
Tengku Abdullah bertitah serbuan dan operasi cegah maksiat akan diteruskan di Pahang. Gambar Kosmo! Online
[Utusan Online}- Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, penguatkuasaan operasi khalwat di negeri ini diteruskan seperti amalan yang dilaksanakan sebelum ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bertitah, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berhubung isu berkenaan adalah pandangan beliau tetapi negeri ini akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan.
“Itu pandangan Yang Berhormat menteri tetapi apa yang telah dilaksanakan di peringkat negeri khususnya Pahang kita akan teruskan dan perhalusi serta lebih berhemah.
“Ini supaya kita dapat membendung dan mengurangkan (maksiat),” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas merasmikan
Bengkel Catur Siri 1/2018 bagi pelajar peringkat negeri sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di sini hari ini.
Tengku Abdullah bertitah, serbuan atau penguatkuasaan operasi khalwat masih diteruskan di negeri ini tetapi tidak boleh dilakukan di luar peruntukan undang-undang.
“Saya dimaklumkan kalau hendak mengadakan serbuan itu perlu ada aduan, kelulusan polis dan pihak berkuasa tempatan.
“Bukan serbuan secara melulu, prosedur operasi standard (SOP) mesti dikekalkan,” titah baginda.