Covid-19: Kes Simpang Renggan Dipercayai Berkait Kluster Tabligh

Peningkatan mendadak kes positif koronavirus (Covid-19) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang yang kini diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipercayai ada kaitan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada penduduk kampung itu yang menghadiri program tersebut dan tidak mengasingkan diri (kuarantin) selepas pulang dari perhimpunan berkenaan.

“Mungkin ada juga yang menghadiri kenduri di kawasan mereka kerana tidak sedar bahawa diri mereka dijangkiti wabak berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sila baca: Terkini: Penduduk 2 Kawasan Di Simpang Renggam Dilarang Keluar Rumah Mulai Tengah Malam Ini

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada peningkatan kes Covid-19 di kawasan itu berpunca daripada penganjuran majlis kenduri kahwin dan tahlil baru-baru ini.

Ia berikutan dakwaan penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Masjid yang menyebut bahawa penularan wabak itu bermula daripada majlis kenduri kahwin dan tahlil yang diadakan pada 15 Mac.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihak berkuasa telah mengadakan sekatan jalan raya di lima laluan utama dan 11 laluan ‘tikus’ yang menjadi akses keluar masuk ke dua kawasan berkenaan.

Sekatan dilakukan sejumlah 181 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Sebelum PKPD dikuatkuasakan, seramai 80 pegawai dan anggota ditugaskan di kawasan berkenaan, namun bermula hari ini, jumlah itu ditambah menjadi 181 pegawai dan anggota.

“Begitu juga sekatan jalan raya, sebelum ini hanya lima sekatan dibuat, pagi ini ditambah menjadi tujuh selain 11 laluan tikus di ladang-ladang berhampiran dikawal,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya pagi tadi, penduduk kedua-dua kawasan juga didapati mematuhi arahan PKPD yang dilaksanakan.

Semalam, kerajaan memutuskan PKPD dilaksanakan di kedua-dua lokasi berikutan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di kawasan terbabit iaitu sebanyak 61 kes.

PKPD melibatkan seramai 3,570 penduduk tempatan yang terdiri daripada 650 keluarga. – Bernama