اڬوڠ، ڤرماءيسوري بركنن ايمولومن دراج تيدق دباير ٦ بولن

Baca versi Rumi di sini.

يڠ دڤرتوان اݢوڠ السلطان عبدالله رعاية الدين المصطفى بالله شاه الحاج ابن المرحوم سلطان حاج احمد شاه المستعين بالله دان راج ڤرماءيسوري اݢوڠ تونکو حجة عزيزة امينة ميمونة إسکندرية بنت المرحوم المتوکل على الله سلطان اسکندر الحج برکنن سوڤاي کراجأن تيدق ممباير ايمولومن دراج کڤد سري ڤدوک بردوا سلاما انم بولن مولاي مچ هيڠݢ اوݢوس‮.

داتوق ڤڠلولا بيجاي دراج ايستان نݢارا، داتوق احمد فادل شمسو الدين برکات، ڤرکنن اوليه السلطان عبدالله دان تونکو عزيزه برتوجوان ممبنتو مريڠنکن ببن کراجأن دالم مناڠني ڤندميق کوروناۏيروس ﴿کوۏيد-١٩﴾ سرتا مڽاهوت کڤوتوسن کراجأن مموتوڠ دوا بولن ݢاجي ڤردان منتري، منتري سرتا تيمبالن منتري دان دسالورکن ک تابوڠ کوۏيد-١٩‮.

“ڤرکنن سري ڤدوک بݢيندا بردوا اين توروت منچرمينکن کڤريهتينان دان کڤريبادين تيڠݢي سري ڤدوک بݢيندا بردوا ترهادڤ ‮ڤرکمبڠن ترکيني ڤندميق اين دان سيتواسي کواڠن نݢارا،” کاتڽ دالم کڽاتأن هاري اين.

Agong, Permaisuri Berkenan Emolumen Diraja Tidak Dibayar 6 Bulan

Baca versi Jawi di sini.

[BERNAMA}- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka baginda berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Drama Gardenia Berterusan: Lori Hilang di KL, Ditemui di Terengganu!?

Baca versi Jawi di sini.

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, roti Gardenia telah mendapat perhatian yang sangat istimewa daripada ramai rakyat Malaysia.

Tular berbagai cerita sedih, gembira dan lucu tentang roti kegemaran rakyat Malaysia ini, daripada pembelian panik sehinggalah kepada berbagai aduan tentang kerisauan pengguna apabila timbul berita kehabisan stok produk Gardenia di pasaran.

Terbukti Gardenia bukan sekadar menjadi antara barangan penting di pasaran pada ketika ini, tetapi situasi kehabisan stok produk Gardenia telah diolah kepada pelbagai cerita lucu yang menghiburkan rakyat.

Hari ini, laporan Harian Metro bertajuk, “Hilang di KL, jumpa di Kemaman” telah menarik perhatian saya.

Apalagi gambar lori yang dilaporkan hilang itu seperti sebuah lori Gardenia.

Apakah ini episod terbaharu di dalam drama roti Gardenia?


Hilang di KL, jumpa di Kemaman

Rosli Ilham, Harian Metro

LORI muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemui ditinggalkan di tepi jalan di berhampiran Masjid Beris Meraga, Kijal, dekat Chukai, malam tadi.

Lori tiga tan itu ditemui ditinggalkan di situ, kira-kira 8 malam, sebelum orang ramai memaklumkan kepada pekerja syarikat roti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan lori terbabit.

Menurutnya, lori terbabit dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira 7 malam pada hari sama.

“Lori terbabit sebelum itu digunakan untuk mengedar lori di sekitar Kuala Lumpur sebelum disedari hilang oleh pemandunya.

“Berikutan itu, pemandu lori terbabit pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan,” katanya.

Hanyan berkata, sebaik lori itu ditemui di daerah Kemaman, kakitangan syarikat terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat laporan, kira-kira 10 malam tadi.

“Kes terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.

دراما ݢردينيا برتروسن: لوري هيلڠ دکوالا لومڤور، دتموي دترڠݢانو!؟

Baca versi Rumi di sini.

سجق ڤرلقسنأن ڤرينته کاولن ڤرݢرقن، روتي ݢردينيا تله منداڤت ڤرهاتين يڠ ساڠت ايستيميوا درڤد راماي رعيت مليسيا.

تولر برباݢاي چريتا سديه، ݢمبيرا دان لوچو تنتڠ روتي کݢماران رعيت مليسيا اين، درڤد ڤمبلين ڤنيق سهيڠݢالاه کڤد برباݢاي ادون تنتڠ کريساءوان ڤڠݢونا اڤابيلا تيمبول بريتا کهبيسان ستوق ڤرودوق ݢردينيا دڤاسرن.

تربوقتي ݢردينيا بوکن سقدر منجادي انتارا بارڠن ڤنتيڠ دڤاسرن ڤد کتيک اين، تتاڤي سيتواسي کهبيسان ستوق ڤرودوق ݢردينيا تله داوله کڤد ڤلباݢاي چريتا لوچو يڠ مڠهيبورکن رعيت.

هاري اين، لاڤورن هارين ميترو برتاجوق، “Hilang di KL, jumpa di Kemaman” تله مناريق ڤرهاتين ساي.

اڤلاݢي ݢمبر لوري يڠ دلاڤورکن هيلڠ ايت سڤرتي سبواه لوري ݢردينيا.

اڤاکه اين ايڤيسود تربهارو ددالم دراما روتي ݢردينيا؟

باچ لاڤورن هارين ميترو ﴿برتوليسن رومي﴾ دسيني.

PKPD Covid-19: Penghuni Menara City One Tidak Dibenarkan Keluar Dari Kawasan

(FMT)-PETALING JAYA: Sebuah menara berdekatan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kerana terdapat banyak kes positif jangkitan Covid-19 di situ.

Seramai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dikenakan PKPD, yang ke-3 diisytiharkan sejak minggu lepas, selepas Kementerian Kesihatan mendapati terdapat 17 kes di bangunan itu.

Perintah ini berkuatkuasa 31 Mac hingga 13 Apr. Ia bagi membendung jangkitan menular keluar dan membolehkan aktiviti pengesanan kes daru unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari itu.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Dengan pelaksanaan perintah ini, khusus bagi Menara City One sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan:

  1. Penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.
  2. Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.
  3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan.
  4. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama.
  5. Pangkalan perubatan akan dibuka.
  6. Semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup.
  7. Polis, tentera, pertahanan awam, dan Rela akan mengawal seluruh kawasan itu.

Perkembangan ini menyusuli perintah kawalan ketat ke atas 2 penempatan di Simpang Renggam di Kluang, Johor dan 7 penempatan Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor.

%d bloggers like this: