Di Sebalik Kemelut Politik, Nama Ku Li Naik Lagi Sebagai Calon PM Terbaik

Dalam kemelut politik Malaysia yang berterusan sejak tahun lepas, negara memerlukan seorang tokoh yang dapat bukan sahaja menyelesaikan isu politik, tetapi juga krisis ekonomi dan kesihatan. Penganalisis, pemerhati termasuklah ahli-ahli politik tanah air ramai mula menyebut semula satu nama sebagai penyelamat keadaan yang semakin meruncing ini—Tengku Razaleigh Hamzah.

Pakar Geostrategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berpendapat, selain mempunyai pengalaman, Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li juga merupakan agen pendamai dalam kalangan pemimpin hari ini.

Ketika diwawancara sebuah program dalam talian anjuran akhbar MalaysiaGazette, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai ‘dark horse‘ atau kuda hitam yang boleh menyelamatkan Malaysia.

“Dalam keadaan sekarang sebelum PRU15, Malaysia memerlukan pemimpin yang sudah masak dengan sepak terajang politik.

“Selain itu, pemimpin itu juga mampu bertahan dengan pelbagai tekanan.”

Pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Syed Hassan Syed Ali turut menamakan Tengku Razaleigh sebagai satu-satunya tokoh yang layak memacu Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa itu melalui sebuah hantaran di Facebook turut menambah bahawa Tengku Razaleigh juga satu-satunya tokoh yang dihormati semua Ahli Dewan Rakyat.

“Untuk kebaikan negara seorang tokoh yang selayaknya memacu Malaysia sehingga PRU15 dan sepenggal lagi selepas itu, yang pasti dihormati semua MP, seorang sahaja iaitu Yang Berhormat Mulia Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang punya pengalaman luas membangunkan negara ini berbanding dengan pemimpin lain.”

Menurut Syed Hassan lagi, hanya seorang sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut.

Tangkapan layar hantaran Syed Hassan Syed Ali hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid juga menyifatkan veteran UMNO tersebut sebagai pilihan tepat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Bagi saya Ku Li (ialah) calon tepat kerana kepimpinan beliau dalam UMNO selama ini telah terbukti. Beliau juga dikenali ramai terutamanya di peringkat antarabangsa setaraf bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Paling penting, beliau juga dihormati oleh semua parti termasuk DAP dan PKR kerana kewibawaan beliau dalam politik selama ini. Ku Li juga di dalam UMNO adalah individu paling bersih tidak seperti Ahli Parlimen yang lain.”

Untuk rekod, Tengku Razaleigh pernah memegang jawatan Pengerusi Asian Development Bank pada 1976, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development (World Bank) pada 1977 dan Pengerusi Islamic Development Bank (Arab Saudi) pada 1978.

Jasa besar Tengku kepada Malaysia begitu besar. Beliau digelar “Putera Minyak Negara” dan merupakan mengasas PETRONAS. Tengku dilantik menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertama PETRONAS.

Tengku juga telah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) yang pertama dan pernah memegang jawatan Presiden bagi Malaysian Chamber of Commerce and Industry dan ASEAN Chamber of Commerce and Industry.

Tengku juga telah mengetuai delegasi perdagangan pertama Malaysia ke China pada tahun 1971, yang telah merealisasikan gencatan senjata ke atas Parti Komunis Malaya, yang mana membawa pertumbuhan besar kepada ekonomi negara.

Seorang Calon BN Sudah Dapat Sokongan Majoriti

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa seorang calon Barisan Nasional (BN) sudah memiliki sokongan melebihi majoriti diperlukan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwanya, BN yang memiliki 42 kerusi di Parlimen, berjaya mendapatkan sokongan secara hitam putih berjumlah lebih 69 Ahli Parlimen beberapa parti, sekali gus melebihi sokongan majoriti 111 Ahli Parlimen yang diperlukan.

Individu itu berkemungkinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini dilaporkan turut mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN).

“BN mempunyai 42 saja kerusi Parlimen dan bagi membolehkan calon Perdana Menteri dipilih, BN memerlukan sekurang-kurangnya 69 lagi sokongan daripada parti-parti lain, menjadikan sekurang-kurangnya (sokongan) 111 daripada 220.

“Alhamdulillah, baru sebentar tadi selesai perbincangan dengan Ahli Parlimen dan wakil parti-parti sahabat yang lain untuk mohon menyokong seorang calon daripada BN.

“Kami amat terharu kerana sejumlah lebih daripada 69 yang diperlukan, bersetuju bagi memberi laluan dan sokongan hitam putih kepada seorang calon BN,” kata Annuar menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Annuar berkata, semua Ahli Parlimen BN akan bermesyuarat dengan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkembangan itu.

“Saya sendiri juga sudah menghubungi Presiden UMNO untuk satu panduan dan kata sepakat, mengambil kira perkembangan terkini serta surat notis Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini,” katanya.

Annuar sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri ketika sama-sama dalam Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, BH melaporkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan berhubung calon Perdana Menteri, untuk diserahkan kepada Istana Negara esok.

Difahamkan, mesyuarat yang dijangka dihadiri semua 38 Ahli Parlimen UMNO itu adalah bagi memutuskan hanya satu nama sebagai calon Perdana Menteri, untuk diserahkan kepada Istana Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut dilaporkan berkata, UMNO sedang berunding sesama Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi parti itu hari ini bagi memutuskan hanya seorang saja nama calon Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.

Sebelum ini, beberapa nama dikatakan menjadi pertimbangan sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO, antaranya Ismail Sabri dan penasihat UMNO, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razalegh Hamzah.

Setakat ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memperoleh jumlah sokongan teramai daripada Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN), serta daripada PN yang merangkumi PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ismail Sabri juga dikhabarkan sudah mendapat sokongan lisan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut dihadiri pimpinan tertinggi UMNO di ibu pejabat parti itu, tengahari tadi sebelum Ahmad Zahid bergerak ke Istana Negara. -{Berita Harian]

Pemimpin Parti Mengadap Agong: Setuju Wujudkan ‘Politik Baharu’

Terdapat satu konsensus dalam kalangan parti-parti politik Malaysia untuk menggagas suatu bentuk ‘politik baharu,’ kata pemimpin-pemimpin parti selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong secara serentak petang tadi.

Ketika ditemu bual pihak akhbar, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, pemimpin-pemimpin parti-parti politik senegara telah bersepakat atas hal demikian, namun beliau tidak memberi penjelasan akan apakah yang dimaksudkan dengan ‘politik baharu.’

Beliau turut menambah bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan semua ketua parti politik bahawa negara dalam krisis kesihatan, politik dan ekonomi, dan Baginda mahukan semua pihak bermuafakat menanganinya.

“Maknanya yang menang jangan jadi seperti yang pernah berlaku, memakan orang yang kalah,” ujar Anwar kepada petugas akhbar.

“Semua nampak ada konsensus hentikan politik lama dengan cara hukum dan harus jurus semula ke arah membangun,” tambahnya lagi.

Anwar berkata isu yang ditekankan dalam pertemuan itu bukan pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi mengenai mewujudkan suatu bentuk ‘politik baharu’ “yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat.” – Gambar ihsan Free Malaysia Today

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti-parti politik telah ke istana negara bagi tujuan mengadap Yang di-Pertuan Agong secara serentak, bagi membincangkan hal berkaitan keadaan negara pada masa kini.

Lebih lanjut: Pemimpin-pemimpin Parti Selesai Mengadap Agong

Terdahulu, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya membuat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Menurut laporan Malaysiakini, ahli-ahli Parlimen mempunyai masa sehingga pukul empat petang esok untuk mengemukakan akuan secara bertulis. Surat itu mesti disahkan sebagai benar.

Lebih lanjut: Semua MP Diarah Calonkan PM Secara Bertulis

Pemimpin-pemimpin Parti Selesai Mengadap Agong

Pemimpin-pemimpin parti-parti politik Malaysia telah mula keluar dari pekarangan Istana Negara bermula jam 4.01 petang tadi, setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin pertama untuk keluar ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim, diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohammad Sabu.

Menurut Anwar ketika ditanya di hadapan pagar Istana Negara, terdapat satu konsensus bagi mewujudkan ‘politik baharu.’

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi turut meninggalkan pekarangan istana selepas itu.

Parti-parti dari Sabah dan Sarawak dilaporkan menghadiri secara maya melalui panggilan video kerana kekangan bergerak dari Borneo akibat Covid-19.

Berita lanjut menyusul.

Interim v. Caretaker – Adakah Sama atau Berbeza?

Terdapat perdebatan hangat dalam kalangan rakyat awam tentang perbezaan fungsi Perdana Menteri Caretaker berbanding Perdana Menteri Interim. Ada yang merasakan kedua-duanya sama dan sinonim.

Berbeza dengan keadaan pada tahun 2020, Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Interim seperti mana Baginda melantik Tun Dr Mahathir ke jawatan Perdana Menteri Interim setelah Tun meletak jawatan.

  • Setelah menerima peletakan jawatan Perdana Menteri ke-8, Baginda Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Caretaker sehingga Pedana Menteri baharu dilantik.
  • Manakala dalam krisis politik 2020, yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Baginda Agong.

Persoalannya, apakah terdapat perbezaan di antara jawatan PM Caretaker dan jawatan PM Interim atau apakah kedua-duanya adalah sinonim?

Sebenarnya, walaupun kedua-dua jawatan itu membawa maksud jawatan PM untuk tempoh waktu yang ‘sementara’, tetapi dari segi peristilahan dan perundangan, Perdana Menteri Caretaker dan Perdana Menteri Interim tidak membawa maksud yang sama.

PM Caretaker

Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkan istilan caretaker dalam konteks ini kepada sementara. Contohnya, caretaker government diterjemahkan kepada kerajaan sementara.

PM Caretaker juga disebut sebagai Perdana Menteri Sementara. Kuasa PM Caretaker adalah terhad. Perdana Menteri Caretaker tidak diberi kuasa eksekutif sebagaimana seorang Perdana Menteri lantikan biasa.

Contohnya setelah Parlimen dibubarkan, Perdana Menteri sedia ada akan menjadi PM Caretaker sehinggalah PM baharu dilantik setelah Pilihan Raya Umum diadakan. Dalam kata mudah, penyandang jawatan Perdana Menteri berada di kerusi Perdana Menteri bagi mengisi rumpang yang wujud sehinggalah pengganti beliau dilantik.

Dalam tempoh ini, beliau tidak lagi mempunyai kuasa eksekutif Perdana Menteri sebagaimana sebelumnya.

Perdana Menteri Interim

Perdana Menteri Interim pula, walaupun juga bersifat sementara; namun PM Interim mempunyai kuasa eksekutif yang sama sebagaimana seorang Perdana Menteri lantikan biasa. 

Dalam sejarah negara, lantikan Perdana Menteri Interim pertama kali berlaku hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi tujuan mengawal keadaan negara ketika krisis politik serius pada Februari 2020.

Yang jelas, Perdana Menteri Interim mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana Perdana Menteri biasa, manakala Perdana Menteri Caretaker pula hanya diberi kuasa terhad.

Seperti yang kita ketahui, istilah Perdana Menteri Caretaker dan Perdana Menteri Interim tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Interim

Istilah kerajaan interim juga tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut pakar perlembagaan Datuk Shamrahayu Abd. Aziz, apa yang ada dalam Perlembagaan ialah, sekiranya sesebuah kerajaan ditubuhkan oleh kerana gagal atau jatuhnya sebuah kerajaan, tetapi Parlimen tidak dibubarkan, maka ia adalah satu kerajaan seperti mana juga kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya (kerajaan sementara.)

Mengulas mengenai fungsi kerajaan Interim, beliau merujuk kepada definisi istilah interim menurut Kamus Dewan. Berdasarkan hal itu, beliau berpendapat kerajaan interim mungkin mempunyai tugas untuk mengembalikan keadaan kucar kacir dan tidak selamat kepada keadaan normal.

Semua MP Diarah Calonkan PM Secara Bertulis

Semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya membuat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Menurut laporan Malaysiakini, ahli-ahli Parlimen mempunyai masa sehingga pukul empat petang esok untuk mengemukakan akuan secara bertulis. Surat itu mesti disahkan sebagai benar.

Arahan itu telah dikeluarkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kepada semua anggota parlimen pagi ini.

Muhyiddin Tidak Tolak Kemungkinan Kembali Jadi PM

Meski telah meletak jawatan sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin masih jauh dari merancang persaraan politiknya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga tidak sepenuhnya pasrah dengan nasibnya, malah tidak menolak kemungkinan dia akan kembali sebagai perdana menteri.

Bercakap kepada editor media arus perdana setelah mengundurkan diri semalam, Muhyiddin ditanya mengenai kemungkinan dilantik semula sebagai perdana menteri.

Well, let’s see. Sepatutnya tidak berlaku macam ini kan.

“(Tapi) saya percaya, sebelum saya berhenti ini, saya lah perdana menteri waktu itu yang mempunyai ‘majoriti’ (sokongan undi yang terbesar, meski tidak meraih majoriti),” katanya.

Muhyiddin berkata ahli parlimen lain juga mendakwa mereka memperoleh majoriti tetapi tidak pernah dapat membuktikannya.

Dia merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim tanpa menamakannya.

“Pernah juga (ada) satu ahli parlimen satu ketika itu dia pergi kata dia ada ‘convincing and formidable’ (majoriti yang kukuh dan meyakinkan), tapi kebelakangan ini tidak dengarlah.

“Kami ahli politik, ada maklumat sendiri. Tak ada sesiapa yang mempunyai sokongan tertinggi berbanding saya,” tambahnya.

Muhyiddin mendakwa “ramai rakyat Malaysia” yang ingin dia kekal sebagai perdana menteri, namun dia harus mematuhi demokrasi berparlimen.

“Ramai rakyat Malaysia meminta ‘Abah, tolong terus dan jangan berhenti, kami mencintaimu’. Ini sangat menyentuh. Saya harap saya dapat melakukannya tetapi di bawah demokrasi berparlimen, kedudukan perdana menteri adalah berdasarkan ketentuan Perlembagaan Persekutuan, “katanya.

“Bagaimana (seperti) saya telah sebutkan dalam ucapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, kalau ikut perasaaan saya, macam mana yang dihasratkan oleh ramai rakyat Malaysia minta supaya terus kekal. ‘abah jangan berhenti, kami sayang’. Sangat menyentuh hati.

“Saya harap saya dapat kekal, tapi di bawah sistem demokrasi berparlimen, lantikan seperti jawatan perdana menteri ini bersandarkan peruntukan dalam perlembagaan,” katanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seseorang perdana menteri mempunyai mesti mempunyai sokongan majoriti dari keseluruhan ahli parlimen. Seseorang ahli parlimen boleh meraih sokongan tertinggi, namu pada masa sama tidak mempunyai majoriti.

Muhyiddin berkata, kini terpulang kepada Yang Dipertuan Agong untuk mencari pemimpin yang mempunyai majoriti mengikut prosedur perlembagaan.-{Malaysiakini]

%d bloggers like this: