Banyaknya, Duit Siapa Tu Syed Saddiq?

Baca versi Jawi di sini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malam semalam telah membuat satu laporan polis mengenai kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada peti besi di kediaman beliau.

Setelah berita tersebut tular, berbagai spekulasi telah dibuat tentang kehilangan wang tunai tersebut memandangkan jumlahnya sangat besar; malah ada pihak yang menguar-uarkan bahawa duit tersebut adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Untuk rekod, Syed Saddiq telah menafikan perkara tersebut dan menegaskan bahawa wang yang hilang itu bukan milik PPBM.

Saya tidak pernah menyatakan bahawa siasatan ini adalah berkenaan wang milik PPBM. Malah di dalam laporan polis yang telah saya lakukan pada 29 Mac 2020, saya tidak pernah sesekali menyatakan bahawa wang tersebut adalah milik PPBM.

Syed Saddiq, melalui kenyataan rasminya

Perkara ini menimbulkan persoalan baharu dalam kalangan rakyat:

  1. Adakah wang tunai berjumlah RM250,000 yang disimpan dalam peti itu milik peribadi Syed Saddiq?
  2. Mengapakah wang dalam jumlah yang begitu besar disimpan dalam bentuk tunai dan bukannya di dalam bank?
  3. Jika wang tunai berjumlah RM250,000 itu milik peribadi Syed Saddiq; umum tertanya-tanya apakah beliau merasakan RM250,000 itu satu jumlah yang tidak begitu besar sehingga hanya menyimpannya di dalam peti besi di rumah?

Mungkin juga ini satu budaya biasa bagi Ahli-ahli Parlimen; namun sudah tentu ianya tidak akan dapat difahami oleh rakyat marhaen yang kebanyakannya tidak mempunyai simpanan tunai yang begitu besar, lebih-lebih lagi pada usia yang masih muda.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).