“DAP Bukan Lagi Musuh Melayu”; Is Zam Okay?

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam baru-baru ini menulis sebuah artikel di blognya, Zamkata, yang bertajuk “DAP BUKAN LAGI MUSUH MELAYU AKIBAT PEMESONGAN NASIONALISME UMNO”.

Artikel tersebut menunjukkan betapa setianya Tan Sri Zam kepada Tun Mahathir (Tun M) kerana demi mempertahankan pendirian Tun M, Zam sanggup menulis apa sahaja walaupun tulisan itu amat mengelirukan, tuduhan yang melulu tanpa fakta dan alasan yang amat dangkal dan tidak logik; semata-mata untuk memberi persepsi yang buruk kepada UMNO dan kerajaan.

Zam buat-buat tidak tahu bahawa parti DAP ialah sebuah parti yang menentang hak orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu dan sentiasa mendesak supaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dihapuskan agar hilanglah hak istimewa orang Melayu di Tanah Melayu ini.

Di manakah logiknya bila Zam cuba menyamakan kesan hubungan “penanaman modal dari China atau kerjasama ekonomi Malaysia dengan Republik Rakyat China” dengan kesan kekuasaan politik parti DAP kepada orang Melayu?

Zam seterusnya menulis:

“Orang Melayu sekarang melihat UMNO sebagai menambah ancaman dan cabaran kepada mereka dibandingkan DAP yang semakin matang dalam melihat nilai-nilai politik yang diperlukan untuk kerjasama politik yang progresif, dinamik ,bersih dan cekap yang tidak lagi berasaskan politik perkauman dan sentimen keugamaan yang sempit.”

Nampaknya Zam menganggap penentangan keras DAP terhadap dasar-dasar Islam itu sebagai sikap “DAP yang semakin matang” dan “tidak lagi berasaskan politik perkauman dan sentimen keugamaan yang sempit”.

DAP bukan sahaja dengan biadapnya menentang pindaan Akta 355 yang dibuat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, malah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera mencadangkan supaya bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan itu ditarik balik.

Walaupun bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, namun DAPlah yang dengan lantang menentang dengan berbagai alasan yang tidak masuk akal termasuk, demi mempertahankan hak kebebasan umat Islam termasuk untuk murtad.

Di negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, mereka mahu seruan azan diperlahankan, seolah-olah Pulau Pinang kini  bukan lagi sebuah negeri Islam.

Pada mereka, hak asasi umat Islam hanyalah hak untuk bebas membuat dosa namun hak untuk hidup secara Islam yang sebenarnya dinafikan dan ditentang habis-habisan dengan berbagai alasan termasuk bersifat ekstrimis, rasis dan merbahayakan negara.

Malah telah ada pemimpin DAP yang berani berkata, “apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian City” walaupun kata-kata itu jelas mencabar kuasa Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua bagi Agama Islam bagi Pulau Pinang dan seluruh Malaysia.

Begitu juga dengan pendedahan Dr. Kamarul Zaman tentang adanya agenda Kristian di sebalik penglibatan Hannah Yeoh sebagai ahli politik di Malaysia yang mana bersalahan dengan undang-undang negara ini.

Bencinya DAP kepada Islam sehinggakan mereka dengan sengaja menyalah tafsirkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memfitnah bahawa Malaysia ini ialah sebuah negara sekular dengan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja.

Begitu juga dengan perlembagaan parti DAP yang dengan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, bagaimana mungkin Zam boleh berpendapat bahawa hubungan ekonomi dengan China lebih merbahaya berbanding dengan memberikan kuasa politik kepada DAP yang hakikatnya dimonopoli oleh orang Cina yang tidak memghargai pengorbanan Raja-Raja Melayu dan mahu menghapuskan kontrak sosial yang telah dibuat dahulu?

Peliknya bila Zam menuduh “UMNO yang mahu menChinakan Malaysia menerusi penjajahan ekonominya” namun menutup mata bila kerajaan DAP Pulau Pinang cuba “menChinakan” Pulau Pinang dengan membawa masuk pelaburan dari China dan membangunkan berbagai projek hartanah mewah yang dijual kepada rakyat dari negara China.

Juga menghairankan saya adalah, bagaimana Zam boleh menyalahkan kerajaan mengenai penjualan saham Proton kepada Geely, sebuah syarikat pembuat kereta China sedangkan Tun M dan bukannya PM Najib yang berada di dalam kumpulan yang telah merancang perkara ini dan telah terlibat dalam rundingan awal di antara Proton dan Geely.

“Orang Melayu bimbang perkongsian Proton Holding Berhad dengan pembuat kereta China, China’s Zhejiang Geely Holding Group akan membuka peluang pekerjaan kepada orang Cina dari China  di Proton yang selama ini eksklusif kepada orang Melayu.”

Dari tulisannya juga, nampaknya seperti dasar parti DAP, Zam juga mahukan negara ini mengamalkan “dasar sekularisme dan liberalisme” yang bertentangan dengan ajaran Islam, Perlembagaan dan undang-undang negara:

“Disamping itu orang bukan Melayu melihat perubahan dasar sekularisme dan liberalisme UMNO sejak permuafakatan politik dengan Pas untuk bersama menguasai negara ini. Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah atau Akta 355) menimbulkan prasangka buruk bukan Melayu terhadap matlamat UMNO…”

Terpengaruh dengan pendapat “Peguam-Peguam Islam yang terkemuka di negara ini” dari parti DAP seperti Zaid Ibrahim dan peguan liberal lain contohnya Siti Zabedah Kassim, Zam berpendapat bahawa, “Hukuman jenayah tidak seharusnya berbeza antara Melayu Islam dan bukan Islam”; seolah-olah Zam tidak tahu akan adanya sistem Mahkamah Syariah yang bidang kuasanya telah diperuntukkan melalui Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam-Peguam Islam yang terkemuka di negara ini juga bimbang pindaan ini akan membawa kepada pencerobohan terhadap prinsip-prinsip asal perlembagaan negara yang mahu membina suatu bangsa atas nasionalisme Malaysia yang menolak dan perbezaan hukuman kaum di Malaysia termasuk orang Islam sendiri yang menyemai perasaan ketidakadilan dari segi perlembagaan.”

Nampaknya Zam yang kurang memahami Perlembagaan Persekutuan merasakan PAS lebih merbahaya daripada DAP kepada orang Melayu.

“PAS yang belum pun berada dalam kerajaan telah berjaya mempergunakan UMNO untuk menggugat kesucian Perlembagaan Negara menerusi Parlimen dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan UMNO dan pucuk pimpinannya.”

Lebih memeningkan lagi ialah, setelah menuduh, “UMNO yang mahu menChinakan Malaysia menerusi penjajahan ekonominya” Tan Sri Zam menulis:

“Orang Melayu tidak menolak penanaman modal dari China kerana kesesatan dari nasionalisme atau misguided nasionalism tetapi kerana kehilangan keyakinan mereka terhadap nasionalimse UMNO yang terpesong dari dasar asalnya dan juga dari Perlembagaan Negara .”

Saya tidak faham apakah Zam merasakan pelaburan modal dari China ini memberi kesan yang baik atau buruk kepada orang Melayu; adakah kesannya buruk bila modal China dibawa masuk oleh UMNO dan kesannya baik jika dibawa masuk oleh pihak lain contohnya DAP dan Tun M?

Dan apakah maksud “nasionalimse UMNO yang terpesong dari dasar asalnya dan juga dari Perlembagaan Negara”?

Jika Zam maksudkan pemerkasaan dasar Islam dan usaha UMNO untuk memperbetulkan penafsiran Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan bukannya hanya sekadar agama rasmi seperti yang di salah tafsirkah oleh DAP itulah sebagai ” terpesong dari dasar asalnya dan juga dari Perlembagaan Negara”, maka patutlah beliau merasakan “DAP bukan lagi musuh orang Melayu”, bak kata pepatah Inggeris, “Birds of a feather flock together”.

Tidak dapat dinafikan bahawa DAP dan parti-parti sekutunya seperti PKR, PAN dan PPBM merupakan ancaman terhadap kedaulatan Islam di Malaysia dan itulah yang menjadikan DAP sebagai musuh yang amat nyata kepada orang Melayu, walaupun Zam menafikannya dengan sepenuh hati.

Related Posts:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

One thought on ““DAP Bukan Lagi Musuh Melayu”; Is Zam Okay?”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.