Barisan Kabinet Baharu Tidak Akan Diumum Hari Ini

Tiada sebarang pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pembentukan barisan Kabinet baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu pemakluman ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada media.

“Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama sejam 30 minit bermula pukul 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri. -{Kosmo! Digital]

Agong Berkenan Terima Senarai Anggota Kabinet Baharu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, hari ini.

Menurut Istana Negara, sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi.

“Seri Paduka berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara.

Sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah Kabinet hari ini. –{Utusan Digital]

PM Tiba di Istana Abdulaziz, Persembah Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Abdulaziz di sini, hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi yang membawa Perdana Menteri kesembilan itu dilihat memasuki pintu masuk utama Istana Abdul Aziz, kira-kira pukul 10.53 pagi.

Beliau diringi konvoi dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Sultan Pahang.

Difahamkan, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah bagi menyampaikan senarai cadangan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan.

Lawatan Ahli Parlimen Bera itu nyata mencuri tumpuan petugas media hari ini, berikutan ia adalah lawatan sulung beliau ke Pahang sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, 20 Ogos lalu.

Pada 23 Ogos lalu, Ismail Sabri  memaklumkan barisan Kabinetnya akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan senarai itu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu. –{Utusan Digital]

%d bloggers like this: