Waktu Subuh di Selangor Tambah 8 Minit Mulai 29 Nov 2019

(Berita Harian) – SHAH ALAM: Bermula esok, masuk waktu Subuh bagi seluruh negeri Selangor ditambah selama lapan minit berbanding takwim sedia ada.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan hasil kajian kecerahan langit pada waktu Subuh yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama penyelidik Universiti Malaya (UM).

Perubahan berkenaan disebabkan penukaran nilai kedudukan matahari bagi kiraan waktu Subuh daripada 20 darjah di bawah ufuk kepada 18 darjah.

“Perkara ini sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-116.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sudah memperkenankan perubahan waktu solat untuk dikuatkuasakan,” katanya.