TERKINI – ADUN PKR Johor Keluar Parti

ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full, yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun secara rasminya keluar parti tersebut, dan menyertai Gabungan Baharu yang merupakan kerajaan di negeri Johor.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad di dalam sebuah sidang media bersama-sama dengan Dr. Chong.

Sila tonton rakaman penuh sidang media tersebut di sini.

Dr. Chong menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat pagi tadi, dan keputusan itu adalah amat sukar untuk dibuat.

Dr. Chong semasa sidang media tersebut.

Beliau yang telahpun menjadi ahli PKR selama 11 tahun, menyifatkan perkara tersebut sebagai sebuah “matured” decision, setelah meminta pandangan ahli keluarganya dan rakyat di kawasannya.

Ia bukan satu keputusan yang senang dibuat. It’s a very painful decision (ia satu keputusan yang sukar dibuat), and ia bukan satu keputusan yang ikut hati saya sendiri. It’s a matured decision (ia satu keputusan yang matang), di mana saya sudah buat consultation (telah meminta nasihat) dengan penyokong saya, dengan pengundi saya, famili, kawan-kawan. Dan lepas tu, sudah fikir bagi saya cukup matang, saya baru buat keputusan. Pagi ini saya baru buat.

Dr. Chong Fat Full

Dr. Chong mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Baharu kerana bersikap sangat sabar dengannya semasa proses ini.

Apabila ditanya oleh wartawan tentang khabar angin tentang caj yang dikenakan kepada ahli untuk keluar parti, beliau menyifatkan perkara tersebut kurang penting berbanding kepentingan rakyat Pemanis dan Johor.

“I will decide for the good of the people first … macam mana pun we have to face it.”

Dr. Chong Fat Full

Kerajaan Johor percaya bahawa adalah amat penting bagi barisan exco untuk diwakili oleh bukan sahaja ADUN berbangsa Melayu, tetapi juga bangsa-bangsa lain.

Menurut Hasni, gandingan Gabungan Baharu antara Barisan Nasional, BERSATU dan PAS tidak memiliki sebarang wakil rakyat dalam kalangan masyarakat kaum Tionghwa, maka beliau yaking dan percaya bahawa sekiranya diperkenankan kehadiran Dr. Chong dalam Gabungan Baharu, beliau akan jadi suara yang mewakili masyarakat kaum Tionghwa.

Dr. Chong kini belum menyertai mana-mana parti dan bergerak sebagai seorang ADUN bebas.

VIDEO – Rakaman Penuh Sidang Media Menteri Besar Johor

TERKINI – Exco Pulau Pinang Letak Jawatan

Dr Afif Bahardin meletakkan jawatan sebagai exco Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu dibuat setelah beliau mendapat surat tunjuk sebab daripada PKR atas dakwaan mensabotaj parti dalam kongres parti itu Disember tahun lepas.

Peletakan jawatan itu disahkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Afif, bekas ketua Pemuda PKR itu bagaimanapun kekal sebagai anggota parlimen Seberang Jaya – yang disandangnya selama dua penggal.

Afif dijadual mengadakan sidang media berkaitan perkara itu di rumahnya pada jam 3.30 petang ini.

Sementara itu, pada masa yang sama, tersebar juga mesej di WhatsApp menyebut satu perhimpunan akan diadakan di rumahnya bagi menyatakan setiakawan kepada pemimpin itu.

Pesanan itu menyebut Afif akan mengumumkan arah tuju politik masa depannya.

Afif semalam berkata akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum.

Beliau dikenali sebagai pemimpin muda daripada kem bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang terlibat dalam penjajaran semula blok politik yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Afif dilantik sebagai exco kesihatan dan pertanian selepas mememenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2013.

Dia letak jawatan, bukan dipecat – KM

Sementera itu, di Komtar, Chow berkata Afif menyerahkan surat peletakan jawatannya selepas pertemuan mereka pada jam 8.15 pagi tadi,

Chow berkata, mesyuarat exco menerima peletakan jawatan itu.

Chow berkata pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada PKR dan akan membincangkan tindakan lanjut.

Dengan kerusi dipegangnya dalam DUN, Chow berkata Afif masih dianggap sebahagian daripada kerajaan negeri.

Ditanya sama ada Afif ditekan oleh PKR untuk berbuat demikian, Chow berkata:

“Dia letak jawatan, bukan dipecat. Jadi isu yang kamu bangkitkan tidak berbangkit.”

Dewan Rakyat Bersidang 18 Mei

[Berita Harian}- Persidangan Dewan Rakyat akan bermula 18 Mei depan.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, berkata surat makluman berhubung tarikh baharu itu diterima malam tadi.

“Surat sudah diterima malam tadi. Kenyataan akhbar akan dikeluarkan oleh Parlimen pagi ini.

“Tiada persidangan pada 9 Mac (Isnin). Tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” katanya kepada BH, pagi ini.

Pada awalnya, sidang Dewan Rakyat dijadualkan pada 9 Mac ini sehingga 16 April depan dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahad lalu Mohamad Ariff dilaporkan berkata, beliau akan menulis secara rasmi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menanyakan sama ada Dewan Rakyat akan bersidang mengikut jadual pada 9 Mac ini atau ditangguhkan.