MoF Kemuka Senarai Projek Rundingan Terus Zaman PH

Menteri Kewangan hari ini mengemukakan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan melalui proses rundingan terus (RT) semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, senarai itu didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan senarai itu terdapat 20 kementerian yang melaksanakan RT.

Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli paling banyak melaksanakan RT iaitu 13 diikuti Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (12), Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (9), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Kementerian Dalam Negeri, masing-masing 8.

Dari segi nilai terbanyak adalah Kementerian Pengangkutan berjumlah RM4.47 bilion meskipun hanya empat projek sahaja.

Projek-projek tersebut adalah seperti berikut:

Sila baca: Senarai 101 Projek Rundingan Terus

Tengku Zafrul sekali lagi memaklumkan perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

Jelasnya, RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat berikut:

a. Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara;
b. Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh;
c. Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;
d. Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara; atau
e. Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.

Katanya, proses itu melibatkan permohonan daripada kementerian-kementerian lain kepada Kementerian Kewangan.

Sebelum itu, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Tengku Zafrul mendedahkan mengenai RT yang dilakukan oleh kerajaan PH sehingga menjadi kontroversi. -{MalaysiaGazette]

(Video) 101 Projek Runding Terus Bernilai RM6.61 Bilion Dilulus K’jaan PH – Menteri

Parlimen kecoh apabila Menteri Kewangan Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa sepanjang 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebanyak 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Dato’ Seri Azmin Ali, yang juga menteri kerajaan PH ketika itu, bangun dan memaklumkan kepada dewan bahawa projek-projek bernilai RM6.61 bilion itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Kabinet.