlembagaan?

Dalam hal undi percaya ini, saya melihat Baginda Agong:

  • Berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan
  • Meraikan konsep demokrasi
  • Bersikap saksama kepada semua pihak termasuk pihak yang kalah
  • Tidak mahu berbangkit pertikaian tentang soal keabsahan Perdana Menteri

Sebenarnya undi percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik bukan hasil daripada Pilihan Raya Umum, bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik negara.

  • Pada tahun 1976, Allahyarham Tun Hussein Onn telah menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia. Usul undi percaya terhadap Tun Hussein dibuat beberapa hari berikutnya.
  • Pada tahun 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menggantikan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan secara tiba-tiba. Usul undi percaya terhadap Tun Abdullah kemudiannya dibentang di Parlimen.

Demi integriti dan keadilan kepada semua pihak, pemimpin politik perlu akur kepada titah Baginda Agong dalam usaha menyelesaikan krisis ini agar pisang tidak berbuah dua kali.

Setelah negara bertukar Perdana Menteri sebanyak 2 kali dalam masa 18 bulan, Baginda Agong pasti mencari jalan agar perkara yang sama tidak berulang.

Di dalam dunia ini, tiada sesiapa yang akan berpuas hati sepenuhnya atas setiap keputusan atau pemilihan yang dibuat secara undian. Namun itulah dasar demokrasi. Suara majoriti yang akan menang.

Yang menang pula mestilah adil dan mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama sebelum bertanding.

Semoga kita semua khasnya pemimpin-pemimpin politik boleh berjiwa besar dan mengambil iktibar daripada titah Baginda bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.

Bersikap adillah sesama kita.

Tidak semua yang berlaku di dunia ini adalah manis bagi kita. Ada yang pahit untuk ditelan dan ada yang terlalu sukar untuk ditempuhi.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.