Tun M Bantah Pemansuhan Akta Hasutan

Apabila kerajaan digesa untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu, Tun Dr. Mahathir telah membuat satu kenyataan di dalam blognya, Chedet.

Beliau dengan tegasnya membantah gesaan tersebut kerana sebab-sebab yang sangat penting demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

“Apabila Akta Hasutan digugur maka rakyat Malaysia akan bebas menghasut. Kedua-dua akta baru berkenaan dengan harmoni dan uniti tidak akan menghalang hasutan yang akan berlaku.”

Antara sebab-sebab lain yang Tun berikan ialah apabila dimansuhkan akta tersebut, “rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan”, antaranya mungkin hasutan supaya institusi diraja dihapuskan.

“Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan.”

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tun, memandangkan walaupun Akta Hasutan masih ada, sudah terdapat rakyat yang secara terang-terangan menghina dan mahu mengubah Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan institusi diraja.

Jika kini, orang-orang sebegini bebas menghasut walaupun ada Akta Hasutan, bayangkan nanti berapa ramai penghasut-penghasut yang akan lahir jika Akta Hasutan dimansuhkan.

Seperti apa yang Tun tegaskan, negara kita akan menjadi huru-hara jika rakyat bebas menghasut, dan ia akan menghancurkan keharmonian dan kestabilan negara, terutamanya di saat getir seperti sekarang apabila kerajaan baru sahaja bertukar dan masih mencari rentak dalam mentadbir negara.

“Kemungkinan ialah huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan dari sikap liberal yang kita agungkan sekarang.”

Saya amat menyokong pandangan Tun dalam mempertahankan Akta Hasutan seperti dalam tulisan Tun yang telah Tun terbitkan pada 30 Jun 2014.

Saya berharap Tun masih percaya dengan pandangan Tun itu, dan akan pertegaskan lagi perkara ini di saat terdapat ura-ura kerajaan baru Tun mahu menghapuskan Akta Hasutan.

Ramai rakyat mahu Tun bertindak tegas mempertahankan Akta Hasutan, setegas ketika Tun pernah mempertahankan Akta Hasutan dan ISA pada masa Tun masih bersama UMNO.

Masakan Tun mahu melihat negara menjadi huru-hara akibat rakyat bebas dihasut termasuk hasutan untuk menghapuskan sistem diraja yang kelak boleh merosakkan kesejahteraan rakyat?

Wallahua’lam…


Related Posts:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.