Ikatan Ukhuwah Yang Semakin Terhakis

Semua orang di dunia ini mahu mencipta dan mencapai kejayaan, dan walau siapa pun orang itu; tidak ada sesiapa yang mahu gagal di dalam kehidupan mereka. Namun, untuk mencapai kejayaan, sudah tentu akan ada cabarannya, dan lebih besar kejayaan yang mahu dicapai, biasanya lebih besar jugalah dugaan yang akan ditempuhi.

Bagi sesebuah negara, di antara kunci utama untuk mencapai kegemilangan tentulah perpaduan, kerana tanpa perpaduan dan kesatuan rakyatnya, amat sukar bagi sesebuah negara itu mencapai kejayaan.

Diatas dasar itulah, moto negara yang terukir pada jata negara kita berbunyi, “Bersekutu Bertambah Mutu”. Sejarah membuktikan bahawa negara kita dibina diatas dasar kesatuan Raja-Raja Melayu dan rakyat Raja. Tipu-helah British untuk menjajah negara-negara Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu melalui Malayan Union telah gagal disebabkan kesatuan di antara Raja-Raja Melayu yang rela mengorbankan kuasa mutlak mereka ke atas negara-negara masing-masing demi mempertahankan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu Islam dan maruah seluruh rakyat Raja di Tanah Melayu ini.

Terbukti betapa kuatnya ukhuwah di antara Raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu pada masa itu. Apabila seorang daripada mereka ditimpa musibah, walau sekecil mana sekali pun, maka sahabat dan orang sekeliling akan bangkit menghulurkan bantuan, malah, apa sahaja perbezaan pandangan di antara mereka akan diketepikan, demi satu semangat, iaitu ukhuwah atau kesatuan ummah. 

Tanpa ukhuwah di antara Raja-Raja Melayu pada ketika itu, maka tiadalah Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya tidak terbentuklah Persekutuan Malaysia, negara yang amat kita banggakan pada hari ini. Malangnya, semakin lama, kita semakin jauh dan semakin lupa akan semangat asas pembentukan negara bangsa kita ini.

Lebih parah lagi, kini orang-orang Melayu semakin berpecah-belah sesama sendiri dan ada di antara kita yang sudah tidak kenal akar umbi bangsa dan budaya kita. Ramai yang gagal menghayati pepatah Melayu, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Kini, apabila orang Melayu ditimpa musibah, ada pula orang Melayu sendiri yang bertindak memburukkan keadaan. Ada kalanya, orang yang jatuh itu dipijak-pijak tanpa rasa belas kasihan. Tidak ramai lagi yang mahu berlumba-lumba untuk menghulurkan pertolongan; malah, apabila ada yang bersatu untuk menolong, ada pula orang Melayu lain yang bertindak menghalang mangsa  daripada diberikan bantuan. 

Orang Melayu pada hari ini terlalu bersikap individualistik sehingga lupa akan pentingnya ukhuwah dan tidak sedar bahawa sikap yang terlalu individualistik itu boleh membawa kepada kejatuhan bangsa sendiri. 

Semasa Kota Melaka diserang Portugis, rakyat Raja bangkit mempertahankan tanah air yang tercinta. Malangnya berlaku perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri. Akhirnya ada yang menjadi dalang kepada Portugis dan menjemput mereka masuk ke kota Melaka sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan Portugis. Menyedari perkara ini, rakyat Melaka bangkit mempertahankan kawasan di luar Kota Melaka sehingga sejarah membuktikan bahawa Portugis hanya berjaya menawan Kota Melaka dan bukannya seluruh Melaka.

Zaman semakin moden, manusia menjadi semakin materialistik dan bersikap individualistik. Sehinggakan, orang Melayu Malaysia yang semestinya beragama Islam tidak lagi merasakan keperluan untuk mereka bersatu-padu demi mempertahankan agama dan ajaran Islam. Antara alasan mereka ialah, itu bukan tugas mereka ataupun mereka mempunyai komitmen lain yang jauh lebih penting atau lebih teruk lagi kerana mereka tidak peduli langsung tentang ancaman terhadap agama Islam atau lantas menafikan adanya ancaman ini.

Ada baiknya kita sama-sama renungkan firman Allah S.W.T. di dalam surah As-Syura, ayat 13 Al-Quran, yang bermaksud:

“Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” ~Surah As-Syura [42:13] | Al-Quran

Demi agama, bangsa dan tanahair, kita mesti berusaha untuk kembali merapatkan saf dan tingkatkan ukhuwah Islamiyyah sesama kita. Tidak ada gunanya kita mendabik dada jika agama kita sendiri dipijak-pijak dan nasib bangsa kita sendiri tidak kita bela. 

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Related Post:

  1. A Kadir Jasin and the Raja-Raja Melayu
  2. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  3. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat
  4. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).