Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Raja-raja Melayu telah selesai bermesyuarat dalam Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu dijangka mengeluarkan suatu kenyataan rasmi mengenai perbincangan khas tersebut dalam masa terdekat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berangkat pulang meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 4.22 petang tadi, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 4.24.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berangkat pulang dari istana pada jam 4.26 petang, diikuti Sultan Perak, Sutan Nazrin Muizuddin Shah pada jam 4.28.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat pulang pada jam 4.30 sambil melambai ke arah petugas akhbar.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Terdahulu, enam Raja-raja Melayu telah ke Istana Negara bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah petang tadi. Perbincangan khas tersebut dipercayai berkenaan pemilihan Perdana Menteri ke-9, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

PM Tiba di Istana Negara Untuk Mengadap Agong

Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah pagi ini.

Bernama TV melaporkan kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki Pintu 1, Istana Negara pada pukul 10:53 pagi tadi.

Terdahulu, Peguam Negara Idrus Harun tiba di istana pada jam 9.30 pagi tadi.

Idrus merupakan salah seorang daripada pegawai kerajaan tertinggi yang hadir di pertemuan di kediaman Mahiaddin lewat malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Acryl Abdullah dan Ketua Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang turut dilihat memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

KPN tiba pada jam 9.20, dan diikuti Affendi pada jam 9.30 pagi.

Tujuan pertemuan mereka belum diketuahui lagi, namun ia berikutan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Kuasa Agong: Budi Bicara v. Nasihat

Baca versi Jawi di sini.

Krisis politik negara kini semakin hangat. Apatah lagi setelah berbagai-bagai perkara yang mengejutkan telah berlaku pada hari semalam. Sebagai seorang pemerhati landskap politik semasa, seribu satu persoalan bermain di minda saya, khasnya hal-hal yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan utama yang kini hangat dibicarakan rakyat adalah, apakah benar bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam semua hal berkaitan negara?

Semalam saya berpeluang mengikuti wawancara MalaysiaGazette bersama pakar undang-undang, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang memberi penjelasan cukup bermanfaat mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Untuk memahami hal ini, kita mesti memahami struktur pentadbiran negara yang terdiri daripada tiga cabang kuasa utama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:

  • Badan Eksekutif
  • Badan Perundangan
  • Badan Kehakiman

Struktur ini dikenali sebagai pemisahan kuasa atau ‘separation of power‘ yang penting bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang di dalam pemerintahan sesebuah negara.

Perlu difahami bahawa punca kuasa bagi kesemua cabang di atas berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Badan Eksekutif

Perkara ini adalah berkenaan kuasa eksekutif Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pada dasarnya, kita perlulah melihat kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan (Kuasa eksekutif Persekutuan), iaitu permulaan Bab 3 Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan (Badan Eksekutif).

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Ini bermakna, dalam sistem pemerintahan tanah air kita Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif.

Kita juga perlu melihat kepada peruntukan seterusnya, iaitu Perkara 40 (Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat) yang sedang hangat dibincangkan.

Fasal (1) di dalam Perkara 40 menyatakan seperti berikut:

Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Perkara 40(1) menjelaskan bahawa terdapat dua cara Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan tugas eksekutif Baginda, iaitu mengikuti nasihat ataupun berdasarkan budi bicara Baginda.

Fasal (2) Perkara 40 pula menjelaskan seperti berikut:

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Perkara ini sekali lagi menjelaskan bahawa terdapat pengecualian terhadap kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, dalam apa-apa bidang yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Fasal (3) Perkara 40 pula mengatakan:

Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—

(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.

Peruntukan ini dengan jelas menunjukkan bahawa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding nasihat daripada mana-mana individu lain, dan bahawa Baginda tidak berkewajipan menurut nasihat satu-satu pihak atas perkara yang boleh dijalankan menurut budi bicara Baginda.

Perkara 40(3) juga memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak hanya perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri walaupun dalam bidang di luar budi bicara Baginda, namun boleh juga mengikut nasihat pihak selain Jemaah Menteri.

Badan Perundangan

Seterusnya, kita perlu juga melihat kepada badan perundangan ataupun badan legislatif, yang dijelaskan di dalam Bab 4 Bahagian IV Perlembagaan (Badan Perundangan Persekutuan).

Perkara pertama di dalam Bab tersebut ialah Perkara 44 yang menyebut:

Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen merupakan kuasa perundangan Persekutuan, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Parlimen itu, bersama-sama dengan dua majlis di bawah Baginda iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dengan ini, maka adalah jelas bahawa di dalam badan perundangan, Yang di-Pertuan Agong ialah kuasa utama yang tidak tertakluk kepada nasihat mana-mana pihak.

Malah, Baginda adalah lebih berkuasa berbanding kedua-dua Majlis Parlimen seperti yang termaktub di dalam Perkara 66.

Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Memandangkan perkara yang dibincangkan ini tidak berkaitan secara langsung dengan Badan Kehakiman, saya akan melangkaui penjelasan mengenai badan tersebut.

Namun, adalah penting untuk difahami bahawa Badan Kehakiman juga terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong, seperti termaktub di dalam Perkara 121(1).

Peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam proklamasi darurat

Pelaksanaan darurat adalah terletak di bawah bidang kuasa perundangan. Seperti yang telah kita fahami, bidang kuasa perundangan adalah terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen.

Perkara 150 mengenai proklamasi darurat menjelaskan dengan terperinci bahawa terdapat dua cara suatu undang-undang boleh digubal, iaitu melalui Rang Undang-undang seperti biasa, ataupun Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan jika didapati Baginda perlu.

Adalah penting untuk difahami bahawa Jemaah menteri langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa di dalam pelaksanaan Ordinan Darurat, apatah lagi dalam membatalkannya, yang perlu dilakukan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai pihak yang memasyhurkan Ordinan tersebut.

Memahami perkara ini, adalah jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan pemisahan kuasa demi memastikan satu sistem pemerintahan yang baik (‘good governance‘).

Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong di dalam hal-hal yang dibenarkan boleh bertindak mengikut budi bicara diri Baginda.

Sistem pemisahan kuasa ini adalah penting bagi proses semak dan imbang di dalam pemerintahan.

Kekeliruan mengenai sistem pemerintahan negara

Kita harus faham bahawa kerangka Perlembagaan kita bukan berasaskan prinsip ‘general will (kehendak umum) dan juga bukan kedaulatan rakyat seperti sistem yang diamalkan di United Kingdom.

Dato’ Wan Ahmad Fauzi turut menjelaskan bahawa sistem kenegaraan kita berpaksi kepada kedaulatan Raja-raja dalam sistem Perlembagaan yang memartabatkan ketinggian serta keluhuran Perlembagaan.

Sistem demokrasi disuntik ke dalam kerangka undang-undang negara kita dengan mengambil beberapa bahagian daripada sistem Westminster; namun tidak secara mutlak.

Maka, apakah seterusnya?

Ketika disoal moderator pada akhir wacana semalam, Dato’ Wan Ahmad Fauzi turut memberi pendapat beliau mengenai situasi kini dari segi aspek politik.

Beliau percaya bahawa adalah wajar bagi kerajaan untuk mengadakan undi percaya di Parlimen. Tambahan, kerajaan yakin mereka mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Undi percaya adalah penting bagi menafikan tohmahan serta fitnah bahawa kerajaan telah hilang sokongan di Dewan Rakyat.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri Berkenaan Titah Yang di-Pertuan Agong

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan satu kenyataan susulan kenyataan Istana Negara mengenai pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang dilakukan tanpa perkenan Baginda.

Kenyataan tersebut adalah seperti di bawah:

Adakah Undi Percaya Bakal Diadakan di Dewan Rakyat Petang Ini?

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara tengah hari tadi menggemparkan Parlimen yang sedang bersidang saat itu. Ahli-ahli Dewan Rakyat kelihatan terpinga-pinga serta terkejut, sebelum mendesak persidangan ditangguhkan buat sementara waktu.

Secara ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong amat dukacita akan pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan persekutuan yang dilakukan tanpa perkenan Baginda terdahulu.

Perkara 150(2B) dan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

Ini merupakan kes pertama sebegini yang pernah berlaku dalam sejarah negara, maka sudah tentu ia menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan serta untuk dikaji.

Tedahulu, pada 26 Julai baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah membuat kenyaataan bahawa Ordinan-ordinan Darurat telahpun dibatalkan sejak 21 Julai dahulu.

Namun, sehingga kenyataan Istana Negara dikeluarkan, tiada kenyataan rasmi atau pengesahan daripada pihak kerajaan persektuan berkenaan hal ini.

Persoalan terkini adalah, adakah Ordinan Darurat benar-benar telah dibatalkan?

Dari segi teknikalnya, ia hanya boleh dibatalkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka tiada pihak selain Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri boleh membatalkannya.

Namun begitu, Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun telah bersetuju untuk membatalkan Ordinan Darurat, walaupun tanpa restu Agong.

Menurut Yang di-Pertuan Agong, kerajaan juga telah melakukan satu tindakan tergesa-gesa yang mengelirukan Dewan Rakyat, dengan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen.

Hal itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 32 Perlembagaan.

Menurut kenyataan Istana Negara tersebut, Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Baginda.

Persidangan Dewan Rakyat telah ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini, dan selepas itu ditempohkan sehingga jam 5 petang pula. Keputusan seterusnya mungkin akan dibuat pada sesi petang Dewan Rakyat, ataupun pada sesi-sesi seterusnya pada minggu hadapan.

Sila baca: Parlimen Ditempoh Kali ke-3 Akibat Kes Covid-19 Pula

Terdapat kemungkinan besar Ahli-ahli Dewan Rakyat akan mendesak suatu undi kepercayaan diadakan di Parlimen, seperti mana yang telah pun didesak sejak lama sebelum bermulanya persidangan.

Sebagai seorang pemerhati landskap politik semasa, saya tertunggu-tunggu apa tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun pada petang ini.

  • Adakah beliau akan menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama?
  • Adakah beliau akan meneruskan persidangan mengikut aturan mesyuarat seperti tiada apa-apa yang berlaku? atau;
  • Adakah beliau akan mengadakan undian kepercayaan di Parlimen?

Istana: Ordinan Darurat Dibatal Tanpa Perkenan Agong

Laporan terkini: Parlimen Ditempoh Kali ke-3 Akibat Kes Covid-19 Pula

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan persekutuan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda.

Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah turut dukacita kerana apa yang telah dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan Tan Sri Idrus Harun.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, suasana Parlimen yang sedang bersidang menjadi kecoh apabila hal tersebut dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan menangguhkan Dewan Rakyat selama 15 minit, dan kemudiannya menempohkannya sehingga jam 1 petang.

Sila baca: TERKINI: Ekoran Kenyataan Istana, Dewan Ditempoh Hingga Jam 1

Persidangan akan diteruskan pada jam 2.30 petang ini.

SAH – Tengku Razaleigh Hamzah Mengadap Tuanku YDPA Sebentar Tadi

Baca versi Jawi di sini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebentar tadi.

Beliau dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 2.42 petang tadi.

Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan rasmi mengenai perjumpaan tersebut.

Sila baca: Di Sebalik Kemelut Politik, Ramai Gesa Ku Li Dilantik Jadi PM

Kereta milik Tengku Razaleigh Hamzah dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 2.42 petang tadi. Gambar: Afiq Hambali/Malaysia Gazette

Terdahulu, terdapat khabar angin bahawa Tengku Razaleigh dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Ku Li Dijangka Mengadap Agong Petang Ini: Akhbar

Istana Negara: Dakwaan Anwar Tidak Kukuh, Senarai Nama Tidak Dikemukakan

Istana Negara hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perkembangan terkini berkenaan situasi politik terkini, terutamanya berkenaan Anwar Ibrahim yang mengadap Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan beliau bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Baca kenyataan penuh di bawah.

Relevankah SD Baharu Setelah Titah Tuanku?

[Berita Harian}- Sebarang dokumen sokongan akuan bersumpah (SD) yang dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan tidak boleh mengubah keputusan asal baginda.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata dalam perkiraan ini, baginda sudah mengambil masa yang sesuai untuk membuat keputusan.

“SD baharu tidak boleh memansuhkan keputusan Tuanku. Sekiranya mereka tidak puas hati buat undi tak percaya selepas parlimen bersidang,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau ditanya mengenai keputusan PH malam ini yang mendakwa mereka sudah berjaya memperoleh SD daripada 114 Ahli Parlimen menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada jam 4.29 petang tadi, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dipetik sebagai berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok.

Ditanya sama ada baginda masih ada ruang untuk mempertimbang SD 114 Ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir sebelum majlis angkat sumpah esok, Shamrahayu berkata, ia terserah kepada budi bicara baginda.

“Tapi (dalam keadaan ini) Tuanku sudah putuskan. Terserah kepada keputusan yang telah dibuat Tuanku,” katanya.

Sila rujuk: 114 SD Tidak Menjejas Status Tan Sri Muhyiddin – Rais Yatim (Video)

%d bloggers like this: