Hayati Pengorbanan Raja-Raja Melayu Dalam Menyambut Hari Kebangsaan

17 08 2018

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan

Dalam tempoh kurang daripada dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan 2018.

Ramai di antara kita yang sudah tidak sabar untuk menyambut Hari Kebangsaan dan tidak kurang pula yang menyambut hari bersejarah ini dengan pelbagai majlis hiburan seperti konsert dan sebagainya untuk menzahirkan kegembiraan mereka kerana mereka sudah ‘merdeka’.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali menjelang tarikh 31 haribulan Ogos, ramai yang akan memperkatakan tentang erti dan sejarah kemerdekaan negara.

Namun, apakah rakyat Malaysia benar-banar faham akan sejarah di sebalik laungan, “Merdeka” oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957?

Sebilangan besar rakyat masih menganggap bahawa pada tarikh tersebut, Tanah Melayu telah merdeka daripada penjajahan British!

Entah di mana silapnya, walaupun sudah hampir enam puluh satu tahun berlalu, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak faham sejarah negara dan masih tertipu kerana percayakan persepsi yang tidak betul, yang tidak diketahui dimulakan oleh siapa dan apakah tujuannya persepsi itu.

Sebenarnya, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu ini TIDAK PERNAH dijajah oleh kerajaan British dan pakar-pakar sejarah seperti Tan Sri Khoo Kay Kim dan Datuk Ramlah Adam telah berkali-kali menegaskan perkara ini. Sila baca di sini: Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia.

Hakikat ini dibuktikan melalui keputusan kes-kes mahkamah penting seperti Mighell v. Sultan of Johore (1894) dan Duff Development Co. Ltd. v. Government of Kelantan (1924) yang dengan jelas membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu kekal berdaulat dan Negeri-negeri Melayu yang beraja tidak pernah ditakluki oleh British sepanjang British berada di Tanah Melayu.

Selain daripada itu, Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 haribulan Ogos 1957 di Stadium Merdeka jelas membuktikan bahawa negeri yang dijajah oleh Kerajaan British hanyalah Melaka dan Pulau Pinang.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan antara lainnya mengisytiharkan:

  1. Pergabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri Selat membentuk sebuah negara baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.
  2. Tamatnya Melaka dan Pulau Pinang daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen – yang membawa maksud hanya Melaka dan Pulau Pinang sahaja yang dijajah oleh British dan bukannya seluruh Tanah Melayu.

Detik bersejarah ini juga menandakan kejayaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-Raja Melayu bersama-sama pemimpin-pemimpin Melayu menangkis percubaan licik British untuk menjajah Tanah Melayu melalui Malayan Union.

Namun hari ini, dalam kegembiraan menyambut Hari Kebangsaan, pernahkah kita luangkan sedikit waktu untuk menghayati dan menghargai pengorbanan dan kebijaksanaan Raja-Raja dan pemimpin Melayu demi membentuk negara bangsa ini?

Malangnya, ramai di antara kita yang buta sejarah dan tidak menyedari akan pengorbanan Raja-Raja Melayu yang sanggup mengorbankan kuasa mutlak baginda ke atas negara-negara masing-masing demi menjaga kedaulatan kerajaan Melayu di Tanah Melayu ini.

Begitulah besarnya pengorbanan Raja-Raja Melayu!

Sedarlah rakyat Malaysia, Tanah Melayu mungkin telah dijajah oleh pihak British kalau bukan kerana kesedaran, kebijaksanaan dan pengorbanan Baginda Raja-Raja Melayu yang tekad bertindak menyelamatkan kita daripada dijajah melalui Malayan Union.

Sejarah negara bukanlah baru bermula sejak pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 haribulan Ogos 1957 atau pun sejak pembentukan Malaysia pada 16 haribulan September 1963; tetapi sejarah kita telah bermula lama sebelum itu.

Ingatlah, tiada hulu tiada parang, tiada dahulu tiadalah sekarang.

Jangan sampai kita lupa sejarah atau buta sejarah.

Related Articles:

  1. Apakah Maksud Kemerdekaan?
  2. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia
  3. Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata
  4. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  5. Selami Kekejaman Pengganas Di Galeri Darurat Bukit Kepong (Gambar)
  6. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingati
Advertisements




Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia

10 09 2017

Pada 31 Ogos yang lalu, Malaysia telah menyambut Hari Kebangsaan atau juga dikenali sebagai Hari Kemerdekaan.

Apabila kita bercerita tentang tarikh bersejarah ini, terdapat satu perkara penting yang sering disalah ertikan oleh ramai rakyat Malaysia, iaitu British telah menjajah seluruh Tanah Melayu.

Tanah Melayu ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, yang dijajah hanyalah Melaka dan Pulau Pinang.

Hakikat ini di buktikan oleh Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

Dokumen yang dimulakan dengan nama Allah SWT berserta selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya dan disudahi juga dengan nama Allah SWT ini antara lainnya menyebut:

  1. Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
  2. Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Maka, terdapat dua fakta penting yang perlu difahami daripada Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan iaitu “Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan,  Selangor,  Kedah,  Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayudan “Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen”.

Ini bermakna apa yang sebenarnya berlaku ialah pada tarikh bersejarah tersebut ialah:

  1. Pergabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri Selat membentuk sebuah negara baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.
  2. Tamatnya Melaka dan Pulau Pinang daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen.

Maka jelas, yang menjadi jajahan takluk Baginda Queen hanyalah Melaka dan Pulau Pinang dan bukannya Negeri-negeri Melayu yang lain.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan

DokumenPemasyhuranKemerdekaan

Fakta ini di persetujui oleh pakar-pakar sejarah terkenal Tanah Air kita, termasuklah Tan Sri Professor Emeritus Dr Khoo Kay Kim, yang telah berkali-kali menegaskan bahawa pihak British tidak pernah menjajah Tanah Melayu ini.

Kalaulah kita masih bertegas mahu mengatakan bahawa British telah menjajah seluruh Negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, maka kesemua Negeri-negeri Melayu kecuali Melaka dan Pulau Pinang secara lojiknya masih lagi berada di bawah jajahan British sehingga hari ini.

Ini ialah kerana Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan hanya menyebut Melaka dan Pulau Pinang sebagai negeri-negeri yang di merdekakan daripada menjadi jajahan British mulai pada mulai 31 Ogos 1957 dan tidak Negeri-negeri Melayu yang lain.

Maka di manakah dokumen yang mengishtiharkan kemerdekaan Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen kalau benar Negeri-negeri Melayu ini telah dijajah oleh British dan merdeka mulai 31 Ogos 1957?

Banyak kes-kes mahkamah seperti Mighell v. Sultan of Johore (1894) dan Duff Development Co. Ltd. v. Government of Kelantan (1924) yang membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu kekal berdaulat dan Negeri-negeri Melayu yang beraja tidak pernah ditakluki oleh British sepanjang British berada di Tanah Melayu.

Tidak mungkin mahkamah dan kerajaan British boleh memperakui kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Negeri-negeri Melayu jika kerajaan Melayu tersebut telah menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Queen. 

Seperti kata Tan Sri Professor Emeritus Dr Khoo Kay Kim di dalam video di bawah, kita tidak pernah dijajah, British hanyalah pekerja iaitu penasihat, manakala Raja-Raja Melayu ketika itu masih merupakan Raja-Raja yang berkuasa mutlak ke atas jajahan takluk baginda masing-masing dan kekal berdaulat di bumi Tanah Melayu ini.








%d bloggers like this: