PH Takkan “Mempersulit” Undi Percaya Jika PM Pro-rakyat – Anwar

PH memberi jaminan tidak akan “mempersulitkan” undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika dia mengambil langkah demi kepentingan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi PH Anwar Ibrahim setelah pertemuan dengan Ismail Sabri.

Pertemuan itu turut disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program-program (yang dibuat) pro kepada rakyat, kita tak akan persulitkan (undi percaya),” katanya kepada pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Walaupun tidak menjelaskan secara lanjut, anwar berkata antara yang dibincangkan adalah program pro-rakyat yang memberi tumpuan kepada isu kemiskinan dan pekerjaan.

Dia menyifatkan pertemuan itu sebagai “permulaan yang baik” dan pertemuan peringkat jawatankuasa akan disertai wakil-wakil pembangkang.

“(Mereka akan bincang tentang) apa yang boleh dipersetujui dan langkah yang harus diambil supaya keadaan, kedudukan perdana menteri dan negara lebih terkawal dan aman politiknya,” katanya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar perdana menteri yang akan dilantik untuk turut melibatkan kerjasama pembangkang.

Anwar berkata lagi, pertemuan hari ini dibuat susulan titah tersebut.

Selain inisiatif pro-rakyat, Anwar berkata Lim membangkitkan isu ekonomi termasuk moratorium pinjaman manakala Mohamad menyentuh soal kesan wabak Covid-19.

Namun anwar berkata isu penyertaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara – yang disebut Ismail sebelum ini – tidak dibincangkan.

PH setakat ini belum membuat keputusan untuk menyertainya.

Menurut Anwar lagi, soal jawatan kabinet juga tidak dibincangkan dan memang pendirian PH untuk tidak menggesanya, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah wabak dan ekonomi.

“Saya juga ucap terima kasih. Ismail wakili Umno dan bincang dengan Anwar dan DAP.

“Saya gurau dengan dia (pendirian Umno) ‘no Anwar, no DAP’ nampaknya dah berubah,” katanya lagi.

Pendirian tersebut ditetapkan ketika perhimpunan agung Umno dan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Ia dilihat sebagai halangan utama bagi Anwar dalam mendapatkan sokongan kem presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam usahanya mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri. -{Malaysiakini]

Jangan Persoal Kuasa Prerogatif Agong

Perdana Menteri ke-9 sudah dilantik. Ada yang gembira, ada yang kecewa; ada yang menyokong dan ada pula yang membantah.

Belum pun barisan kabinet baharu diumumkan, suasana politik sudah mula kembali panas:

  • Ada yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut secara umum
  • Ada yang mempertikaikan mengapa undi percaya masih perlu dijalankan
  • Ada yang mempertikaikan kuasa Agong dalam melantik Perdana Menteri

Kita mesti melihat kepada Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa:

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah mengatasi politik. Baginda tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap negara.

Jelasnya, kita dapat melihat Yang di-Pertuan Agong tegas menjalankan tugas Baginda sebagai Ketua Utama Negara dengan adil dan berlandaskan undang-undang negara.

Dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Baginda Agong menzahirkan bahawa:

Sesiapapun juga dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Untuk memilih Perdana Menteri ke-9, Baginda telah menitahkan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan menyatakan seorang calon yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli dewan rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Jelas, Baginda telah menggunakan kuasa budi bicara Baginda dengan penuh tertib dan bertanggungjawab.

Buktinya, dalam melaksanakan kuasa budi bicara, Baginda bertindak meraikan konsep demokrasi yang diamalkan dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Demi meraikan konsep demokrasi jugalah, Baginda telah menitahkan Perdana Menteri setelah dilantik, hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan Media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – 18 Ogos 2021

Kini ada yang mempersoalkan apakah perlu untuk diadakan undi percaya bagi mengesahkan keabsahan seorang Perdana Menteri sedangkan hal ini tidak disebut di dalam Perlembagaan?

Dalam hal undi percaya ini, saya melihat Baginda Agong:

  • Berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan
  • Meraikan konsep demokrasi
  • Bersikap saksama kepada semua pihak termasuk pihak yang kalah
  • Tidak mahu berbangkit pertikaian tentang soal keabsahan Perdana Menteri

Sebenarnya undi percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik bukan hasil daripada Pilihan Raya Umum, bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik negara.

  • Pada tahun 1976, Allahyarham Tun Hussein Onn telah menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia. Usul undi percaya terhadap Tun Hussein dibuat beberapa hari berikutnya.
  • Pada tahun 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menggantikan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan secara tiba-tiba. Usul undi percaya terhadap Tun Abdullah kemudiannya dibentang di Parlimen.

Demi integriti dan keadilan kepada semua pihak, pemimpin politik perlu akur kepada titah Baginda Agong dalam usaha menyelesaikan krisis ini agar pisang tidak berbuah dua kali.

Setelah negara bertukar Perdana Menteri sebanyak 2 kali dalam masa 18 bulan, Baginda Agong pasti mencari jalan agar perkara yang sama tidak berulang.

Di dalam dunia ini, tiada sesiapa yang akan berpuas hati sepenuhnya atas setiap keputusan atau pemilihan yang dibuat secara undian. Namun itulah dasar demokrasi. Suara majoriti yang akan menang.

Yang menang pula mestilah adil dan mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama sebelum bertanding.

Semoga kita semua khasnya pemimpin-pemimpin politik boleh berjiwa besar dan mengambil iktibar daripada titah Baginda bahawa yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.

Bersikap adillah sesama kita.

Tidak semua yang berlaku di dunia ini adalah manis bagi kita. Ada yang pahit untuk ditelan dan ada yang terlalu sukar untuk ditempuhi.

PM Berjumpa Dengan Pemimpin PH

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengundang pemimpin parti Pakatan Harapan ke Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya petang ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, perjumpaan pada jam 2 petang ini akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri.

“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tiada kerajaan campuran akan dibentuk dengan parti-parti pembangkang.

Namun, kata perdana menteri, kerjasama dengan pembangkang hanya melibatkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui platform Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

PH belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, tetapi Lim membayangkan bahawa DAP terbuka untuk mempertimbangkannya jika pembangkang tidak dijadikan “pak turut”. -{Malaysiakini]

%d bloggers like this: