Jangan Bermain Dengan Api Perkauman, Cabar-Mencabar Hak Orang Lain

[Rencana saya ini pernah disiarkan di Utusan Online pada 4hb September 2019]

Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri-negeri yang bersekutu di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dimana rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya, tradisi dan nilai yang berbeza.

Menyedari cabaran ini, kerajaan Persekutuan sejak hampir 62 tahun yang lalu sehinggalah kepada hari ini amat mengambil berat akan hal perpaduan rakyat.

Hasilnya rakyat Malaysia berjaya hidup dalam suasana yang aman dan harmoni serta saling bekerjasama dalam membangunkan negara.

Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula sahabat sekawan, perselisihan kecil dalam kalangan rakyat adalah lumrah dan sukar untuk dielakkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat yang berbilang kaum.

Namun, malangnya sejak akhir-akhir ini entah apa silapnya, permasalahan yang melibatkan kaum di negara ini menjadi semakin panas, di mana seolah-olah sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat sudah semakin luntur.

Kita perlu melihat kembali di mana salahnya sehingga keadaan menjadi begini dan cuba memperbaiki diri kita dan seluruh masyarakat demi mencapai kesatuan rakyat yang lebih utuh.

Apakah kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan bahawa, “masih terdapat pemimpin dalam kerajaan yang berfikiran seperti pembangkang dan hanya mengutamakan hak politik dan parti mereka serta bukan agenda nasional,” telah menyumbang kepada keadaan ini?

Saya bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa kunci perpaduan adalah Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 153 Perlembagaan sudah terang lagi bersuluh, namun masih ramai rakyat terutama generasi muda yang tidak faham mengenainya.

Sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, rakyat negeri-negeri di Tanah Melayu bersatu padu untuk bangun menentang Malayan Union, di atas satu asas perjuangan iaitu ingin bebas daripada cengkaman kuasa luar.

Menjelang kemerdekaan, Baginda Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai rakyat Raja bermurah hati menerima dengan tangan terbuka imigran Cina dan India sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu, dengan syarat-syarat menurut Kontrak Sosial sepertimana yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit; perkara ini telah berkali-kali dijelaskan oleh tokoh sejarah ulung negara, Professor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim

Menyentuh hal ini, pada tahun 1965 Tun V.T. Sambanthan yang ketika itu berjawatan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos telah berkata bahawa orang Melayu sangat pemurah dan bersopan-santun sehingga, “cukup murah hati untuk melonggarkan undang-undang kewarganegaraan negara ini”.

Bak kata orang-orang tua, orang berbudi, kita berbahasa.

Hal yang sama juga disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Malaysia, Tun Tan Siew Sin pada 30hb April 1969 dan kerana itu beliau berjanji bahawa orang-orang Cina dan India akan terus menyokong usaha kerajaan memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Tetapi malangnya, kurang dua minggu selepas itu tercetus pula insiden berdarah 13 Mei 1969, sebuah tragedi hitam rusuhan kaum yang sehingga kini masih menghantui kehidupan sebahagian rakyat Malaysia yang celik sejarah.

Walau bagaimanapun, kerajaan berjaya mententeramkan keadaan dan lahirlah Rukun Negara iaitu satu ideologi kebangsaan yang bertujuan untuk menyatupadukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Namun kini timbul pula suara-suara sumbang yang mempertikaikan apa yang telah dipersetujui di dalam Kontrak Sosial serta apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, contohnya akhir-akhir ini semakin ramai yang telah berani menghina agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan dan Baginda Raja-Raja Melayu.

Ada juga rakyat Malaysia yang mendakwa Kontrak Sosial tidak wujud atau sudah tidak lagi relevan kerana ianya ialah satu perjanjian yang lapuk.

Lebih parah lagi, apabila terdapat segelintir rakyat yang buta sejarah dan dengan biadapnya menuduh orang-orang Melayu iaitu rakyat Raja sebagai pendatang; di mana tuduhan biadap ini juga merupakan satu penghinaan terhadap Baginda Raja-Raja Melayu.

