Sejak bertahun-tahun, saya telah membaca berbagai berita tentang Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46). Menurut Wikipedia, parti ini merupakan “sebuah parti politik serpihan UMNO” yang “ditubuhkan pada tahun 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti 43 undi”.
Namun pada masa yang sama, sukar bagi saya yang lahir bertahun-tahun selepas Semangat 46 dibubarkan untuk mencari bahan berita secara terperinci tentang kenapa parti ini ditubuhkan daripada pihak Tengku Razaleigh di media massa kerana berita yang ada adalah daripada pihak yang lain.
Rencana Sinar Harian di bawah bertajuk, “Bukan Ku Li tinggalkan UMNO, tapi Dr Mahathir”, telah memberi perspektif baharu tentang Parti Melayu Semangat 46, memandangkan kali ini kita mendapat penjelasan daripada Penasihat Kewangan dan Peribadi kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Nik Ahmad Azmi Nik Md Daud.
Menurutnya, beliau berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada semua pihak agar sejarah tidak diputar belit.
Menariknya, penjelasan Dato’ Nik tentang kenapa Tengku Razaleigh menubuhkan dan akhirnya membubarkan Parti Melayu Semangat 46 adalah amat berbeza daripada cerita-cerita yang sering kita baca selama ini.
UMNO asal ditubuhkan pada tahun 1946 tetapi kemudiannya ia dibatalkan pendaftaran oleh mahkamah pada tahun 1987 atas sebab kononnya terdapat ahli yang mengundi didakwa tidak berdaftar.
Sinar Harian (Bukan Ku Li tinggalkan UMNO, tapi Dr Mahathir)
Beliau berkata, disebabkan itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika itu mengesyorkan satu parti ditubuhkan iaitu UMNO Malaysia dan memohon kepada Menteri Dalam Negeri serta dibentang dalam Parlimen agar dibenarkan UMNO asal ini dihidupkan semula tetapi ia ditolak.
Dato’ Nik Ahmad Azmi juga menegaskan bahawa permohonan untuk UMNO asal dihidupkan semula telah ditolak dan pada masa yang sama Tun Dr Mahathir telah menubuhkan UMNO Baru.
“Bagaimanapun, beliau tak benarkan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Ku Li dan ramai untuk masuk UMNO Baru itu. Beliau pilih orang-orang tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Sinar Harian (Bukan Ku Li tinggalkan UMNO, tapi Dr Mahathir)
Beliau menambah, oleh kerana Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tengku Razaleigh serta ramai lagi tidak diterima menyertai UMNO Baru, maka parti Semangat 46 yang kemudiannya ditukar nama kepada Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan atas nasihat Tunku Abdul Rahman bagi memastikan ahli-ahli UMNO tersebut tidak lari dari perjuangan UMNO asal atau menyertai parti lain.
Dato’ Nik menjelaskan kedudukan sebenarnya membuktikan Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin lain sebenarnya tidak pernah keluar parti UMNO, sebaliknya mereka kekal di dalam parti sehinggalah parti itu dibatalkan pendaftarannya.
Malah Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan sebagai landasan untuk pemimpin-pemimpin UMNO tersebut menyambung perjuangan UMNO setelah mereka tidak dibenarkan untuk berjuang di dalam parti UMNO Baru yang baharu ditubuh pada ketika itu.
“Selepas Pilihan Raya Umum 1995, Dr Mahathir kemudian mempelawa Ku Li untuk masuk UMNO Baru yang ditubuhkannya dan ketika itu pelawaan itu diterima tanpa syarat, tanpa meminta sebarang kedudukan demi perpaduan serta untuk menunaikan amanat Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mahukan Melayu bersatu”.
Sinar Harian (Bukan Ku Li tinggalkan UMNO, tapi Dr Mahathir)
Dato’ Nik menjelaskan bahawa Tengku Razaleigh menerima pelawaan Tun Dr Mahathir untuk menyertai UMNO Baru demi penyatuan Melayu. Buktinya, Tengku Razaleigh membubarkan Parti Melayu Semangat 46 dan menerima pelawaan itu diterima tanpa syarat dan tanpa meminta sebarang kedudukan dalam parti.
Kini jelas bahawa Tengku Razaleigh konsisten di dalam perjuangan beliau walaupun tidak seperti pemimpin-pemimpin yang lain, beliau tidak diberi kedudukan dan jawatan selepas beliau menyertai UMNO Baru walaupun Tengku pernah memegang jawatan yang sangat kanan di dalam kerajaan sebelum itu.
Rencana berkaitan: