Jemaah Menteri Diumumkan Isnin Ini?

[MalaysiaGazette}- Timbul spekulasi bahawa senarai penuh Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan diumumkan Isnin ini.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, ini kerana kesemua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah mengemukakan senarai calon masing-masing bagi diangkat sebagai jemaah Menteri di bawah pimpinan Muhyiddin.

“Senarai Kabinet dijangka akan diumumkan Isnin, ini diikuti majlis angkat sumpah jawatan pada Selasa.

“Tan Sri Muhyiddin tak akan hold lama-lama senarai Kabinet sebab semua parti sudah bagi senarai calon mereka. Sekarang sudah peringkat akhir,” kata sumber tersebut.

Malah sumber itu memberitahu mesyuarat Jemaah Menteri turut akan diadakan Rabu ini sehari selepas upacara angkat sumpah di Istana Negara.

Dalam pada itu, sumber itu turut mendakwa sejumlah 56 jawatan akan diwujudkan merangkumi menteri penuh dan timbalan menteri.

Media semalam melaporkan pemerhati politik meramalkan beberapa bekas menteri kanan daripada UMNO akan mendapat tempat dalam Kabinet Muhyiddin.

Antaranya nama-nama yang disebut-sebut adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ramalan itu berdasarkan kepada pengalaman mereka menguruskan beberapa kementerian selain tidak terpalit dengan kontroversi murahan.

Mahdzir diramalkan akan diberi tanggungjawab menjaga portfolio pertanian atau luar bandar berdasarkan pengalaman menjadi exco pertanian dan kawasan diwakilinya.

Manakala Hishammuddin layak dipertimbang untuk menguruskan hal ehwal antarabangsa kerana dia ‘lulus’ ketika menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas dan sewaktu mengendalikan tragedi MH370.

Pemimpin Pas antara yang disebut-sebut adalah Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Takiyuddin Hassan dan beberapa orang lagi disebut-sebut layak memegang kementerian tertentu terutamanya menjaga hal ehwal agama yang sebelum ini dilihat menimbulkan kegusaran banyak pihak.