Justeru, akibat dibakar nafsu amarah, sesetengah orang Melayu lantas menggelar mereka yang menuduh itu kaum pendatang serta menghalau mereka balik ke negara asal mereka; sedangkan mereka itu rakyat Malaysia yang juga mempunyai hak sebagai warganegara dan bukan lagi pendatang.

Maka rakyat semakin berpecah-belah, sehinggakan mereka bukan sahaja bersengketa di antara kaum, tetapi dalam kalangan bangsa sendiri pun turut berlaku persengketaan apabila masing-masing gagal berlapang dada serta merasakan bahawa diri mereka sahaja yang betul dan kuat.

Rakyat Malaysia harus menghayati sejarah negara bangsa dan mengambil iktibar daripada kata-kata bijaksana nenek moyang kita dahulu yang telah membina negara ini.

Tun V.T. Sambanthan pada 1hb Jun 1965, mengatakan bahawa orang-orang Cina dan India yang dahulunya adalah imigran tanpa negara, tidak diterima di Asia khasnya Asia Timur di mana orang India tidak diterima di Ceylon (Sri Lanka) dan Burma (Myanmar) manakala orang Cina pula tidak diterima di Thailand, Vietnam dan Cambodia (Kemboja); namun di Tanah Melayu, mereka diterina oleh orang-orang Melayu seperti saudara sendiri.

Menjelang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, imigran-imigran Cina dan India diberi kesempatan untuk akhirnya mendapat peluang menjadi rakyat yang bernegara, apabila mereka ditawarkan kewarganegaraan oleh orang-orang Melayu.

Namun untuk keadilan dan sebagai timbal balik di atas kemurahan hati orang-orang Melayu serta untuk menjamin hak kaum-kaum lain, semua kaum telah bersetuju dengan satu Kontrak Sosial yang telah diterjemahkan kepada beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk menjaga hak semua warganegara Malaysia, Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan digubal, di mana sesiapa yang mempersoalkan kewarganegaraan mana-mana pihak boleh disabit kesalahan di bawah Akta tersebut.

Perkara ini amat jelas, semua rakyat Malaysia mempunyai hak masing-masing yang harus dihormati dan tidak boleh diganggu-gugat, dan tidak ada sesiapapun yang berhak mempersoalkan hak orang lain yang sah di sisi Perlembagaan.

Apabila ada dalam kalangan orang Cina dan India yang melanggar Kontrak Sosial ianya tidak memberikan hak kepada orang Melayu untuk juga berbuat demikian dan menggelar mereka pendatang; malah orang Melayu sendiri ada juga yang buta sejarah dan mempertikaikan Kontrak Sosial.

Malah kealpaan orang Melayu yang gagal menghayati sejarah negara bangsa dan hanyut dalam keseronokan dunia fizikal telah menyebabkan kita hilang jati diri bangsa lantas diambil kesempatan oleh mereka yang menentang asas kenegaraan Malaysia.

Oleh itu apabila ada yang mencadangkan supaya dilucutkan kewarganegaraan orang-orang yang melanggar Kontrak Sosial, ianya mestilah terpakai kepada semua kaum di negara ini.

Mereka yang menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat layak dilabelkan sebagai musuh negara kerana pertelingkahan di antara rakyat akan membawa kemusnahan kepada negara bangsa.

Tikam-menikam bukanlah cara kita, maka janganlah cemarkan nilai dan budaya kita; dan jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Fahamilah sejarah negara, pupuklah perpaduan dan jangan bermain api perkauman dengan mempersoalkan serta mencabar hak orang lain kerana kelak ianya boleh membakar seluruh rakyat Malaysia.

Jadilah rakyat yang patriotik, taat kepada undang-undang dan sayangkan negara bangsa.

Bagaimana hendak kita merentasi jambatan emas, jika kita masing-masing gagal bekerjasama serta terlalu sibuk menolak jatuh rakan sendiri ke dalam jurang sedangkan kita sepatutnya bersatu membina jambatan emas itu.

Hayatilah maksud perbahasa Melayu, tua-tua penyakit, muda ubat; sesudah tersepit baru tahu akan sifat.

%d bloggers like this: