Sultan Selangor Dukacita Isu Air di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat negeri akibat pencemaran sungai.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, surat itu dihantar kepada Amirudin.

Selangor Royal Office memberitahu, antara intipati surat Sultan Sharafuddin itu mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil termasuk merobohkan rumah, kilang terutama beroperasi secara haram yang berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai di Selangor.

“Baginda tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

“Baginda telah lama menitahkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan Kerajaan Selangor untuk memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan, Sultan Sharafuddin mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air. Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum.

“Baginda khuatir sekiranya masalah air ini berterusan, rakyat jelata akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor Royal Office memaklumkan, baginda turut perkenan menerima menghadap Amirudin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Gangguan bekalan air di Selangor berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sungai.

Kawasan yang terjejas ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. -{Sinar Harian]

Gangguan Air di 7 Wilayah KL dan Selangor Belum Pulih

Baca versi Jawi di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam sebuah kenyataan telah memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 pagi ini.

Ini adalah disebabkan pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 1 TON, dan LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori-lori tangki air, dan pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang sedang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Air Selangor turut akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan di laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com, serta di aplikasi mudah alih mereka.

Untuk rekod, gangguan bekalan air tidak berjadual telahpun dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di 7 wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.