Waktu Subuh di Selangor Tambah 8 Minit Mulai 29 Nov 2019

28 11 2019

(Berita Harian) – SHAH ALAM: Bermula esok, masuk waktu Subuh bagi seluruh negeri Selangor ditambah selama lapan minit berbanding takwim sedia ada.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan hasil kajian kecerahan langit pada waktu Subuh yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama penyelidik Universiti Malaya (UM).

Perubahan berkenaan disebabkan penukaran nilai kedudukan matahari bagi kiraan waktu Subuh daripada 20 darjah di bawah ufuk kepada 18 darjah.

“Perkara ini sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-116.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sudah memperkenankan perubahan waktu solat untuk dikuatkuasakan,” katanya.





Sultan Selangor: Zakat Hanya Untuk Orang Islam

5 11 2019

This slideshow requires JavaScript.

[Malaysiakini}- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa wang hasil kutipan zakat di negeri itu hanya akan diagihkan kepada orang Islam.

Titah itu disampaikan menerusi setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini, yang menurutnya susulan kenyataan “dua mufti dan seorang ahli politik” berkenaan agihan zakat kepada orang bukan Islam baru-baru ini.

“Berkaitan dengan isu ini, DYMM Sultan Selangor telah mendapat nasihat daripada Mufti Selangor (Mohd Tamyes Abd Wahid) bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya jika ia menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam, di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

“Sehubungan itu, DYMM Sultan Selangor menegaskan bahawa mengikut Islam, kutipan zakat hendaklah diagihkan kepda lapan golongan asnaf, termasuk fakir, miskin dan mu’allaf daripada kalangan umat Islam sahaja,” kata kenyataan itu.

Menurut laman Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, lima lagi golongan asnaf ialah amil, Al-Riqab, Al-Gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Pada 1 November lalu, Perlis meluluskan fatwa membolehkan zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf muallafah qulubuhum iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh pemerintah.

Sebelum itu, pada 30 Oktober, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga mengusulkan agar institusi zakat memperluas bantuan kepada orang bukan Islam.

Ia mengundang reaksi tiga mufti iaitu Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman dan Mufti Selangor yang berkata zakat hanya boleh diberikan kepada orang Islam sahaja, manakala Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata hal itu terserah kepada kerajaan pusat namun umat Islam perlu diberi keutamaan.

Kata kenyataan itu juga, walaupun Islam menekankan perikemanusiaan, zakat yang diperolehi daripada umat Islam hendaklah diagihkan di kalangan umat Islam dahulu, sementara menjadi tanggungjawab kerajaan menerusi jabatan dan agensi untuk membantu orang bukan Islam yang miskin.

Lebih-lebih lagi masih ramai orang Islam di Selangor yang miskin dan perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat, ditambah pula jumlah umat Islam di negeri itu bertambah setiap tahun, kata kenyataan itu lagi.

“Sultan Selangor meminta agar isu berkaitan dengan pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa…dan menggesa agar tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan Islam untuk meraih populariti atau mengambil hati pihak tertentu.

“Sultan Selangor menegaskan sekali lagi bahawa hasil kutipan zakat di negeri Selangor akan kekal diagihkan kepada lapan golongan asnaf di kalangan umat islam,” kata kenyataan itu lagi.





Montaj Muafakat Nasional – Himpunan Penyatuan Ummah 2019 – #HPU914

14 09 2019

Saya merasa bangga dan terharu melihat gambar Allahyarham Ayah saya daripada keratan akhbar Utusan Malaysia di dalam montaj tersebut.

Related post:

  1. Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 : Gambar Sekitar Solat Jumaat Di Surau Ar-Rahman PWTC
  2. Setahun Yang Amat Getir
  3. Mengenang A. Karim Omar, Ayah Kesayanganku
  4. Gambar Sekitar Majlis Tahlil A. Karim Omar
  5. A. Karim Omar, Ayah Kesayangan Saya Meninggal Dunia




Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 : Gambar Sekitar Solat Jumaat Di Surau Ar-Rahman PWTC

13 09 2019

Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang berlangsung selama dua hari telah bermula hari ini di mana penyokong penyatuan dan kerjasama antara dua parti Melayu Islam, UMNO dan PAS mula berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sejak awal pagi tadi.

Tengahari tadi, barisan kepimpinan UMNO dan PAS termasuk Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Sri Najib bin Razak dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman.

UMNO Online melaporkan hampir 5,000 umat Islam yang membanjiri Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, PWTC.

Solat Jumaat diimamkan oleh Ust Shukri Ali sementara Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku khatib yang membacakan khutbah Jumaat.

Sejurus selesai solat Jumaat, jemaah yang hadir turut bersama-sama menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom memohon agar dipermudahkan urusan dan program Himpunan Penyatuan Ummah berjalan lancar.

Sila klik gambar untuk imej yang lebih besar:





Agihan Daging Korban Pada Bukan Islam – Apa Kata Mufti?

11 08 2019

Hari Raya Aidiladha semakin hampir, dan pada hari tersebut umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan mengadakan solat sunat Aidiladha, dan kemudiannya diikuti dengan ibadah korban.

Ibadah korban ini cukup besar pahalanya dan merupakan salah satu sunat muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan bagi umat Islam.

Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadat ini, dapat membersihkan jiwa kita dan dapat kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Seperti yang kita ketahui, hukum korban menetapkan sebahagian besar daripada daging yang kita korbankan adalah untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan, yang termasuk di dalam golongan asnaf.

Namun sejak kebelakangan ini, satu persoalan yang sering timbul menjelang kedatangan hari yang penuh barakah ini ialah soalan sama ada daging korban hanya boleh diberikan kepada umat Islam sahaja atau pun boleh juga diberikan kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Ramai yang menyoal apakah hukumnya jika kita agihkan daging korban kepada orang-orang bukan Islam yang termasuk di dalam golongan yang memerlukan?

Malah tidak kurang juga yang berbahas dan memberi berbagai pendapat mereka sendiri tentang persoalan ini, terutamanya di media sosial.

Namun dalam menentukan hukum, kita tidak boleh membuat fatwa sendiri tetapi kita mesti merujuk kepada mereka yang alim dan ditauliahkan untuk mengeluarkan fatwa, jika di Malaysia kita perlu merujuk kepada mufti-mufti negeri.

Mufti bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, Tan Sri Harussani Zakaria yang merupakan seorang mufti kanan dan sangat dihormati telah mengeluarkan kenyataan bahawa daging korban tidak harus diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadat korban adalah perkara `ta’abbudiy’  iaitu hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Menurut beliau, fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa.

Mufti bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pandangan yang sama seperti Tan Sri Harussani Zakaria tentang perkara ini.

Merujuk kenyataan Datuk Dr. Zulkifli di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan; untuk soalan, “Apakah hukum memberi makan orang yang bukan Islam daripada daging korban?”, jawapan yang diberi ialah, “Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT”.

Jelas kedua-dua tokoh ilmuan Islam yang sangat alim tentang hukum-hukum Islam ini berpendapat bahawa berdasarkan Mazhab Syafi’e, yang masyhur daging korban tidak dibolehkan diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban ialah hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Perkara ini patut diambil berat oleh umat Islam di Malaysia memandangkan Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah berpandukan Mazhab Syafi’e.

Umat Islam mesti berhati-hati akan soal ini kerana ianya melibatkan soal kesempurnaan ibadah kita. 





Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. Dan Para Sahabat R.A. PWTC

2 08 2019

Poster Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. Dan Para Sahabat RA

Alhamdulillah, dua hari yang lepas saya berkesempatan mengunjungi Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. Dan Para Sahabat RA yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade Centre) atau lebih dikenali sebagai PWTC, Kuala Lumpur.

Bertempat di Dewan Tun Razak 4, di tingkat 4 bangunan PWTC, terdapat lebih daripada 40 artifak-artifak bersejarah daripada zaman Baginda Rasulullah S.A.W. dan zaman kegemilangan Islam dipamerkan kepada pengunjung.

Alhamdulillah, saya berkesempatan melihat sendiri helaian rambut dan janggut Baginda, tapak kaki serta darah bekam Baginda.

Juga dipamerkan ialah barang kegunaan Baginda seperti serban, busur, panah, capal, tongkat dan bekas air minuman Baginda yang diperbuat daripada kulit, yang sering disebut oleh guru pengajian hadis saya, Ustaz Abdul Raof, yang kebetulan juga mengunjungi pameran tersebut semasa saya di sana.

Di antara artifak-artifak bersejarah lain yang turut dipamerkan ialah koleksi kain Kiswah, kunci makam Baginda Rasululllah S.A.W., kunci makam Saidatina Fatimah az-Zahrah R.A., koleksi pedang para sahabat dan banyak lagi.

Paling penting, para pengunjung juga diberi penerangan mengenai artifak-artifak yang dipamerkan serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

Bagi saya, banyak yang dapat kita perlajari daripada mengunjungi pameran seperti ini, selain daripada dapat melihat artifak bersejarah dan menyelami keagungan zaman kegemilangan Islam, lahir kesedaran dan keinsafan untuk kita lebih menghayati pengorbanan dan semangat perjuangan Baginda dan para sahabat.

Malangnya, pihak penganjur tidak membenarkan pengunjung merakamkan gambar di dalam dewan pameran.

Pameran ini akan berakhir pada 4hb Ogos 2019; dan tiket masuk bagi dewasa berharga RM20.00, RM10.00 untuk pelajar dan RM5.00 untuk kanak-kanak.

Please click the photos for larger images:

 





Jam Vape, Gula-Gula ‘Berasap’, Aksi ‘Superman’ – Di Mana Perlindungan Hak Kanak-Kanak?

22 07 2019
Gambar ihsan Utusan Online

Belum reda berita yang tular di media sosial tentang pelajar menghisap vape di sekolah, tular pula berita gula-gula yang mengeluarkan ‘asap’ seperti rokok yang dijual kepada kanak-kanak sekolah rendah.

Mungkin ada yang mengambil sikap tidak kisah dan menganggap ini cuma masalah biasa kerana selama ini pun kita dibebankan dengan masalah pelajar merokok di sekolah dan ramai juga pelajar yang mengambil dadah.

Namun bagi saya, penularan vape dalam bentuk jam tangan adalah sangat merbahaya kerana vape telah diberi rupa baharu yang nampak lebih ‘cool’ dan berkemungkinan dapat membuat kanak-kanak lebih teruja untuk memilikinya dan seterusnya mengakibatkan lebih ramai kanak-kanak mula menghisap vape.

Penjualan gula-gula yang mengeluarkan ‘asap’ seperti asap orang merokok kepada kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak untuk membuat keuntungan.

Namun malangnya ramai juga orang dewasa yang menandang ringan akan penjualan gula-gula sebegini dan menganggap ianya sama seperti gula-gula biasa atau makanan ringan lain, dan tidak memudaratkan kanak-kanak kerana tidak mengandungi nakotin atau bahan-bahan yang merbahaya lainnya.

Mereka juga menolak alasan perbuatan ini boleh membawa kanak-kanak kepada tabiat merokok dengan alasan kanak-kanak yang bijak oleh berfikir dengan baik tentang keburukan merokok.

Namun, mengambil kira kaedah “sadduzzara’i”, iaitu menyekat daripada puncanya, adakah wajar jika kanak-kanak dibenarkan membuat sesuatu yang menyerupai perbuatan yang bersifat negatif?

Tambahan pula, apakah ada kesan positif ke atas kanak-kanak jika mereka memakan gua-gula tersebut dan apakah kita pasti bahawa ianya halal dan tidak mengandungi bahan-bahan yang membahayakan kesihatan?

Terkini kita dihidangkan pula dengan video ‘aksi Superman’.

Utusan Online melaporkan berita ini sebagai, “… aksi dua kanak-kanak yang meniarap sambil berpaut di belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai sedang bergerak di sekitar Pasir Gudang.”

Persoalannya, di manakah dan apakah punca penularan sikap tidak bertanggungjawab ke atas kanak-kanak seperti ini?

Saya menganggap perkara sebegini amat serius dan melanggar Akta Kianak-Kanak 2001 dan juga Convention on the Rights of the Child (CRC) kerana undang-undang negara dan antarabangsa tentang hak kanak-kanak jelas memperuntukkan bahawa kanak-kanak mesti dilindungi dan tidak boleh dicederakan, dibuli atau didedahkan kepada bahaya atau keadaan yang merbahaya.

Dari segi lain, di manakah tanggungjawab orang dewasa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang cemerlang?

Kejayaan akadmik sahaja tidak akan dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji dan jati diri yang tinggi.

Saya menyeru kepada golongan dewasa tidak kiralah sama ada ibu bapa mahupun guru, untuk bersikap lebih prihatin terhadap kanak-kanak dan bersikap lebih proaktif dalam mendidik mereka, terutamanya golongan remaja yang kadang kala terkeliru dan cepat terpengaruh dengan suasana persekitaran, contohnya fahaman anarkisme yang kini hebat mempengaruhi golongan muda.

Perkara-perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapapun, dan ia perlu juga diambil berat oleh pihak berkuasa termasuk menteri-menteri yang berkenaan.

Lindungilah kanak-kanak dan peliharalah hak kami!

.








%d bloggers like this: