Ateisme Mencabar Kedaulatan Negara

15 08 2017

Sejak beberapa hari yang lalu, beberapa portal berita pro-pembangkang giat menyiarkan laporan yang bersifat tidak benar dan prujudis tentang isu golongan ateis yang asalnya beragama Islam di Malaysia ekoran pendedahan tentang kumpulan Atheist Republic.

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat yang berpangkalan di Washington, Prof. Zachary Abuza mengkritik reaksi kerajaan Malaysia terhadap kumpulan ini.

Menurut FMT, Abuza berkata Malaysia bukan lagi sebuah negara yang mengamalkan kesederhanaan seperti sebelum ini.

Ini adalah satu fitnah jahat kerana fahaman ateisme adalah bercanggah dengan undang-undang tertinggi Negara; lebih-lebih lagi untuk bekas umat Islam.

Jelaslah, terdapat usaha terancang untuk menghalalkan ateisme dan murtad.

Menggunakan hujah liberal dari kumpulan yang sememangnya tidak faham atau ‘yang sengaja buat-buat tidak faham’, porta-porta berita pro-pembangkang dilihat cuba menimbulkan persepsi perundangan yang salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk menjustifikasikan desakan mereka supaya orang Islam bebas berfahaman ateis.

FMT juga melaporkan kata-kata Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai murtad dan “ia tidak mengharamkan murtad dan tidak membenarkannya”, yang memberi persepsi seolah-olah murtad tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan maka tidak boleh ada peruntukan undang-undang yang sah untuk mengawal gejala songsang ini.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Ini membuktikan bahawa asas kenegaraan kita ialah Islam sebagai agama bagi negara ini tetapi agama-agama lain boleh diamalkan selagi amalan mereka tidak menjejas kesucian Islam dan tidak menimbulkan apa-apa ancaman atau apa-apa kemungkinan ancaman dan kemungkinan yang boleh menjadi ancaman terhadap agama Islam. 

Perkara ini telah ditegaskan oleh Tan Sri Apandi Ali  yang ketika itu Hakim Mahkamah Persekutuan, di dalam kes Mahkamah Rayuan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v Kementerian Dalam Negeri & Kerajaan Malaysia:

[33] In short, Article 3(1) was a by-product of the social contract entered into by our founding fathers who collectively produced the Federal Constitution, which is recognized as the Supreme Law of the country. It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menegaskan:

Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang Negeri dan Persekutuan digubal untuk menyekat penyebaran perkara yang boleh memurtadkan umat Islam termasuk penyebaran fahaman ateis.

Di dalam penghakiman kes Mahkamah Persekutuan ZI Publications Sdn Bhd dan lain-lain v Kerajaan Negeri Selangor, Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu, Tan Sri Md Raus Sharif menegaskan:

Federal Constitution allows the Legislature of a State to legislate and enact offences against the precepts of Islam. 

Malah “Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan” di dalam Perkara 10(1) adalah tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), dimana:

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaatdemi kepentingan keselamatan Persekutuan atau manamana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negaralain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Hujah ni diperkuatkan lagi oleh Perkara 37 yang mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong untuk bersumpah di atas nama Allah S.W.T. untuk memelihara pada setiap masa agama Islam, seperti apa yang tertulis di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, sebelum memulakan tugas Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Maka, negara mempunyai ‘constitutional duty’ untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam daripada apa-apa ancaman, kemungkinan ancaman dan apa-apa yang akan memungkinkan berlakunya ancaman terhadap agama Islam, termasuk ancaman pemurtadan termasuk fahaman ateisme.

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM yang merupakan seorang pakar Perlembagaan, Dato’ Prof. Mahamad Naser Disa, golongan ateis tidak mempunyai hak Perlembagaan (constitutional rights) di negara ini kerana Perlembagaan negara hanya mengiktiraf hak rakyat yang beragama seperti tertulis di dalam Perkara 3 dan 11 dan Prinsip pertama Rukun Negara iaitu “Percaya Kepada Tuhan”.

Huraian prinsip pertama Rukun Negara kepada kedaulatan negara amat terang dan jelas:

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat. – Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Negara (Jabatan Perdana Menteri) 

Namun terdapat pendapat songsang dan salah yang menafsirkan hak beragama seperti yang di jelaskan di dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai termasuk hak untuk tidak beragama dan kepercayaan kepada Tuhan juga merangkumi tidak percaya kepada Tuhan.

Tafsiran songsang itu tidak benar kerana asas pengertian sesuatu undang-undang itu mestilah, pada mulanya, dicari dalam bahasa undang-undang itu ditulis, dan jika bahasanya terang dan jelas, maka kewajiban tafsiran tidak timbul dan fungsi tunggal mahkamah adalah untuk menguatkuasakannya mengikut istilahnya.

The 1917 American case of Caminetti v. United States had held that “it is elementary that the meaning of a statute must, in the first instance, be sought in the language in which the act is framed, and if that is plain… the sole function of the courts is to enforce it according to its terms.” And if a statute’s language is plain and clear, the court further warned that “the duty of interpretation does not arise, and the rules which are to aid doubtful meanings need no discussion,”

Jelasnya tafsiran undang-undang tidak boleh dibuat dengan sesuka hati, apalagi dengan menambah perkataan yang tidak ada tertulis di dalam undang-undang itu, dalam hal ini, di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah nilai dan fahaman songsang golongan liberal yang mahu merosakkan tatasusila dan tamadun rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada undang-undang agama yang akhirnya mennghakis sifat ketamadunan masyarakat kita.

Menurut seorang lagi pakar Perlembagaan Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, hak asasi hanya boleh menjadi hak apabila ianya tidak melanggar undang-undang, maka mereka yang berfahaman ateis tiada hak dan tidak boleh menuntut hak mereka kerana Perlembagaan Persekutuan hanya mengiktiraf rakyat yang beragama.

Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat, maka jelaslah fahaman ateisme yang tidak percaya kewujudan Tuhan mencabar dan menjejaskan kedaulatan negara.

Advertisements




Menjawab “Jika Islam Boleh, Kenapa Kristian Tidak Boleh”

17 07 2017

Saya terkedu membaca sebuah artikel di portal berita Menara.my yang bertajuk, “Jika Islam Boleh, Kenapa Kistian Tidak Boleh – Pensyarah Universiti” di  mana “seorang pensyarah universiti tempatan pada Sabtu lalu mempersoalkan jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang-orang Kristian, kenapakah orang Kristian tidak boleh berbuat perkara yang sama?”

Menurut Menara.my, persoalan tersebut telah diutarakan oleh Helen Ting yang merupakan  salah seorang felo utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia pada satu sesi soal jawab pada forum yang bertajuk “Deceitful? Distracting? Or Dedicated? Evangelicals and Current Controversies in Malaysia” anjuran Kairos Dialogue Network.

“If you think that it is okay to propagate your faith among Christians then, why is it that it is so wrong for Christians to do like that?”

~Helen Ting (Dipetik daripada Menara.my)

Orang bukan Islam dilarang berdakyah kepada orang Islam berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan; Ting hanya membuatkan dirinya dilihat tidak cerdik apabila buat-buat tidak tahu atau memang tidak tahu tentang perkara asas ini.

Halangan ini diperkukuhkan lagi oleh Seksyen 298A Akta Kanun Keseksaan yang melarang perkara yang boleh menyebabkan perpecahan di antara kaum dan agama.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menegaskan:

Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan WilayahWilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Menara.my seterusnya melaporkan bahawa felo utama IKMAS itu juga mempersoalkan “kalau Muslim rasa risau dengan kata-kata yang mahu mengadakan ‘Christian State’, bagaimana pula dengan perasaan bukan Islam yang mendengar ahli-ahli politik membincangkan tentang negara Islam dan sebagainya?”

Soalan ini tidak masuk akal dan amat dangkal sekali kerana  sebagai felo utama IKMAS, Helen Ting sepatutnya tidak keliru tentang ideologi negara.

Malaysia ialah sebuah negara Islam, dan negeri-negeri  yang membentuk Malaysia ini dahulunya adalah merupakan negara-negara kerajaan Melayu Islam yang berdaulat di bawah pemerintahan Raja-Raja Melayu masing-masing.

Jadi adalah tidak logik apabila Ting, sebagai seorang ahli akademik mahu menyamakan kebimbangan umat Islam bila negara Islam Malaysia mahu ditukarkan kepada Christian State yang tentunya mengancam kedaulatan negara dan mencabar kuasa Yang Di Pertuan Agong, dengan perasaan orang bukan Islam yang tidak suka bila disebut negara Islam Malaysia; walhal, Malaysia sememangnya sebuah negara Islam sejak dahulu lagi.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mengatakan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Di dalam penghakiman kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan pada ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menegaskan bahawa tujuan di masukkan kata-kata “dengan aman dan damai” ke dalam Perkara 3(1) adalah untuk melindungi kesucian Isalm sebagai agama negara dan juga untuk melindungi Islam daripada apa-apa ancaman yang dihadapi atau apa-apa kemungkinan dan kemungkinan ancaman terhadap agama Islam.

“It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam.”

Oleh itu amat jelas bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam, di mana agama Islam dilindungi oleh Perlembagaan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan selagi “aman dan damai” terhadap Islam dan tidak menimbulkan ancaman terhadap Islam iaitu agama negara.

Gesaan untuk membenarkan orang Kristian berdakyah kepada umat Islam dan niat untuk menukar Malaysia kepada sebuah Christian State bukan sahaja boleh menimbulkan ketegangan di antara agama, malah mempunyai kecenderungan mencabar dan menghalang Yang Di Pertuan Agong (sebagai Ketua Tertinggi Islam negara) daripada kedaulatan negara dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen-Seksyen berikut Akta Kanun Keseksaan Malaysia: 

  • Seksyen 121B  Akta Kanun Keseksaan
  • Seksyen 121C  Akta Kanun Keseksaan
  • Seksyen 121D  Akta Kanun Keseksaan
  • Seksyen 298A Akta Kanun Keseksaan

(Untuk keterangan lanjut tentang Seksyen-Seksyen 121B, 121C, 121D dan 298A, sila rujuk “Menjawab Dr. Ariffin Omar: Apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian city?”:

Kenyataan seterusnya oleh Ting yang dipetik Menara.my jelas menggambarkan sikap felo utama IKMAS itu yang gagal berpijak di bumi yang nyata dan telah mencabar Perlembagaan Persekutuan dengan merendahkan kedudukan agama Islam, seolah-olah kedudukan agama Islam di Tanah Air kita ini hanyalah setaraf dengan kedudukan agama-agama lain.

“For me, I feel this country is ours, everybody’s. There should not be a preference towards one religion.”

~Helen Ting (Dipetik daripada Menara.my)

Di dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman bin Ishak & Ors v Fatimah Sihi & Ors[2000]  1 MLJ 393, di Mahkamah Tinggi, hakim ketika itu, Tan Sri Mohd Noor Abdullah menegaskan:

Pada pendapat saya “Islam ialah ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai” bermakna Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah ugama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan manamana ugama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain.

Tingginya kedudukan Islam sebagai agama negara adalah jelas kerana hanya nama Islam  sahaja yang disebut, malah berkali-kali di dalam Perlembagaan,

Tiada nama agama-agama lain yang disebut di dalam Perlembagaan, agama-agama lain hanyalah dirujuk sebagai ‘agama-agama lain’.

Persekutuan Malaysia ini adalah sebuah negara Islam dan rakyat Malaysia yang taat dan sayangkan negaranya mesti patuh kepada undang-undang negara yang selama ini telah menyatukan rakyat Malaysia dan berjaya memelihara keamanan negara.

Seperti kata Aunty Prof. Dr Shamrahayu Abd Aziz, janganlah diruntuh rumah pusaka, yang saya rasa bermaksud, janganlah kita runtuhkan negara yang kita warisi ini kerana nantinya kita juga yang akan rugi dan menyesal; oleh itu kita mestilah memelihara dan menghargai keamanan negara yang telah kita warisi dari pengorbanan nenek moyang kita.

Helen Ting sebagai seorang pensyarah kanan universiti mestilah bersikap bertanggung jawab, bertindak dengan bijak dan apabila bercakap, mestilah berdasarkan fakta dan bukannya mengikut emosi dan persepsi.

Malangnya, terdapat ahli-ahli akademik yang bertindak memutar belitkan fakta untuk mencipta persepsi yang salah atau buruk terhadap suatu kebenaran demi mencapai tujuan tertentu.

 








%d bloggers like this: