Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Muhyiddin Yassin.
Beliau menjadi menteri Umno yang kedua melepaskan jawatan dalam kerajaan susulan ketetapan partinya yang menarik balik sokongan kepada presiden Bersatu itu.
“Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita Umno, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana melantiknya sebagai menteri dalam kerajaan Persekutuan.
“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia.
“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi menteri Kabinet Persekutuan,”katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah mengumum meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli Selasa lalu.
Ia susulan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu memaklumkan keputusan MKT Umno menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin. -{Free Malaysia Today]
