Baca versi Jawi di sini.
Krisis politik negara kini semakin hangat. Apatah lagi setelah berbagai-bagai perkara yang mengejutkan telah berlaku pada hari semalam. Sebagai seorang pemerhati landskap politik semasa, seribu satu persoalan bermain di minda saya, khasnya hal-hal yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan utama yang kini hangat dibicarakan rakyat adalah, apakah benar bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam semua hal berkaitan negara?
Semalam saya berpeluang mengikuti wawancara MalaysiaGazette bersama pakar undang-undang, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang memberi penjelasan cukup bermanfaat mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Untuk memahami hal ini, kita mesti memahami struktur pentadbiran negara yang terdiri daripada tiga cabang kuasa utama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:
- Badan Eksekutif
- Badan Perundangan
- Badan Kehakiman
Struktur ini dikenali sebagai pemisahan kuasa atau ‘separation of power‘ yang penting bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang di dalam pemerintahan sesebuah negara.
Perlu difahami bahawa punca kuasa bagi kesemua cabang di atas berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
Badan Eksekutif
Perkara ini adalah berkenaan kuasa eksekutif Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pada dasarnya, kita perlulah melihat kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan (Kuasa eksekutif Persekutuan), iaitu permulaan Bab 3 Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan (Badan Eksekutif).
Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
Ini bermakna, dalam sistem pemerintahan tanah air kita Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif.
Kita juga perlu melihat kepada peruntukan seterusnya, iaitu Perkara 40 (Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat) yang sedang hangat dibincangkan.
Fasal (1) di dalam Perkara 40 menyatakan seperti berikut:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
Perkara 40(1) menjelaskan bahawa terdapat dua cara Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan tugas eksekutif Baginda, iaitu mengikuti nasihat ataupun berdasarkan budi bicara Baginda.
Fasal (2) Perkara 40 pula menjelaskan seperti berikut:
Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,
dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.
Perkara ini sekali lagi menjelaskan bahawa terdapat pengecualian terhadap kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, dalam apa-apa bidang yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Fasal (3) Perkara 40 pula mengatakan:
Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—
(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.
Peruntukan ini dengan jelas menunjukkan bahawa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding nasihat daripada mana-mana individu lain, dan bahawa Baginda tidak berkewajipan menurut nasihat satu-satu pihak atas perkara yang boleh dijalankan menurut budi bicara Baginda.
Perkara 40(3) juga memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak hanya perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri walaupun dalam bidang di luar budi bicara Baginda, namun boleh juga mengikut nasihat pihak selain Jemaah Menteri.
Badan Perundangan
Seterusnya, kita perlu juga melihat kepada badan perundangan ataupun badan legislatif, yang dijelaskan di dalam Bab 4 Bahagian IV Perlembagaan (Badan Perundangan Persekutuan).
Perkara pertama di dalam Bab tersebut ialah Perkara 44 yang menyebut:
Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen merupakan kuasa perundangan Persekutuan, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Parlimen itu, bersama-sama dengan dua majlis di bawah Baginda iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dengan ini, maka adalah jelas bahawa di dalam badan perundangan, Yang di-Pertuan Agong ialah kuasa utama yang tidak tertakluk kepada nasihat mana-mana pihak.
Malah, Baginda adalah lebih berkuasa berbanding kedua-dua Majlis Parlimen seperti yang termaktub di dalam Perkara 66.
Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Memandangkan perkara yang dibincangkan ini tidak berkaitan secara langsung dengan Badan Kehakiman, saya akan melangkaui penjelasan mengenai badan tersebut.
Namun, adalah penting untuk difahami bahawa Badan Kehakiman juga terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong, seperti termaktub di dalam Perkara 121(1).
Peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam proklamasi darurat
Pelaksanaan darurat adalah terletak di bawah bidang kuasa perundangan. Seperti yang telah kita fahami, bidang kuasa perundangan adalah terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen.
Perkara 150 mengenai proklamasi darurat menjelaskan dengan terperinci bahawa terdapat dua cara suatu undang-undang boleh digubal, iaitu melalui Rang Undang-undang seperti biasa, ataupun Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan jika didapati Baginda perlu.
Adalah penting untuk difahami bahawa Jemaah menteri langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa di dalam pelaksanaan Ordinan Darurat, apatah lagi dalam membatalkannya, yang perlu dilakukan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai pihak yang memasyhurkan Ordinan tersebut.
Memahami perkara ini, adalah jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan pemisahan kuasa demi memastikan satu sistem pemerintahan yang baik (‘good governance‘).
Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong di dalam hal-hal yang dibenarkan boleh bertindak mengikut budi bicara diri Baginda.
Sistem pemisahan kuasa ini adalah penting bagi proses semak dan imbang di dalam pemerintahan.
Kekeliruan mengenai sistem pemerintahan negara
Kita harus faham bahawa kerangka Perlembagaan kita bukan berasaskan prinsip ‘general will‘ (kehendak umum) dan juga bukan kedaulatan rakyat seperti sistem yang diamalkan di United Kingdom.
Dato’ Wan Ahmad Fauzi turut menjelaskan bahawa sistem kenegaraan kita berpaksi kepada kedaulatan Raja-raja dalam sistem Perlembagaan yang memartabatkan ketinggian serta keluhuran Perlembagaan.
Sistem demokrasi disuntik ke dalam kerangka undang-undang negara kita dengan mengambil beberapa bahagian daripada sistem Westminster; namun tidak secara mutlak.
Maka, apakah seterusnya?
Ketika disoal moderator pada akhir wacana semalam, Dato’ Wan Ahmad Fauzi turut memberi pendapat beliau mengenai situasi kini dari segi aspek politik.
Beliau percaya bahawa adalah wajar bagi kerajaan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen. Tambahan, kerajaan yakin mereka mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Undi percaya adalah penting bagi menafikan tohmahan serta fitnah bahawa kerajaan telah hilang sokongan di Dewan Rakyat.
Like this:
Like Loading...