KKM: Peserta Himpunan Tabligh Seri Petaling Disertai 10,000 Orang Positif Covid-19

(FMT) – PETALING JAYA: Semua Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas lebih 5,000 rakyat negara ini yang dipercayai menyertai perhimpunan tabligh susulan kes pertama Covid-19 dikesan di Brunei.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 yang dikesan di negara itu.

“Kes tersebut dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Feb 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Brunei melaporkan 5 lagi kes Covid-19 pada Selasa, sehari selepas kes pertama disahkan pada Isnin.

Menurut laporan media, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun disahkan positif penyakit koronavirus itu pada Isnin, selepas dia pulang dari Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Pesakit itu mengalami demam pada 7 Mac dan menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada keesokan harinya.

Noor Hisham menambah, pihaknya menyeru semua individu yang menghadiri perhimpunan tabligh itu memberi kerjasama kepada KKM bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

“Sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC negeri.

“Sekiranya tidak mengalami gejala untuk mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1m dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya.

Kabinet TSMY: Analisa Dari Kaca Mata Orang Muda

Jemaah menteri kerajaan gabungan Perikatan Nasional telahpun mengangkat sumpah di Istana Melawati, Putrajaya; menandakan titik permulaan sebuah kerajaan baharu.

Untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia, jawatan Timbalan Perdana Menteri ditiadakan, dan perkara ini telah menjadi satu kejutan besar kepada rakyat yang sebelum ini tertanya-tanya siapakah yang akan dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik empat menteri kanan yang bertanggungjawab membantu Perdana Menteri menyelaras hal ehwal Kabinet termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet di waktu ketiadaan Perdana Menteri.

Penganalisis politik melihat perkara ini sebagai satu solusi yang baik untuk meredakan tekanan dalam kalangan anggota parti-parti politik yang bergabung di bawah Pakatan Nasional; yang kalau tidak diuruskan dengan baik, boleh meretakkan hubungan gabungan baharu tersebut.

Secara amnya, Kabinet ini dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen dan Senator dari parti-parti PPBM, UMNO, MCA, MIC, PAS, GPS, PBRS, PBS, STAR.

Pada ketika ini, saya tidak dapat memastikan apakah Ahli Parlimen Ranau YB Jonathan Yassin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri 11 masih lagi ahli PKR atau sudah berubah arah.

Seperti yang dijangkakan sebelum ini, para pemimpin PPBM lah yang paling ramai menerajui Kabinet ini dan mereka juga turut memegang portfolio-portfolio penting.

Menarik juga apabila beberapa Presiden parti-parti gabungan tidak berada di dalam Kabinet baharu ini, walaupun mereka yang tidak mempunyai kes di mahkamah seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Haji Openg.

Ketidakhadiran Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing pada istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Melawati telah menimbulkan tandatanya dalam kalangan pemerhati politik tanah air.

Apakah benar seperti laporan Utusan Borneo bahawa beliau telah menolak pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara?

Dua individu profesional iaitu Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Walaupun pelantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri Hal Ehwal Agama telah disambut baik oleh berbagai pihak; namun beliau bakal menghadapi tekanan yang berat.

Umat Islam khasnya penyokong beliau sudah tentu mengharapkan beliau untuk menyelesaikan isu-isu besar yang telah menaikkan kemarahan rakyat, contohnya isu penghinaan terhadap agama Islam serta isu-isu besar berkaitan Tabung Haji.

Saya melihat bidang tugas seorang Menteri Hal Ehwal Agama adalah jauh berbeza berbanding skop kerja seorang Mufti, dan cabaran yang akan beliau dihadapi juga adalah lebih besar; tambahan pula seorang menteri akan lebih terdedah kepada pelbagai kritikan daripada rakyat.

Harapan yang tinggi juga diletakkan ke atas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memulihkan kedudukan kewangan negara; tambahan beliau telah dibawa oleh Perdana Menteri untuk memegang satu jawatan Kabinet yang amat kanan daripada dunia koperat.

Prestasi Tan Sri Abdul Wahid Omar yang telah dilantik oleh Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib Razak sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Perancang Ekonomi sudah tentu akan menjadi satu penanda aras dalam menilai prestasi Tengku Datuk Seri Zafrul; lebih-lebih lagi Tengku Datuk Seri Zafrul diberi kepercayaan memegang jawatan Kabinet yang jauh lebih kanan daripada Tan Sri Abdul Wahid.

Menariknya, Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamaruddin merupakan satu-satunya ahli Kabinet yang kekal memegang portfolio yang sama seperti semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memilih beberapa tokoh yang sangat berpengalaman seperti Tok Pa dan H2O untuk menyertai Kabinet beliau dan meletakkan mereka di portfolio yang saya lihat amat bersesuaian dengan kelebihan dan pengalaman mereka berdua.

Begitu pun, Perdana Menteri ke-8 juga telah melantik muka-muka baharu yang tidak berpengalaman ke jawatan-jawatan penting; perkara ini akan menjadi cabaran besar kepada Tan Sri Muhyiddin dalam memastikan mereka mampu memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan.

Rakyat sudah tentu akan menilai prestasi para Menteri dan Timbalan Menteri dan mengharapkan mereka akan turun padang untuk melihat masalah rakyat serta dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam keadaan negara yang sedang berdepan dengan berbagai cabaran.

Jawatan Kabinet bukanlan jawatan yang boleh diisi mengunapakai konsep “trial and error”; rakyat sudah penat dan tidak mahu lagi mendengar alasan remeh daripada pemimpin contohnya, “kurang pengalaman” atau lebih parah apabila mereka hanya menyalahkan orang lain apabila gagal menjalankan amanah yang diberikan.

Kita mengharapkan dasar-dasar kerajaan yang benar-benar dapat memakmurkan negara dan bukannya hanya sekadar janji manis disulami slogan-slogan yang menarik.

Tidak dapat dinafikan bahawa bukanlah mudah untuk Perdana Menteri dalam membuat pertimbangan politik memandangkan parti beliau bukanlah parti yang terbesar dan terkuat di dalam gabungan ini, ditambah lagi dengan hakikat bahawa gabungan ini ialah sebuah gabungan longgar yang baharu dibentuk.

Maka kejayaan kerajaan ini amat bergantung kepada kecekapan Perdana Menteri dalam menerajui Kabinet dan memastikan bahawa para pemimpin benar-benar memahami suara hati rakyat serta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah.

Namun, alangkah baiknya jika beberapa pemimpin hebat dan berpengalaman serta bebas daripada tuduhan dipilih untuk menyertai Kabinet ini, contohnya Ku Li dan Tok Mat Hassan yang mempunyai rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang serta dihormati ramai.

Semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmat ke atas tanah yang bertuah ini, Aamiin.