Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, hari ini.
Menurut Istana Negara, sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi.
“Seri Paduka berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara.
Sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.
Ismail Sabri dijangka mengumumkan barisan jemaah Kabinet hari ini. –{Utusan Digital]