
[Kosmo! Online}- Hujan lebat disusuli angin ribut lebih sejam di sekitar daerah ini hari ini menyebabkan beberapa kediaman, premis perniagaan, bangunan awam dan kenderaan mengalami pelbagai kerosakan.
Kejadian yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu juga turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan serta kesesakan luar biasa di beberapa jalan utama sekitar daerah ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, pemantauan pihaknya mendapati, aliran trafik di daerah ini secara keseluruhan bergerak perlahan disebabkan cuaca hujan dan kejadian pokok tumbang.
Menurutnya, beberapa jalan juga dilaporkan sesak membabitkan jalan sekitar susur Bulatan 100 dari Jalan Sireh, Jalan Meru Batu 1 dan Jambatan Musaidin.
“Pihak trafik sedang mengawal lalu lintas dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan kejadian pokok tumbang, bumbung runtuh dan kenderaan rosak.
“Panggilan pertama diterima kira-kira jam 2.28 petang tadi dan sehingga kini kami masih lagi menerima panggilan yang melaporkan kejadian pokok tumbang dan bangunan serta kenderaan rosak akibat ribut.
“Pihak kami masih menjalankan operasi bersama MPK dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas ini,” katanya.