Abu Chin Peng vs. Kedaulatan Undang-Undang

Belum reda isu bendera dengan bintang berbucu lima MABA, negara telah dikejutkan pula dengan gambar dan berita sambutan abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Perkara ini membangkitkan kemarahan dan bantahan dalam kalangan ramai rakyat Malaysia; namun ada juga golongan yang bukan sahaja mempertahankan tindakan tersebut malah menyelar rakyat yang marah dan membantah.

Tidak boleh dinafikan bahawa rakyat mempunyai hak untuk merasa marah, terutamanya mereka yang pernah mengalami atau mempunyai keluarga yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis.

Jika kita ketepikan sentimen, apakah perkara ini betul di sisi undang-undang negara?

Kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Astro Awani – Kerajaan tidak pernah benar abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia – Muhyiddin

Perkara yang sama juga diperkatakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM):

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Kementerian Pertahanan tidak pernah menerima permohonan atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu Chin Peng”.

Berita Harian Online – Kerajaan tidak pernah luluskan permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng – TPM

Berdasarkan kenyataan TPM dan Menteri Dalam Negeri:

  • Kerajaan Malaysia tidak pernah membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.
  • Kelulusan daripada pihak berkuasa contohnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia diperlukan untuk membawa balik abu mayat sesiapa sahaja ke Malaysia.

Justeru, jelas kes abu Chin Peng melibatkan kedaulatan undang-undang negara, oleh itu pihak berkuasa mesti menyiasat kes ini dengan sebaik mungkin demi mempertahankan undang-undang.

PDRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menyoal siasat beberapa individu berkaitan kes ini.

Menjadikan isu abu Chin Peng sebagai isu perkauman adalah ibarat mencurah garam ke luka, ibarat mencurah minyak ke dalam api.

Walaupun ramai yang tidak dapat menerima kepulangan Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh tetapi rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa kedua-dua mereka adalah warganegara Malaysia. Noordin Mohammad Top juga adalah warganegara Malaysia yang sah.

Perkara sebegini jika tidak ditangani dengan baik, boleh mengancam keharmonian negara serta mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang nenjunjung kedaulatan undang-undang serta cintakan negara.

Hargailah keamanan negara dan jangan memperkecikan jasa serta pengorbanan darah dan nyawa perwira terdahulu demi keamanan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini.

Jangan biarkan kemarahan memakan diri kita. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Rencana berkaitan: