Mufti Gusar Atas Keputusan Kes Kalimah Allah, Seru Umat Islam Bermunajat

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menyatakan perasaan dukacita beliau atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, solat, Baitullah dan Kaabah oleh orang Kristian.

Kata Datuk Luqman, keputusan tersebut dikhuatiri boleh mewujudkan isu ketegangan antara agama, walaupun hanya bagi tujuan pendidikan para penganut agama Kristian.

“Jika tidak mampu selesai dengan cara lebih harmoni, dibimbangi ia bakal cetus ketegangan antara agama dan kaum negara ini.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang hal yang menyentuh perihal agama secara tidak langsung akan berkait dengan nilai sensitiviti dan perkara ini mestilah dijaga cukup baik.”

Datuk Luqman berkata hal ini bukan sahaja menyebabkan umat Islam Malaysia marah, malah juga menjatuhkan imej kerajaan Perikatan Nasional kerana dikatakan tidak serius dalam isu ini.

Pada masa sama ujarnya, umat Islam di Malaysia diseru supaya kekal teguh mendaulatkan agama Islam seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Di kesempatan ini, saya dengan rendah diri ingin mengajak saudara-saudara sekalian, marilah kita terus kekal bersatu berdasarkan kerangka aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

“Biarpun pahit untuk ditelan, namun kita tetap percaya bahawa ujian ini di sebaliknya telah mengajar kita untuk lebih mencintai dan mendekati Allah SWT.

“Dengan itu, marilah kita memelihara ibadah-ibadah seperti kewajipan solat fardu lima waktu, memperbanyakkan zikir munajat, sentiasa berdoa memohon pertolongan kepadaNya, mencontohi akhlak terpuji Rasulullah SAW.”

NGO Islam Desak JAIS Tidak Pulangkan Bible Yang Dirampas

SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) — Kira-kira 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak tunduk kepada arahan kerajaan Selangor yang meminta jabatan itu memulangkan semula 300 naskhah Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.

Pengerusi Pembela-pembela Islam Malaysia (Pembela) Hafiz Nordin yang mewakili gabungan kira-kira 100 NGO itu berkata ini berikutan naskhah Bible tersebut mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh kaum bukan Islam di negeri ini.

“Tidak perlu dipulangkan kitab Bible yang dirampas itu kerana kitab itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor dan fatwa negeri ini yang melarang kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan agama mereka,” katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Khamis lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.

Abdul Gani berkata naskhah Bible yang dirampas itu adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.

Selain Pembela, gabungan NGO itu turut diwakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Related articles:
Small Fire Broke Out In MAIS Headquarters

 

%d bloggers like this: