Lekanya Melayu Diulit K-Pop

20 08 2018

K-WAVE 3 Music Festival yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dua malam lepas menampilkan tujuh buah kumpulan K-Pop dari Korea Selatan. Walaupun konsert tersebut bermula pada pukul lapan malam namun laporan Facebook menunjukkan orang ramai sudah mula membanjiri tapak pesta itu sejak tengahari lagi.

Menurut laporan Utusan Online, pihak penganjur telah menawarkan pakej tiket Alpha Youth khas untuk remaja yang berusia antara 15 hingga 17 tahun. Apa yang sangat mengejutkan saya ialah pakej itu telah habis dijual dalam tempoh seminggu sahaja selepas jualan tiket dibuka kepada orang ramai, padahal majoriti remaja di lingkungan umur tersebut belum bekerja dan belum dapat menjana pendapatan sendiri. Setiap pakej tiket kecuali Alpha Youth dijual dengan harga daripada RM98 kepada RM498, dan hari ini semua pakej-pakej tiket yang ditawarkan telahpun habis dijual.

Peminat-peminat K-Pop sanggup membayar sehingga RM498 semata-mata untuk menghadiri konsert.
Peminat K-Pop yang membeli tiket merasa berbaloi melepaskan duit yang sebanyak itu hanya untuk menyaksikan persembahan hiburan yang mereka minati. Apakah mereka merasakan nilai duit kita sekarang sudah begitu rendah sehingga duit sebanyak itu tidak lagi bermakna kepada mereka dan boleh di’buang’ begitu sahaja? Padanlah artis-artis K-Pop kaya-raya dan dapat hidup dengan mewah di negara mereka.

Umat Islam sepatutnya membelanjakan duit untuk tujuan berfaedah.
Melihat statistik demografik rakyat Malaysia bahawa orang Islam adalah 60% daripada seluruh warganegara Malaysia, kita boleh anggarkan ramai di antara penonton konsert itu terdiri daripada orang-orang Islam. Mengikut sejarah konsert K-Pop sebelum ini, itulah hakikatnya. Saya tidak tahu berapakah jumlah nilai kutipan hasil penjualan pakej tiket tersebut kepada umat Islam, tetapi saya yakin jumlahnya besar.

Kenapa tidak duit itu didermakan kepada masjid-masjid atau agensi-agensi Islam supaya kita dapat mengumpul dana untuk menegakkan agama Allah atau membantu umat Islam dan anak-anak yatim yang memerlukan belanja untuk terus hidup atau meneruskan pengajian mereka? Jangan pula untuk sumbangan fi sabilillah, yang dikeluarkan hanyalah wang kertas yang berwarna biru tua; dan kalau terkeluar dari dompet duit yang berwarna hijau, disimpan balik dengan secepat mungkin.

Masalah ini bermula dari sikap orang-orang muda sekarang, yang akan menjadi lebih parah jika tidak dibendung.
Hari ini ramai orang-orang muda yang semakin taksub dengan fahaman hedonisme dan materialisme. Ada yang kurang peduli akan kehidupan rohani dan hanya mementingkan perkara-perkara yang bersifat materialistik sahaja. Mereka lebih mementingkan hiburan dan keseronokkan, seolah-olah itulah keperluan hidup yang utama. Ada yang merasakan tanpa itu semua, mereka akan menghadapi kemurungan, ibarat hidup sudah tidak bermakna lagi. Maka kerana itulah mereka sanggup membayar hingga RM498 hanya untuk menyaksikan artis-artis dari Korea Selatan yang melompat-lompat di atas pentas Stadium Malawati, sambil menyanyikan lagu yang kemungkinannya kita langsung tidak faham.

Jangan menjadi penderhaka, seperti apa yang pernah berlaku lebih 500 tahun dahulu.
Kita mempunyai satu sejarah tamadun Melayu yang hebat dan gemilang. Puncak kegemilangan kita adalah apabila Kesultanan Melayu Melaka berdiri teguh sebagai satu empayar yang menjadi pusat perdagangan yang terkenal di dunia. Kesultanan Melayu Melaka adalah sebuah kerajaan thalassokrasi yang amat maju pada zaman itu. Antara teras utama dalam kehidupan rakyat Melaka ketika itu ialah agama Islam iaitu agama bagi Kesultanan Melayu. Kerana ketaatan rakyat kepada agama dan raja, maka terbentuklah ukhuwah dan kesatuan, hasilnya kerajaan Melayu Melaka berjaya menjadi negara yang kuat dan maju. Jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka bukanlah kerana tentera Portugis itu lebih kuat, tetapi kerana adanya rakyat yang tidak taat kepada Sultan Melaka dan bertindak menjadi dalang kepada Portugis.

Hilangnya ketaatan, hilangnya ketamadunan.
Lekanya hidup orang muda kita diulit fahaman hedonisme dan hilangnya semangat fi sabilillah dan ukhuwah Islamiyyah akan menjadikan umat Islam lemah dan senang dipengaruhi oleh musuh. Apabila hilangnya kepedulian orang Melayu tentang agama Allah, bangsa dan tanah air, maka dengan perlahan-lahan akan terhakislah ketamadunan kita ini. Apabila terhakisnya ketamadunan Melayu ini maka akan rebahlah satu lagi bangsa yang amat kuat akidah Islamnya.

Related Articles:

  1. Hayati Pengorbanan Raja-Raja Melayu Dalam Menyambut Hari Kebangsaan
  2. Apakah Maksud Kemerdekaan?
  3. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia
  4. Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata
  5. Ikatan Ukhuwah Yang Semakin Terhakis
  6. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  7. Selami Kekejaman Pengganas Di Galeri Darurat Bukit Kepong (Gambar)
  8. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingati

 





Ikatan Ukhuwah Yang Semakin Terhakis

26 07 2018

Semua orang di dunia ini mahu mencipta dan mencapai kejayaan, dan walau siapa pun orang itu; tidak ada sesiapa yang mahu gagal di dalam kehidupan mereka. Namun, untuk mencapai kejayaan, sudah tentu akan ada cabarannya, dan lebih besar kejayaan yang mahu dicapai, biasanya lebih besar jugalah dugaan yang akan ditempuhi.

Bagi sesebuah negara, di antara kunci utama untuk mencapai kegemilangan tentulah perpaduan, kerana tanpa perpaduan dan kesatuan rakyatnya, amat sukar bagi sesebuah negara itu mencapai kejayaan.

Diatas dasar itulah, moto negara yang terukir pada jata negara kita berbunyi, “Bersekutu Bertambah Mutu”. Sejarah membuktikan bahawa negara kita dibina diatas dasar kesatuan Raja-Raja Melayu dan rakyat Raja. Tipu-helah British untuk menjajah negara-negara Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu melalui Malayan Union telah gagal disebabkan kesatuan di antara Raja-Raja Melayu yang rela mengorbankan kuasa mutlak mereka ke atas negara-negara masing-masing demi mempertahankan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu Islam dan maruah seluruh rakyat Raja di Tanah Melayu ini.

Terbukti betapa kuatnya ukhuwah di antara Raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu pada masa itu. Apabila seorang daripada mereka ditimpa musibah, walau sekecil mana sekali pun, maka sahabat dan orang sekeliling akan bangkit menghulurkan bantuan, malah, apa sahaja perbezaan pandangan di antara mereka akan diketepikan, demi satu semangat, iaitu ukhuwah atau kesatuan ummah. 

Tanpa ukhuwah di antara Raja-Raja Melayu pada ketika itu, maka tiadalah Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya tidak terbentuklah Persekutuan Malaysia, negara yang amat kita banggakan pada hari ini. Malangnya, semakin lama, kita semakin jauh dan semakin lupa akan semangat asas pembentukan negara bangsa kita ini.

Lebih parah lagi, kini orang-orang Melayu semakin berpecah-belah sesama sendiri dan ada di antara kita yang sudah tidak kenal akar umbi bangsa dan budaya kita. Ramai yang gagal menghayati pepatah Melayu, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Kini, apabila orang Melayu ditimpa musibah, ada pula orang Melayu sendiri yang bertindak memburukkan keadaan. Ada kalanya, orang yang jatuh itu dipijak-pijak tanpa rasa belas kasihan. Tidak ramai lagi yang mahu berlumba-lumba untuk menghulurkan pertolongan; malah, apabila ada yang bersatu untuk menolong, ada pula orang Melayu lain yang bertindak menghalang mangsa  daripada diberikan bantuan. 

Orang Melayu pada hari ini terlalu bersikap individualistik sehingga lupa akan pentingnya ukhuwah dan tidak sedar bahawa sikap yang terlalu individualistik itu boleh membawa kepada kejatuhan bangsa sendiri. 

Semasa Kota Melaka diserang Portugis, rakyat Raja bangkit mempertahankan tanah air yang tercinta. Malangnya berlaku perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri. Akhirnya ada yang menjadi dalang kepada Portugis dan menjemput mereka masuk ke kota Melaka sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan Portugis. Menyedari perkara ini, rakyat Melaka bangkit mempertahankan kawasan di luar Kota Melaka sehingga sejarah membuktikan bahawa Portugis hanya berjaya menawan Kota Melaka dan bukannya seluruh Melaka.

Zaman semakin moden, manusia menjadi semakin materialistik dan bersikap individualistik. Sehinggakan, orang Melayu Malaysia yang semestinya beragama Islam tidak lagi merasakan keperluan untuk mereka bersatu-padu demi mempertahankan agama dan ajaran Islam. Antara alasan mereka ialah, itu bukan tugas mereka ataupun mereka mempunyai komitmen lain yang jauh lebih penting atau lebih teruk lagi kerana mereka tidak peduli langsung tentang ancaman terhadap agama Islam atau lantas menafikan adanya ancaman ini.

Ada baiknya kita sama-sama renungkan firman Allah S.W.T. di dalam surah As-Syura, ayat 13 Al-Quran, yang bermaksud:

“Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” ~Surah As-Syura [42:13] | Al-Quran

Demi agama, bangsa dan tanahair, kita mesti berusaha untuk kembali merapatkan saf dan tingkatkan ukhuwah Islamiyyah sesama kita. Tidak ada gunanya kita mendabik dada jika agama kita sendiri dipijak-pijak dan nasib bangsa kita sendiri tidak kita bela. 

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

Related Post:

  1. A Kadir Jasin and the Raja-Raja Melayu
  2. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  3. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat
  4. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia







%d bloggers like this: