Segera lapor Jawi – Jika Dr. Amina Wadud jalankan aktiviti tanpa kebenaran

laporjawi-aminawadud(Karim’s Blog) – KUALA LUMPUR 7 Jun – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti keagamaan yang dijalankan tokoh agama Islam liberal dari Amerika Syarikat, Dr. Amina Wadud di sekitar ibu kota.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya walau bagaimanapun berkata, setakat ini tiada sebarang laporan ber­kenaan perkara itu yang diterima pihak­nya dari orang ramai.

Jelasnya, sekiranya laporan diterima, siasatan akan dijalankan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

“Kita akan bertindak mengikut laporan di samping memantau sebarang aktiviti keagamaan yang diadakan supaya sentiasa mengikut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah yang kita amalkan.

“Sebarang aktiviti keagamaan yang ingin dianjurkan perlu mendapat kebenaran dan tauliah daripada pejabat mufti, jika tiada, Jawi boleh ambil tindakan orang yang menganjurkannya mengikut undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tokoh agama Islam liberal terkenal antarabangsa dari Amerika Syarikat, Dr. Amina Wadud dipercayai berada di ibu negara sejak Jumaat lepas untuk menyambut Ramadan di sini.

Amina merupakan salah seorang pemimpin ajaran liberalisme agama sedunia dan juga merupakan antara pendakwah utama fahaman feminisme melampau yang bertentangan dengan ajaran Islam. Fahaman Islam liberal difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti Negeri sejak tahun 2006 lagi.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, penyebaran ajaran sesat harus dipantau secara lebih serius kerana masalah itu kini semakin membimbangkan. “Semakin banyak ajaran sesat yang muncul baru-baru ini dan orang ramai yang tidak mempunyai pegangan kuat senang untuk terpengaruh. “Oleh itu, jabatan agama Islam negeri harus sentiasa peka dengan aktiviti keagamaan setempat yang diadakan dan pantau jika ada tokoh ajaran sesat yang masuk ke negeri anda,” katanya.

Laporan terdahulu: