Islam, Melayu, Raja Berpisah Tiada

Di dalam melayari kehidupan di abad ke-21 ini, terlalu banyak cabaran yang menghambat kita, sehinggakan kita sering menjadi keliru. Ditambah dengan desakan masyarakat yang semakin cenderung kepada sikap kebendaan dan idea kebebasan, banyak perkara asas seperti hukum agama dan asas kenegaraan yang selama ini kita taati dianggap tidak lagi relevan bagi dunia yang maju dan moden.

Malah, institusi diRaja yang selama ini kita junjung, sudah semakin dipandang remeh; malah didakwa sebagai sistem feudal. Semakin ramai yang berani menghina Raja-Raja Melayu; malah sudah timbul desakan untuk menukar sistem pentadbiran Malaysia daripada sebuah Kerajaan Raja Berpelembagaan kepada sebuah Republik Sekular. Fahaman ini dimomokkan sebagai idea baru yang menjana pemikiran terbuka, progressif, matang dan tidak terikat kepada idea lama yang kuno.

Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan tiga asas utama yang menjadi tiang seri kepada sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka iaitu Islam, Melayu dan Raja-Raja. Malah tiga perkara asas inilah yang menjadi teras kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara. Menurut seorang tokoh pendidikan negara, Profesor Dr. Sidek Baba, tiga perkara ini adalah satu simbiosis yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat Melayu dan tenaga pengimbang yang baik untuk mengekalkan keamanan di Malaysia.

Tiada yang boleh menafikan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam adalah sinonim di Malaysia, di mana orang Melayu mestilah beragama Islam. Perkara 160(2) mengatakan bahawa definasi orang Melayu ialah orang itu mestilah beragama Islam, bertutur di dalam bahasa Melayu dan mengikut adat istiadat Melayu. Bangsa Melayu di Tanah Melayu amat unik dan istimewa kerana hanya inilah satu-satunya bangsa di dunia di mana agama dijadikan ciri utama kriteria bangsanya.

Beberapa hari yang lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI, di mana baginda telah bersumpah di atas nama Allah S.W.T. untuk memelihara pada setiap masa agama Islam. Itulah di antara tugas asas Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara Malaysia. Peranan dan tanggungjawab Baginda
Yang di-Pertuan Agong adalah amat dan penting di dalam sistem kenegaraan kita di mana baginda bukan sahaja menjadi penaung kepada umat Melayu, malah juga menjaga hak seluruh rakyat di Tanah Melayu ini. Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri baginda adalah khalifah Allah di bumi Melayu, bertanggung jawab memelihara agama Islam serta menaungi dan mempimpin rakyat.

Perkara ini melambangkan hubung kait serta simbiosis di antara tiga teras utama Persekutuan Malaysia. Perkara ini bukan sahaja perlu difahami, malah mesti di hayati oleh setiap rakyat, khasnya umat Melayu. Maka adalah menjadi tanggung jawab kita semua untuk bukan sekadar memelihara tetapi juga untuk memartabatkan jati diri kita sebagai umat Melayu. Inilah teras kekuatan negara bangsa kita yang menentukan masa hadapan Persekutuan Malaysia dan anak bangsanya, tidak kiralah daripada kaum atau agama mana pun, kerana bangsa Melayu merupakan bangsa teras bagi Malaysia.

Maka, demi memartabatkan sikap keagamaan dan kebangsaan, haruslah kita hindari daripada bukan sahaja sikap, tetapi lebih penting lagi unsur-unsur liberal dan sekular, yang menggugat pemikiran seluruh warga dunia pada ini. Tidak akan bermakna kejayaan seseorang itu jika tiada keberkatan, dan tiada keberkatan yang lebih sempuna daripada anugerah keberkatan daripada Allah S.W.T.. Keutamaan mengejar material dan meremehkan agama menjadi punca generasi muda kehilangan arah, hilang hala tuju, kemurungan, memberontak dan keliru yang membawa kepada berbagai masalah sosial yang akhirnya boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara.

Kehidupan di abad ke-21 adalah ibarat sebuah kapal yang melayari lautan yang bergelora dan merentasi ombak yang ganas di dalam ribut petir. Kita mestilah memperkukuhkan diri bermula dengan memartabatkan jati diri kita sebagai umat Melayu. Dengan agama dijadikan tunjang bagi kehidupan dan jati diri bangsa sebagai tonggak, kita harus membina negara dan mempertahankan maruah bangsa. Kita tidak boleh lupa diri dan lalai, hayatilah 7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang menjadi penaung dan pemelihara negara bangsa.

Insya-Allah kita bukan sekadar akan maju, tetapi akan terus mara ke hadapan dan menjadi sebuah negara bangsa mithali di peringkat dunia. Inilah sikap terbuka dan inklusif yang patut ada di hati setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bersedia dan bersatu padu dalam menerima dan menghayati asas kenegaraan negara bangsa dan bukannya meruntuhkannya. Seperti kata Aunty Prof. Dr Shamrahayu Abd Aziz, janganlah diruntuh rumah pusaka, yang saya rasa bermaksud, janganlah kita runtuhkan negara yang kita warisi ini kerana nantinya kita juga yang akan rugi dan menyesal; oleh itu kita mestilah memelihara dan menghargai keamanan negara yang telah kita warisi dari pengorbanan nenek moyang kita.

Tulisan berkaitan:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

3 thoughts on “Islam, Melayu, Raja Berpisah Tiada”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.